#6719: Orang Mati Syahid dalam Keadaan Junub; Perlukah Dimandikan?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kita mengetahui bahawa orang yang mati syahid dalam peperangan menentang kuffar, jenazahnya tidak perlu dimandikan mahupun disolatkan. Namun, bagaimana pula jika diketahui orang yang mati syahid itu dalam keadaan berjunub, adakah perlu memandikannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.”

(Surah Ali ‘Imran: 169)

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah berkata: “Allah SWT telah mengkhabarkan kepada kita berkenaan perihal orang yang syahid bahawa mereka hidup di sisi tuhan dengan mendapat rezeki, mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara mereka) orang-orang (Islam yang sedang berjuang) yang masih tinggal di belakang yang belum sampai kepada mereka mereka juga bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnianya.” (Lihat al-Ruh oleh Ibn al-Qayyim, hlm. 18)

Pada asasnya, menurut Imam al-Nawawi, orang yang mati syahid yang tidak dimandikan dan tidak disolatkan adalah mereka yang mati akibat pertempuran dengan orang kafir dalam keadaan berperang, sama ada dibunuh oleh orang kafir atau terkena senjata orang Islam secara tidak sengaja, atau terkena senjata sendiri, atau jatuh dari kudanya, atau ditendang oleh binatang lalu mati, atau dipijak oleh binatang orang Islam atau lainnya, atau terkena anak panah yang tidak diketahui adakah ia disasarkan oleh orang Islam atau kafir, atau didapati terbunuh selepas peperangan tamat tanpa diketahui sebab kematiannya, sama ada terdapat kesan darah atau tidak, dan sama ada mati serta-merta atau hidup seketika kemudian mati akibat sebab tersebut sebelum perang berakhir, dan sama ada dia makan, minum, dan berwasiat atau tidak berbuat apa-apa daripada semua itu.

Semua ini adalah disepakati oleh kami berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya, serta tidak ada khilaf padanya kecuali satu pandangan yang ganjil (syaz) lagi tertolak yang dinukilkan oleh al-Syeikh Abu Muhammad al-Juwaini dalam al-Furuq, bahawa sesiapa yang senjatanya kembali mengenainya atau dipijak oleh binatang orang Islam atau musyrik atau terjatuh ke dalam perigi ketika berperang, atau seumpamanya, dia tidak dianggap sebagai mati syahid (dunia akhirat), sebaliknya dia dimandikan dan disolatkan. Namun, pendapat yang benar ialah pendapat yang pertama — iaitu tidak dimandikan dan tidak disolatkan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/261).

Dalilnya adalah sebagaimana riwayat Jabir R.A bahawa:

 أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ فِي قَتْلَى أُحُدٍ بِدَفْنِهِمْ بِدِمَائِهِمْ وَلَمْ يُصَلَّ عَلَيْهِمْ وَلَمْ يُغَسَّلُوا

Maksudnya: “Nabi SAW memerintahkan supaya mereka para syuhada Uhud untuk dikebumikan bersama darah mereka. Mereka tidak disembahyangkan dan tidak juga dimandikan.”

 Riwayat al-Bukhari (4079, 4080)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Anas bahawa:

أَنَّ شُهَدَاءَ أُحُدٍ لَمْ يُغَسَّلُوا وَدُفِنُوا بِدِمَائِهِمْ وَلَمْ يُصَلَّ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya para syuhada Uhud tidak dimandikan dan dikebumikan bersama darah mereka dan begitu juga mereka tidak disolatkan.”

Riwayat Abu Daud (3135)

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi ada membahaskan dalam kitabnya bahawa jika seseorang mati syahid dalam keadaan berjunub, maka terdapat dua pendapat (dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi‘i). Pendapat yang paling sahih berdasarkan kepada kesepakatan pengarang adalah haram untuk memandikannya. Ini juga merupakan pandangan jumhur ulama ashab kami yang terdahulu (mutaqaddimin) kerana ia merupakan penyucian daripada hadas, maka tidak dibenarkan seperti mandi jenazah.

