#6718: Mandi Wajib bagi Pesakit Patah Kaki Bersimen

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum jika seorang itu patah kaki dan kakinya di simen. Macam mana untuk dia mandi wajib ya ustaz. Mohon penjelasan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

(Surah al-Ma’idah: 6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61)

Secara umumnya, mandi wajib merupakan mandi yang mana tidak sah ibadat seseorang tanpa melakukannya terlebih dahulu. Antara sebab-sebab yang perlu mandi wajib ialah keluar air mani, bersetubuh, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73)

Rukun Tayammum

Terdapat 3 rukun tayammum:

  • Tempat niat di dalam hati. Oleh itu seseorang hendaklah berniat dalam hatinya perbuatan tayammum tersebut, malah sunat melafazkannya dengan kata, sahaja aku mengharuskan solat, solat fardhu, solat sunat dan seumpamanya yang hendak dilakukannya. Apabila seseorang bertayammum dengan niat mengharuskan yang fardhu, dia boleh melakukan beberapa amalan sunat yang lain bersamanya.
  • Menyapukan debu tanah ke muka dan kedua-dua belah tangan hingga siku dengan dua kali tepukan, yakni menepukkan dua tangan ke atas debu tanah yang suci dan menyapukannya ke seluruh muka. Kemudian menepukkannya lagi ke atas debu tanah tersebut dan menyapukannya pula pada kedua-dua belah tangannya hingga siku dengan cara tapak tangan kiri menyapu tangan kanan dan tapak tangan kanan menyapu tangan kiri.
  • Tertib menurut cara yang telah disebutkan. Ini kerana tayammum menggantikan wudhu’ yang tertib adalah antara rukunnya.

Kesimpulan

Firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا

Maksudnya:  “Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu  dan kedua tangan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 43)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan, saudara hendaklah mandi wajib dengan sepenuhnya kecuali di tempat yang ada simen tersebut. Oleh kerana kaki yang patah tersebut masih dalam rawatan doktor, maka ganti pada tempat tersebut hendaklah anda tayammum mengikut mazhab Syafi’i. Pendapat yang kedua menyatakan anda berhak tayammum sahaja.

Maka, dalam situasi saudara kami cenderung kepada yang pertama iaitu mandi wajib dahulu dan hanya menggantikan tempat yang tidak dikenakan air dengan tayammum. Tayammum ini hanya melibatkan muka dan tangan hingga ke siku sahaja, maka tidaklah memudaratkan kaki simen tersebut kerana ia dibahagian kaki.

Jika sukar, kita boleh bertaqlid kepada mazhab Hanafi dan Maliki dengan hanya tayammum dan tidak wajib menggabungkan kedua-duanya. Inilah juga yang saya nyatakan tadi sebagai pendapat yang kedua.

 Firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun :16)

Namun, saudara perlu mengambil wuduk seperti biasa ketika mahu menunaikan solat kerana bahu bukan dari bahagian anggota wuduk dan hanya sampai di siku sahaja.

Akhir kalam, semoga Allah mengurniakan kesembuhan dan ketabahan buat saudari dalam melayari episod kehidupan ini.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan kita menjadi hamba-hamba-Nya yang soleh yang sentiasa mematuhi titah-perintah-Nya. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

(Surah al-Kahfi: 10)