#6721: Doa Sebelum dan Selepas Bangun Tidur

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah doa yang nabi baca sebelum dan setelah bangun dari tidur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ لِبَاسًا وَالنَّوْمَ سُبَاتًا وَجَعَلَ النَّهَارَ نُشُورًا

Maksudnya: Dialah yang menjadikan untukmu malam (sebagai) pakaian, dan tidur untuk istirahat, dan Dia menjadikan siang untuk bangun berusaha.

(Surah al-Furqan: 47)

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, “Dan firman-Nya, (وَهُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ لِبَاسًا) “Dia-lah yang menjadikan untukmu malam sebagai pakaian, iaitu pakaian dan selimutnya. Sebagaimana Allah Ta’ala berfirman, (وَالنَّوْمَ سُبَاتًا) “Dan tidur untuk istirahat, ” iaitu berhenti segala aktiviti untuk beristirehatkan  badan. Ini kerana  anggota badan akan lelah disebabkan banyak aktiviti di saat bertebaran di siang hari untuk mencari kehidupan. Jika tiba waktu malam, maka berhentilah berbagai aktiviti tersebut dan istirehat, lalu tercapailah tidur yang merupakan istirehat badan dan ruh bersama-sama. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/103)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan antara doa yang dibaca oleh Nabi SAW adalah sepertimana yang disebutkan di dalam hadith:

عَنْ حُذَيْفَةَ، قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ قَالَ ‏”‏ اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوتُ ‏”‏‏.‏ وَإِذَا أَصْبَحَ قَالَ ‏”‏ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ ‏”‏‏.‏

MaksudnyaKetika Nabi () hendak tidur, baginda biasa mengucapkan,

اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوتُ

(Dengan menyebut nama-Mu ya Allah, aku hidup dan aku mati)

Dan ketika bangun pada pagi hari, baginda biasa mengucapkan,

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

(Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepada-Nya lah tempat kembali)

Riwayat al-Bukhari (7394)

Dalam sebuah hadith daripada ‘Ubadah bin al-Samit, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَعَارَّ مِنَ اللَّيْلِ، فَقَالَ: لاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، الحَمْدُ لِلَّهِ، وَسُبْحَانَ اللهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ، ثُمَّ قَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، أَوْ دَعَا، اسْتُجِيبَ لَهُ، فَإِنْ تَوَضَّأَ وَصَلَّى قُبِلَتْ صَلاَتُهُ

Maksudnya:Barangsiapa yang terbangun pada waktu malam lalu mengucapkan: ‘لاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، الحَمْدُ لِلَّهِ، وَسُبْحَانَ اللهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ’ (‘Tiada tuhan melainkan Allah SWT, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan untuk-Nya segala pujian, dan Dia berkuasa atas segala sesuatu. Segala puji bagi Allah SWT, Maha Suci Allah SWT, tiada tuhan melainkan Allah SWT, Allah Maha Besar, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah SWT,’) kemudian dia mengucapkan: ‘اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي’ (‘Ya Allah, ampunilah aku,’) – atau dia berdoa, nescaya akan dikabulkan untuknya. Dan sekiranya dia berwudhu’ dan menunaikan solat, maka solatnya akan diterima.

Riwayat al-Bukhari (1154)

Dinukilkan daripada Ibn Battal, katanya: “Janji Allah sebagaimana yang dinyatakan oleh nabi-nabinya ialah sesiapa yang tersedar daripada tidurnya lidahnya menyebut akan keesaan Allah, tunduk kepada kepada kekuasaan-Nya, mengiktiraf nikmat-Nya dengan memuji-Nya, menyucikan Allah daripada apa yang tidak layak bagi-Nya dengan bertasbih kepada-Nya, merendah diri kepada-Nya dengan bertakbir, berserah kepada-Nya kerana kelemahan diri melainkan dengan perlindungannya apabila seseorang itu berdoa kepada-Nya maka Dia akan menjawabnya dan apabila dia solat maka Dia akan menerimanya. Maka, barangsiapa yang mendengar hadith ini hendaklah dia berusaha bersungguh-sungguh dalam beramal serta mengikhlaskan niat kepada Allah SWT.” (Lihat ‘Umdah al-Qari, 7/212).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”