Pendapat kedua, merupakan pendapat yang dikemukakan oleh Ibn Suraij dan Ibn Abi Hurairah menyatakan, wajib memandikannya disebabkan kesaksian junub. Perselisihan hanya berlaku dalam perkara mandi junubnya, tetapi tiada perselisihan bahawa dia tidak dimandikan dengan niat mandi jenazah. Al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-Mahamili, al-Mawardi, al-‘Abdari dan al-Rafi‘i serta ramai lagi ulama bersepakat bahawa solat jenazah tidak dilakukan ke atasnya meskipun dia dimandikan.

Begitu juga jika seorang wanita mati syahid selepas haidnya sudah berhenti tetapi sebelum mandi wajib, maka dia dianggap seperti orang dalam junub. Jika dia mati syahid semasa sedang haid, maka menurut pendapat bahawa orang berjunub tidak dimandikan, dia adalah lebih utama lagi. Sekiranya tidak, terdapat dua pandangan (dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi‘i) yang dikemukakan oleh pengarang al-Bahr yang berdasarkan kepada sama ada mandi wajib bagi wanita haid adalah apabila darah dilihat atau apabila ia berhenti ataupun kedua-duanya.

Jika kita berpendapat bahawa mandi wajib itu adalah dengan melihat darah, maka dia seperti orang berjunub dan tidak dimandikan secara qat‘i. Inilah pendapat yang lebih sahih. Sesungguhnya al-Qadhi Abu al-Tayyib dan al-Syeikh Nasr al-Maqdisi menunjukkan secara pasti/tegas bahawa dia tidak dimandikan secara sepakat ulama, dan mereka menetapkannya sebagai suatu kewajipan bagi Ibn Suraij.

Seterusnya, Imam al-Nawawi menjelaskan lagi, pengarang (al-Syirazi) ada menyebutkan berkenaan hadith Hanzalah bin al-Rahib dan malaikat memandikannya ketika dia mati syahid dalam keadaan berjunub, tetapi hadith itu adalah lemah (dha‘if). Para ashab kami menyatakan, sekiranya hadith itu sabit (sahih), maka jawapan mengenainya adalah bahawa mandi itu jika ia adalah wajib tidak akan gugur disebabkan oleh perbuatan malaikat dan Nabi SAW akan memerintahkan supaya dia dimandikan. Oleh kerana itu, al-Qadhi Husain dan al-Baghawi berhujah dengan hadith ini untuk meninggalkan mandi wajib tersebut. Jawapan yang diberikan ini masyhur dalam kitab-kitab para ashab. Al-Qadhi Abu Tayyib menyebutkan, Ibn Suraij menjawab/mengkritik jawapan yang diberikan ini dengan menyatakan: “Jadi, seharusnya wajib untuk mengkafankannya jika malaikat telah mengkafankannya dengan sutera.” Al-Qadhi menjawab, sekiranya kita menyaksikan pengkafanan dan penutupan auratnya, kita tidak akan menambah apa-apa kerana yang diinginkan adalah menutupnya, dan perkara itu sudah tercapai/terhasil. Adapun mandi, yang dikehendaki daripadanya adalah untuk manusia beribadah dengannya — yakni ta‘abbudi.” Syeikh Nasr al-Maqdisi juga  menyebut yang seumpamanya, sedangkan pengarang (al-Syirazi) dalam kitabnya menyatakan, sekiranya malaikat telah bersolat ke atasnya atau mengkafankannya dengan sutera, maka hal itu tidak mencukupi. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/263).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa orang yang mati syahid dalam keadaan diketahui bahawa dia sedang berjunub mahupun haid, tetap tidak dibolehkan untuk memandikannya sebagaimana hukum asalnya, iaitu diharamkan untuk memandikan jenazah orang yang mati syahid. Ini kerana hadith yang dijadikan sandaran untuk mewajibkan mandi kepadanya dinilai sebagai lemah. Bahkan sekalipun ia sabit atau dinilai sebagai sahih, tetap tidak menunjukkan kepada kewajipan untuk memandikannya kerana jika mandi itu adalah wajib maka ia tidak akan tergugur dengan sebab perbuatan Malaikat dan Nabi pasti akan memerintahkan untuk memandikannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”