#6725: Membunuh Semut dalam Ihram

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya telah membunuh semut semasa dalam ihram dengan sengaja, apakah kafarah yang dikenakan kepada saya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, semut termasuk dalam haiwan yang dilarang untuk dibunuh. Ini adalah sebagaimana hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِ أَرْبَعٍ مِنَ الدَّوَابِّ: النَّمْلَةِ، وَالنَّحْلَةِ، وَالْهُدْهُدِ، وَالصُّرَدِ

Maksudnya:Rasulullah SAW melarang daripada membunuh empat binatang yang melata iaitu semut, lebah, hud-hud dan al-Surad (sejenis burung lang).

Riwayat Ahmad (3066). Menurut Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut, hadith ini adalah sahih.

Justeru, hadith di atas, jelas menunjukkan bahawa semut termasuk dalam haiwan yang dilarang untuk dibunuh. Namun, menurut al-Bujairami, semut yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah yang dikenali sebagai al-Naml al-Sulaimani iaitu sejenis semut besar yang tidak mengganggu berbeza dengan semut kecil yang mengganggu dan memudaratkan. (Lihat Hasyiah al-Bujairami ‘ala al-Khatib, 4/317)

Selain itu, al-‘Azim Abadi ada menukilkan daripada al-Damiri bahawa beliau berpendapat semut yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah semut besar Sulaimani sebagaimana dinyatakan juga oleh al-Khattabi dan al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah. Adapun semut kecil yang dipanggil sebagai al-Zar “الذَّرّ”, maka membunuhnya adalah dibolehkan. Manakala Imam Malik pula berpendapat makruh untuk membunuhnya — yakni semut kecil itu — kecuali ia memberi mudarat (atau mengganggu manusia) dan tidak ada cara lain bagi mencegah gangguan tersebut melainkan dengan membunuhnya, sedangkan Ibn Abi Zaid pula berpendapat diharuskan untuk membunuhnya apabila ia mengganggu atau menyakiti manusia. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 14/119).

Selain itu, al-Khattabi juga ada menyatakan, semut terbahagi kepada dua jenis. Pertamanya, jenis yang mengganggu dan memudaratkan, maka mencegah kemudaratan atau gangguan daripada semut itu adalah dibolehkan — yakni membunuhnya. Keduanya, jenis yang tidak memberi mudarat iaitu jenis semut yang memiliki kaki yang panjang, dan tidak boleh untuk membunuhnya. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 2/283)

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa semut boleh dibunuh jika ia mengganggu dan menyakiti manusia. Sebaliknya, jika ia tidak memberi mudharat atau ancaman, maka hukumnya adalah haram untuk membunuhnya (tidak kira dalam keadaan berihram ataupun tidak) berdasarkan hadith Nabi SAW yang jelas melarang daripada membunuh semut, lebih-lebih lagi tanpa sebarang sebab mahupun keuzuran.

Kemudian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa membunuh semut oleh orang yang dalam keadaan berihram tidak mempengaruhi kesahan hajinya atau umrahnya, dan tidak diwajibkan apa-apa denda/bayaran kafarah ke atasnya. Ini adalah sebagaimana dinyatakan Imam al-Nawawi yang menyebutkan dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (7/334) bahawa Imam al-Syafi‘i melarang membunuh semut, tetapi tidak mengenakan apa-apa hukuman ke atas orang yang berihram jika membunuhnya.

Ini juga adalah sebagaimana jawapan yang telah diberikan oleh Da’irah al-Ifta’ al-‘Am.[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/fatwa/3119/حكمقتلالنملأثناءالإحرام. Diakses pada 8 Ogos 2024.