#6728:  Benarkah Pengharaman Nikah Mut‘ah Itu Daripada Ijtihad Umar R.A

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah Umar R.A mengharamkan nikah mut‘ah berdasarkan ijtihadnya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ

Maksudnya: “Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah SWT telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Kami mulakan dengan takrifan Nikah Mut’ah. Ia adalah nikah yang telah dilarang oleh syara, dan ia  adalah perkahwinan dengan jangka waktu tertentu, baik jangka waktu yang pendek atau lama. Ini adalah ketika seorang lelaki berkata kepada seorang wanita, ‘Aku telah mengahwini engkau untuk sehari atau sepuluh hari atau sebulan, atau aku telah mengahwini engkau sehingga aku meninggalkan negara ini, atau seumpamanya. Perkara ini tidak dianggap sebagai perkahwinan kerana ia tidak bertujuan untuk kekal .(Lihat al-Umm, 5/75)

Ibnu Abbas menyatakan bahawa hukum pengharaman kahwin mut‘ah secara mutlak berdasarkan pendapat jumhur sahabat. (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram Min Jam’i  Adillah  al-Ahkam, 2/ 184).

Kemudian, Qadhi Iyad juga berpendapat bahawa berlaku ijmak dalam kalangan ulama yang mengharamkan kahwin muta’h kecuali aliran Syiah Rafidah. (Lihat Ikmal al-Mu‘lim li Fawa’id Muslim, 4/ 537)

Turut diambil perhatian bahawa al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Jaafar bin Muhammad al-Sodiq, seorang yang dianggap maksum dan imam keenam menurut dakwaan ajaran Syiah ketika ditanya mengenai kahwin mut‘ah, beliau menjawab: “Ia adalah zina”.( Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 9/ 150)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa terdapat tanggapan bahawa ‘Umar R.A mengharamkan nikah mut‘ah berdasarkan ijtihad dan pandangannya sendiri. Namun, perkara tersebut tidak benar kerana Umar melarangnya adalah berdasarkan larangan  Rasulullah SAW.

Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan oleh Sabrah bin Ma‘bad al-Juhani dari ayahnya, bahaw beliau pernah mengkhabarkan:

أنَّ رَسولَ اللهِ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ نَهى عَنِ المُتْعَةِ زَمانَ الفَتْحِ، مُتْعَةِ النِّساءِ، وَأنَّ أَباهُ كانَ تَمَتَّعَ ببُرْدَيْنِ أَحْمَرَيْنِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah melarang nikah mut‘ah di saat penaklukan kota Makkah dan ayahnya juga pernah melakukan mut‘ah dengan dua helai kain burdah bewarna merah?

Riwayat Muslim(1406)

Disebutkan dalam Taufiq al-Rab al-Mun‘im bi Syarh Sahih al-Imam Muslim (4/18) bahawa: Hadith ini menegaskan  bahawa yang mengharamkan mut‘ah adalah Rasulullah SAW, bukan Umar R.A. Apa yang dinyatakan adalah bahawa Umar R.A menunjukkan pengharaman dan melaksanakannya kerana sebahagian orang tidak mengetahuinya dan tidak mematuhinya.

Selain itu juga, al-Asyubi menyatakan: Haidth ini menunjukkan bahawa Umar R.A tidak melarangnya berdasarkan ijtihadnya sendiri, tetapi melarangnya berdasarkan larangan Rasulullah SAW. Yang demikian, telah dinyatakan dengan jelas tentang perkara itu melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa beliau berkata:

 إنَّ رسولَ اللَّهِ صلّى اللَّهُ عليْهِ وسلَّمَ أذِنَ لنا في المتعةِ ثلاثًا ثمَّ حرَّمَها واللَّهِ لا أعلمُ أحدًا يتمتَّعُ وَهوَ محصَنٌ إلّا رجمتُهُ بالحجارةِ إلّا أن يأتيني بأربعةٍ يشْهدونَ أنَّ رسولَ اللَّهِ أحلَّها بعدَ إذ حرَّمَها

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW membenarkan kami untuk melakukan mut‘ah sebanyak tiga kali, kemudian beliau mengharamkannya. Demi Allah, aku tidak mengetahui ada seseorang yang melakukan mut ‘ah sementara dia sudah menikah kecuali aku akan merejamnya dengan batu, kecuali jika dia membawa kepada aku empat orang saksi yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah menghalalkannya setelah mengharamkannya.”

Riwayat Ibn Majah (1611)

(Lihat Bahr al-Muhit al-Sajjaj fi Syarh Sahih al-Imam Musli Bin al-Hajjaj, 25/85)

Justeru, berdasarkan perbincangan di atas pengharaman nikah mut‘ah  bukanlah hasil daripada ijtihad atau pandangan peribadi Umar R.A. Sebaliknya, beliau mengharamkannya berdasarkan larangan yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadith di atas. Ini juga menunjukkan betapa pentingnya kita merujuk kepada sunnah dan ajaran Baginda SAW dalam membuat keputusan yang berkaitan dengan hukum-hakam Islam.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘alam