#6726: Perbezaan di antara Fakir dan Miskin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah definisi fakir dan miskin, dan perbezaan di antara keduanya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT telah menyatakan golongan yang berhak diagihkan zakat melalui firman-Nya:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya:Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Taubah: 60)

Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan bahawa ayat ini merupakan penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Mana-mana daripada golongan ini yang telah kamu berikan zakat, maka sudah memadai sebagaimana Allah SWT memerintahkan kita untuk menghadap kiblat iaitu kaabah. Sekiranya kita sudah menghadap sebahagian daripada kaabah, maka sudah dikira menghadap kiblat.” (Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265)

Dalam menjawab soalan di atas, jelaslah bahawa pembahagian zakat telah ditetapkan dalam syariat dan terhad kepada lapan golongan seperti mana yang disebutkan dalam ayat 60 daripada surah al-Taubah (yang kami nyatakan di atas). Maka, fakir dan miskin adalah antara golongan yang layak menerima zakat.

Fakir dan miskin kedua-duanya mempunyai keperluan, namun tahap keperluan mereka berbeza, di mana keperluan fakir lebih tinggi daripada miskin. Fakir didefinisikan sebagai seseorang yang tidak memiliki harta atau pekerjaan yang boleh memberikan pendapatan yang mencukupi untuk keperluan asasnya seperti makanan, minuman, pakaian, perubatan, dan tempat tinggal dalam had/kadar yang biasa; seperti seseorang yang memperoleh kurang daripada separuh keperluannya.

Manakala miskin pula didefinisikan sebagai seseorang yang mempunyai harta atau pendapatan yang dapat menampung sebahagian daripada keperluannya tetapi tidak mencukupi; iaitu seseorang yang memperoleh lebih daripada separuh keperluannya tetapi tidak mencapai had kecukupan.

Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, fakir ialah seseorang yang tidak memiliki harta atau pekerjaan yang memberikan pendapatan yang mencukupi untuk keperluannya. Yang dimaksudkan dengan keperluannya adalah apa yang mencukupi baginya dari segi makanan, pakaian, tempat tinggal, dan keperluan lain yang tidak dapat dielakkan dengan cara yang sesuai dengan keadaannya dan orang yang ditanggung nafkahnya tanpa berlebihan atau kedekut (terlalu berjimat). Sekiranya dia mempunyai pekerjaan yang dihalang oleh penyakit, atau tidak dapat mencari pekerjaan, atau mendapatkan pekerjaan yang tidak sesuai dengannya, atau tidak mendapatkan pekerjaan yang halal; maka dia dikira sebagai fakir. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/173).

Kemudian, al-Khatib al-Syirbini turut menyebutkan, miskin ialah seseorang yang mampu mendapatkan harta atau pekerjaan yang sesuai dengan dirinya yang halal dan dapat menampung sebahagian daripada keperluannya untuk makanan, minuman, pakaian, dan keperluan lain untuk dirinya dan orang yang ditanggung nafkahnya seperti yang disebut dalam definisi fakir, tetapi tidak mencukupi; seperti seseorang yang memerlukan sepuluh tetapi hanya mendapatkan tujuh atau lapan.  (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/176).

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyataan di atas, jelaslah perbezaan di antara fakir dan miskin. Fakir dan miskin kedua-duanya mempunyai keperluan, tetapi keperluan fakir lebih mendesak daripada keperluan miskin, dan kedua-duanya termasuk dalam golongan yang layak menerima zakat.

Ini juga adalah sebagaimana jawapan yang telah diberikan oleh Da’irah al-Ifta’ al-‘Am.[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Nota hujung:

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/researchfatwas/3900/الفقيروالمسكينوالفرقبينهما. Diakses pada 8 Ogos 2024.