#6727: Membunuh Monyet yang Mengganggu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah saya membunuh monyet yang selalu mengganggu tanaman, mencuri makanan, dan berkemungkinan membahayakan keselamatan anak-anak kecil saya? Ini kerana saya sudah cuba menghalaunya dengan pelbagai cara tetapi ia tetap juga datang dan membuat kacau, serta monyet-monyet itu juga kelihatan agak agresif. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan sedikit penerangan ringkas berkenaan haiwan monyet ini. Dalam bahasa Arab, monyet dipanggil sebagai al-Qird (القِرْدُ). Menurut al-Damiri, ia adalah haiwan yang sememangnya dikenali orang ramai. Nama julukannya (kunyah) ialah Abu Khalid, Abu Khubaib, Abu Khalaf, Abu Zannah dan Abu Qissyah. Perkataan jamaknya ialah qurud (قُرُودٌ) dan boleh juga sebagai qiradah (قِرَدَة). Manakala monyet betina pula dipanggil sebagai qirdah (قِرْدَةٌ) dan jamaknya ialah qiradun (قِرَدٌ). Ia ialah haiwan yang hodoh, lucu, cerdik, cepat faham, dan boleh mempelajari suatu bidang (profesion). Dihikayatkan bahawa penguasa Nubah telah menghadiahkan kepada al-Mutawakkil seekor monyet tukang jahit dan seekor lagi monyet tukang emas dan perak. Selain itu, penduduk Yaman juga ada mengajarkan monyet-monyet bagi memenuhi keperluan-keperluan mereka, sehinggakan penjual daging dan pemilik kedai mengajarkan kepada monyet bagi menjaga kedai sehingga pemiliknya kembali. Begitu juga ada monyet diajar untuk mencuri lalu ia mencuri. Selain itu, monyet betina boleh melahirkan anak dalam satu perut sebanyak sepuluh atau dua belas ekor. Monyet jantan juga sangat cemburu kepada monyet betina (pasangannya).

Haiwan ini menyerupai manusia dalam kebanyakan keadaannya. Sesungguhnya ia ketawa, bersedih, duduk di atas punggungnya sambil menegakkan kaki dan pahanya, bercerita, memegang sesuatu dengan tangannya, mempunyai jari-jari yang terpisah menjadi hujung-hujung jari dan kuku, boleh diajar dan dilatih, jinak dengan manusia, berjalan dengan menggunakan empat kaki kebiasaannya, boleh juga berjalan dengan menggunakan dua kaki dalam jangka masa yang singkat, bahagian bawah matanya mempunyai silia dan perkara tersebut tidak terdapat pada mana-mana haiwan lain selainnya. Ia seperti manusia.  Hal ini kerana jika ia terjatuh ke dalam air, ia akan lemas seperti mana manusia bagi yang tidak pandai berenang. Ia juga memilih pasangannya melalui perkahwinan dan cemburu dengan monyet betina (pasangannya). Kedua-dua perkara ini termasuk dalam kemuliaan manusia. Di samping itu, jika nafsunya semakin bertambah (membuak-buak), ia akan beronani, dan begitu juga monyet betina mengandungkan anaknya sebagaimana wanita mengandung. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 3/475-476).

Keduanya, para ulama telah berselisih pendapat berkenaan hukum memakannya. Ada yang berpendapat ia haram dimakan, dan inilah pendapat yang rajih (kuat). Ada juga yang berpendapat ia tidak haram.

Dalam hal ini, al-Damiri menukilkan pendapat Ibn ‘Abd al-Barr yang menyebutkan, tidak diketahui dalam kalangan ulama kaum Muslimin khilaf berkenaan monyet bahawa ia tidak dimakan. Begitu juga aku tidak mengetahui seorangpun dalam kalangan ulama yang memberi kelonggaran (rukhsah) untuk memakannya. Anjing, gajah dan haiwan yang bertaring kesemuanya menurutku adalah sama sepertinya. Apa yang membuatkan monyet dan haiwan seumpamanya diharamkan kerana ia mengharamkan dirinya sendiri dengan menahan sifat semulajadinya dan jiwa manusia menjauhkan diri daripadanya. Begitu juga tidak dilaporkan kepada kami bahawa bangsa Arab mahupun orang-orang lain memakannya.

Diriwayatkan daripada al-Sya‘bi, katanya:

إِنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَن لَحْمِ القِرْدِ  لِأَنَّهُ سَبُعٌ

Maksudnya:Sesungguhnya Nabi SAW melarang daripada (memakan) daging monyet kerana ia adalah binatang buas.”

Jadi, ia termasuk dalam keumuman hadith (yang melarang daripada memakan binatang buas). (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, Cet. Dar al-Basya’ir, 3/484-485).

Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #1302: Memakan Monyet.[1]

Ketiganya, monyet termasuk dalam jenis haiwan yang boleh dijual beli. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh al-Damiri bahawa jual beli monyet adalah diharuskan kerana ia boleh dilatih dan diajar. Lalu ia boleh memegang lilin dan menjaga barangan. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, Cet. Dar al-Basya’ir, 3/484).

Tambahan lagi, al-Khatib al-Syirbini juga ada menyatakan bahawa menjual haiwan-haiwan yang boleh diambil manfaat daripadanya seperti harimau untuk tujuan memburu, gajah untuk tujuan peperangan, monyet untuk tujuan mengawal, lebah untuk tujuan mendapatkan madu dan seumpamanya adalah dibenarkan dan sah jual beli tersebut. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/342). Ia dibenarkan atas alasan semua binatang ini mempunyai manfaat menurut adat dan dibenarkan oleh syarak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/17).

Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #1299: Jual Beli Monyet.[2]

Keempatnya, dalam menjawab soalan di atas, tidak dapat dinafikan bahawa agama Islam sangat menekankan soal berbuat baik (Ihsan) kepada seluruh makhluk termasuklah haiwan. Berbuat baik kepada haiwan termasuk dalam akhlak dan sikap yang baik. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Begitu juga kita dilarang daripada membunuh haiwan sesuka hati atau sewenang-wenangnya, tanpa sebarang sebab munasabah. Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَا مِنْ إِنْسَانٍ قَتَلَ عُصْفُورًا فَمَا فَوْقَهَا بِغَيْرِ حَقِّهَا إِلَّا سَأَلَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَنْهَا قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ ! وَمَا حَقُّهَا؟ قَالَ: يَذْبَحُهَا فَيَأْكُلُهَا وَلَا يَقْطَعُ رَأْسَهَا يَرْمِي بِهَا

Maksudnya: “Tidaklah seseorang membunuh burung ‘usfur dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.’”

Riwayat al-Nasa’i (4349); al-Darimi (1978); al-Zahabi menyatakan dalam al-Muhazzab (7/3614), sanadnya adalah baik.[3]

Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin menyatakan, ini menunjukkan hukumnya adalah makruh, dan jika dikatakan hukumnya adalah haram, maka terdapat alasan kukuh bagi perkara itu kerana ia termasuk dalam perbuatan yang sia-sia, pembaziran harta dan membuang masa. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 15/98).

Walau bagaimanapun, kita dibolehkan untuk membunuh haiwan dalam situasi-situasi atau keadaan tertentu bagi mencegah kerosakan dan mudaratnya. Ini adalah sebagaimana dinyatakan bahawa haiwan yang mengganggu atau melakukan kerosakan hendaklah dicegah sedikit demi sedikit meskipun ia akan menyebabkannya kepada kematiannya. Sebahagian mereka menyatakan, jika haiwan itu dapat dicegah dengan hanya menakutkannya (atau menghalaunya sahaja) tetapi ia akan kembali semula dan melakukan kerosakan yang ingin dicegah dalam keadaan tidak sedar dan hal itu juga berulang kali berlaku, maka dibolehkan untuk membunuhnya, sekalipun dalam keadaan tidak memudaratkan atau membahayakan. Hal ini kerana kejahatan dan kerosakannya tidak terjamin dalam dielakkan melainkan dengan cara membunuhnya. (Lihat Hasyiata Qalyubi dan ‘Umairah, 4/214).

