#6722: Membunuh Nyamuk di dalam Masjid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Nyamuk merupakan sejenis haiwan yang sangat mudah ditemui di pelbagai tempat, di dalam rumah, bilik air dan tempat lain. Malah, nyamuk ini juga boleh ditemui di masjid dalam jumlah yang sangat besar dan banyak sekali gus mengganggu jemaah yang sedang solat. Oleh itu, ada sebahagian jemaah tidak teragak-agak membunuh nyamuk di dalam masjid. Apakah sebenarnya hukum membunuh nyamuk di dalam masjid? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sememangnya terdapat nas yang membenarkan umat Islam untuk membunuh haiwan-haiwan tertentu. Ini kerana sesetengahnya mengancam nyawa manusia, melakukan kerosakan dan sebagainya. Ini seperti mana dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحَرَمِ الْفَأْرَةُ وَالْعَقْرَبُ وَالْحُدَيَّا وَالْغُرَابُ وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ

Maksudnya: “Lima haiwan fasiq dan boleh dibunuh di tanah haram iaitu: tikus, kala jengking, burung helang, burung gagak, dan anjing gila atau ganas.”

Riwayat al-Bukhari (3314) dan Muslim (1198)

Lafaz “فَوَاسِق” berasal daripada bahasa Arab, iaitu (فَسِق) dan merupakan kata jama’ “فُوَيْسِق” iaitu “si kecil yang suka membuat kerosakan (kejahatan).” Ia memberi makna sama, iaitu haiwan perosak, liar, buas, jahat, pengganggu, penceroboh dan berbahaya kepada manusia. (Lihat Lisan al-‘Arab, 10/310)

Perkataan “fasiq” pada haiwan adalah dengan maksud dicabut kehormatan pada sebahagian haiwan disebabkan sifatnya yang membawa kemudaratan, kehinaan dan kemusnahan kepada manusia. (Lihat Fath al-Bari, 4/45; Tuhfah al-Ahwazi, 3/375)

Lima jenis haiwan yang disebut sebagaimana yang diriwayatkan tidak bermaksud ia hanya khusus kepada lima jenis haiwan itu sahaja. Ia hanya merupakan salah satu bentuk contoh dalam menyatakan jenis haiwan fasiq dan tidak menjadi dasar ketetapan dalam hujah dan hukum hanya bagi kelima-lima tersebut sahaja. Nabi SAW turut menyebutkan ular dan cicak dalam riwayat lain. (Lihat Fath al-Bari, 4/44).

Justeru, tidak syak lagi bahawa nyamuk termasuk dalam jenis haiwan dibenarkan untuk dibunuh kerana ia mengganggu dan melakukan kerosakan kepada manusia.

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, sebenarnya terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mengenai membunuh nyamuk, cicak dan haiwan seumpamanya di dalam masjid. Sekurang-kurangnya, terdapat dua pandangan ulama tentang masalah ini.

Pendapat pertama, haram membunuh nyamuk, cicak, kutu dan haiwan seumpamanya di dalam masjid. Ia diharamkan untuk dilakukan di dalam masjid kerana dikhuatiri akan mencemarkan masjid, walaupun hanya sedikit darah nyamuk yang dibunuh.

Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Zainudin al-Malibari dalam kitabnya bahawa:

وَرَمْيُ نَحْوِ قَمْلَةٍ فِيهِ مَيْتَةٌ وَقَتَلَهَا فِي أَرْضِهِ وَإِنْ قَلَّ دَمُهَا

Maksudnya: “Dan (diharamkan) membuang bangkai kutu padanya, dan membunuhnya di atas tanah masjid (lantai masjid), walaupun darahnya sedikit.” (Lihat Fath al-Mu‘in, hlm. 132)

Kemudian, Syeikh Abu Bakar Uthman al-Dimyati menjelaskan kenyataan al-Malibari di atas dengan menyebutkan, maksudnya adalah diharamkan membuang haiwan seumpama kutu, seperti pinjal (flea), pijat (cimex) dan nyamuk di dalam masjid, jika ia sudah menjadi bangkai (mati) disebabkan oleh kenajisannya pada waktu itu. Begitu juga diharamkan untuk membunuh kutu atau haiwan seumpamanya di lantai masjid kerana ia bermaksud menjadikan tempat itu kotor. Bahkan dalam kenyataan di atas iaitu “walaupun darahnya sedikit” menunjukkan bahawa ia tetap haram. (Lihat I‘anah al-Talibin, 1/225).

Pendapat kedua, tidak ada masalah untuk membunuh nyamuk atau haiwan seumpamanya di dalam masjid. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Marwazi bahawa beliau pernah ditanya tentang membunuh kutu dan pijal di dalam masjid. Lalu beliau menjawab:

 أَرْجُو أَنْ لَا يَكُونَ بِهِ بَأْسٌ

Maksudnya: “Aku berharap bahawa hal itu tidak menjadi masalah — yakni tidak mengapa.” (Lihat al-Mubdi‘ fi Syarh al-Muqni‘, 1/431)

Selain itu, selepas menyebutkan kenyataan di atas, beliau juga ada menyebutkan dalam  al-Fusul dan kitab selainnya bahawa bahagian dalam masjid adalah sama seperti bahagian luarnya dalam kewajipan menjaga kebersihannya daripada najis. (Lihat al-Furu‘ wa Tashih al-Furu‘, 2/266).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa tidak mengapa membunuh nyamuk atau haiwan seumpamanya yang mengganggu dan menyakiti manusia di dalam masjid, dengan syarat perbuatannya itu jangan sampai mencemarkan masjid, tidak kira di kawasan mana pun, dan bangkainya hendaklah segera dibuang ke luar masjid. Ini bagi mengelakkan daripada mengotori dan mencemari masjid, yang mana menjadi kehormatan dan memelihara masjid daripada dicemari oleh najis adalah wajib.

Namun, sekiranya dapat dielakkan daripada melakukannya di dalam masjid (yakni membunuh nyamuk dan haiwan perosak  seumpamanya) adalah jauh lebih baik dan keluar daripada khilaf sebagai mengambil langkah berhati-hati (ihtiyatan) daripada termasuk dalam pendapat mereka yang mengharamkan/melarang perbuatan tersebut. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: “Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”