#6717:  Menggunakan Lebihan Wang Yuran Pengajian yang Diberikan oleh Bapa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, bolehkah seorang anak menggunakan duit lebihan yuran yang diberikan oleh bapa? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

 (Surah Surah al-Baqarah : 188)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Al-Sa’di menyatakan : Allah melarang hamba-hamba yang  beriman memakan harta sesama mereka secara zalim. Memakan harta secara batil iaitu memakan harta itu dengan cara penindasan dan pencurian, serta mengambilnya melalui perjudian dan keuntungan yang haram.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman Fi Tafsir Kalam al-Manan,hlm. 175)

Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga memberi amaran keras kepada mereka yang merampas dan mengambil harta orang lain tanpa hak walaupun jumlahnya sedikit. Aisyah R.Anha meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ اقْتَطَعَ شِبْرًا مِنَ الأرْضِ ظُلْمًا، طَوَّقَهُ اللَّهُ إِيّاهُ يَومَ القِيامَةِ مِن سَبْعِ أَرَضِينَ

Maksudnya: “Sesiapa merampas hak sejengkal tanah, Allah akan menghimpitkan dirinya dengan tujuh petala bumi pada hari kiamat”.

Riwayat Muslim (1610)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa duit lebihan yuran pengajian  yang diberikan oleh bapa tidak seharusnya digunakan pada tujuan yang lain malah ianya berdosa. Oleh yang demikian, duit lebihan tersebut hendaklah dipulangkan kepada bapa atau mendapatkan keizinanya sekiranya ada keperluan untuk menggunakannya. Ini kerana sesuatu harta sekiranya ia diambil tanpa mendapat keizinan, ia dikira mengambil harta orang lain secara batil. Rasulullah SAW:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.”

Riwayat Muslim (2564)

Hadith ini menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain, iaitu haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli.( Lihat al-Adab al-Nabawi, 1/137)

Begitu juga Rasulullah SAW turut bersabda:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالكُمْ وَأَعْرَاضكُمْ حَرَام عَلَيْكُم

Maksudnya: “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan kehormatan kamu adalah haram atas (sesama) kamu semua.”

Riwayat Muslim (3179)

Dapat difahami juga melalui hadith ini bahawa  melindungi harta seseorang adalah suatu kewajipan. Ini mengajarkan kepada umat Islam untuk menghormati hak milik individu walaupun bukan islam, dengan tidak mencuri, menipu, atau merampas harta seseorang dengan cara yang batil.

Dalam isu ini juga, Dairah al-Ifta’ al-‘Am dalam fatwanya menyatakan: Jika terdapat lebihan daripada yuran universiti, pada dasarnya ia perlu digunakan sebagai yuran untuk jam kredit yang akan datang atau dipulangkan kembali kepada bapa. Ia tidak boleh digunakan tanpa pengetahuannya, kecuali jika dia membenarkan penggunaannya.[1]

Justeru, sebagai seorang anak yang bertanggungjawab, adalah penting untuk bersikap amanah dalam menguruskan wang atau perbelanjaan yang diberikan oleh bapa, terutamanya yang melibatkan pembiayaan pengajian. Oleh itu, sekiranya terdapat lebihan wang setelah membayar yuran, wang tersebut hendaklah dipulangkan kembali kepada bapa dan tidak digunakan untuk perkara lain. Namun, jika terdapat keperluan untuk menggunakan wang tersebut, keizinan daripada bapa hendaklah diperoleh terlebih dahulu.

Kami katakan juga, amat perlu memahami situasi seseorang bapa dari sudut kemampuan kewangannya sama ada berkemampuan atau sebaliknya. Jika bapanya seorang yang berkemampuan dan sikapnya amat pemurah kepada anak-anaknya serta difahami apa yang diberikan secara lumpsum untuk anak-anaknya, maka ketika itu dibolehkan bagi anak-anaknya menggunakan untuk keperluan peribadi anak-anak tersebut. Sebaliknya jika keadaan bapanya yang terdesak untuk memperolehi kewangan serta pekerjaannya yang tidak stabil tanpa kemasukan tetap dan punca pendapatan yang jelas, ketika itu sebaik-baiknya hendaklah dipulangkan semula kepada bapa atau sepertimana nasihat Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, digunakan untuk bayaran yuran-yuran yang lain.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘alam

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/research-fatwas/3829/%D8% Diakses pada 7 Ogos 2024