Begitu juga haiwan seperti kucing jika mengganggu dan melakukan kerosakan boleh disamakan dengan anjing gila dan binatang bias sehinggakan ia boleh dibunuh jika tidak ada lagi jalan lain bagi mengatasi kerosakannya melainkan dengan cara itu sahaja. Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam al-‘Aziz Syarh al-Wajiz (11/312) bahawa:

 فَالبَهِيمَةُ إذا صَالَتْ صَارَتْ بِمَثَابَةِ الكَلْبِ العَقُورِ والسَّبُعِ الضَّارِي

Maksudnya: “Haiwan jika ia mengganggu/melakukan kerosakan, boleh disamakan dengan anjing gila dan binatang buas (yang berbahaya).

Tambahan lagi, al-Baijuri juga ada menyatakan, setiap haiwan yang menimbulkan kerosakan, seperti kucing yang diketahui menyebabkan kerosakan kepada burung, makanan dan sebagainya, pemiliknya mesti menggantikannya dan dia mesti mencegahnya sedikit demi sedikit seperti haiwan yang mengganggu/berbahaya. (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh al-Ghazzi ‘ala Matn Abi Syuja‘, Cet. DKI, 2/469).

Selain daripada itu, Syeikh Ibn al-‘Uthaimin juga ada menyebutkan, haiwan terbahagi kepada dua jenis:

Jenis pertama: Haiwan yang secara tabiat semula jadinya perosak/mengganggu. Maka, disunatkan untuk membunuhnya tidak kira ia terdiri dalam jenis haiwan yang terdapat nas daripada Nabi SAW untuk membunuhnya seperti kala jengking, tikus dan anjing gila, atau ia mempunyai ‘illah yang sama (dengan haiwan yang diperintahkan untuk membunuhnya) iaitu mengganggu/melakukan kerosakan. Oleh sebab itu, para ulama turut berpendapat, disunatkan untuk membunuh semua jenis haiwan yang melakukan kerosakan/mengganggu. Justeru, haiwan seperti ini boleh dibunuh jika kebiasaannya melakukan kerosakan/mengganggu; sehinggakan sekalipun pada waktu itu ia mungkin tidak melakukan kerosakan/mengganggu kerana jika ia tidak melakukan kerosakan/mengganggu pada waktu tersebut, ia berkemungkinan akan melakukannya pada masa yang lain.

Jenis kedua: Haiwan yang (secara tabiat semula jadinya) tidak melakukan kerosakan/mengganggu dan tidak juga memudaratkan. Maka haiwan seperti ini tidak dibunuh. Akan tetapi membunuhnya tidak dihukumkan sebagai haram melainkan tidak membunuhnya adalah lebih utama. Namun, jika ia melakukan kerosakan/mengganggu, maka dibenarkan untuk membunuhnya sebagai suatu tidak balas untuk mencegah kemudaratannya. (Lihat Liqa’ al-Bab al-Maftuh, 67/12).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa seseorang itu membunuh monyet yang mengganggu, menyakiti dan melakukan kerosakan, apatah lagi jika ia mengancam nyawa anak-anak kecil dan membahayakan mereka. Begitu juga dibolehkan untuk membunuhnya sekalipun hanya dikhuatiri atau terdapatnya sangkaan yang kuat (ghalabah al-zan) ia akan melakukan kerosakan atau bahaya tersebut. Ini kerana ia termasuk dalam jalan atau cara untuk mencegah kerosakan disebabkannya.

Adapun jika monyet itu langsung tidak mengganggu atau melakukan kerosakan, maka kami berpendapat bahawa sebaik-baiknya ia tidak dibunuh tetapi cukup sekadar dengan hanya menghalaunya pergi jauh sahaja.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/1302-memakan-monyet/. Diakses pada 8 Ogos 2024.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/1299-jual-beli-monyet/  Diakses pada 8 Ogos 2024.

[3] Begitu juga Ibn al-Mulaqqin menilainya sebagai sahih dalam al-Badr al-Munir (9/376). Manakala Ibn Kathir dalam Irsyad al-Faqih (1/368) menilainya sebagai hasan, dan begitu juga ia dinilai sebagai hasan dalam Sahih al-Targhib (1092).