#6730: Akad al-Mudharabah dalam Islam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Beberapa hari lepas, saya ada terbaca tentang sebuah syarikat perniagaan yang dikatakan bergerak atas konsep al-Mudharabah. Boleh berikan penerangan sedikit tentang konsep ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kalimah al-Mudharabah (المُضَارَبَةُ) ini merupakan istilah yang digunakan oleh ahli al-Hijaz, atau juga disebutkan oleh ahli al-‘Iraq sebagai al-Qiradh (القِرَاضُ). al-Mudharabah ini adalah apabila seorang pemilik harta memberikan hartanya kepada satu pihak untuk diniagakan harta tersebut dan keuntungan yang diperolehi akan dikongsi bersama antara kedua-dua pihak. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 6/82; Mughni al-Muhtaj, 3/398)

Hukum asal akad al-Mudharabah ini adalah harus, dan fuqaha berhujah dengan kisah Rasulullah SAW sebelum zaman kenabian Baginda, ketika mana Saidatina Khadijah R.A memberikan kepada Baginda wang untuk diniagakan di Syam, Khadijah membiarkan hambanya bernama Maisarah pergi bersama Baginda.  (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah, 1/188)

Mereka juga beristidlal dengan firman Allah SWT:

لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَبْتَغُوا۟ فَضْلًۭا مِّن رَّبِّكُمْ ۚ

Maksudnya: “Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu.”

(Surah al-Baqarah: 198)

Imam al-Mawardi berkata, pada konsep al-Mudharabah itu terdapat keinginan untuk mencari limpah kurnia Allah SWT dan mengembangkannya.

Keharusan ini juga berdasarkan hadith Jabir bin Abdullah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

دَعُوا النَّاسَ يَرْزُقُ اللَّهُ بَعْضَهُمْ مِنْ بَعْضٍ

Maksudnya: “Biarkanlah masyarakat, Allah memberikan rezeki kepada sebahagian mereka melalui sebahagian yang lain.”

Riwayat Muslim (1522)

Begitu juga dalam konsep ini terdapat rezeki sebahagian pihak melalui sebahagian yang lain. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 7/305)

Persepakatan sahabat pada keharusan al-Mudharabah ini juga  menjadi hujah, sebagaimana yang dinukilkan oleh ilmuwan Islam. (Lihat ‘Ujalah al-Muhtaj, 2/910)

Menurut pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (7/73), hikmah pensyariatan konsep ini secara umumnya adalah untuk mengembangkan harta, merealisasikan amalan saling bantu-membantu antara individu dan masyarakat, serta mencapai integrasi antara kemampuan dan keupayaan setiap pihak. Ia dilakukan dengan cara mengambil istifadah dari orang yang mempunyai harta tetapi sedikit pengalamannya, begitu juga mengambil istifadah dari orang yang berpengalaman luas tetapi mungkin sedikit hartanya. Terdapat keperluan kepada konsep sebegini agar setiap pihak dapat saling membantu dan mengambil manfaat antara satu sama lain, Begitu juga, konsep ini meraikan maslahah umum iaitu peranan wang selaku dasar kelangsungan hidup manusia, dalam masa yang sama memanfaatkan kemampuan yang telah Allah SWT kurniakan kepada umat manusia. Firman-Nya:

ٱلدُّنْيَا ۚ وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍۢ دَرَجَـٰتٍۢ لِّيَتَّخِذَ بَعْضُهُم بَعْضًۭا سُخْرِيًّۭا ۗ

Maksudnya: “Dan Kami juga telah menjadikan darjat setengah mereka tinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain.”

(Surah al-Zukhruf: 32)

Rukun dan Syarat dalam Konsep al-Mudharabah

Terdapat beberapa rukun asas yang perlu ada dalam konsep ini bagi memastikan ia dapat dilaksanakan bertepatan dengan kehendak syara‘. Antara rukun asas yang digariskan oleh fuqaha’ al-Syafi‘iyyah adalah:

1) Dua pihak yang melakukan akad al-Mudharabah, iaitu pemodal dan juga pengusaha.

Syarat yang mesti dipenuhi oleh kedua-dua pihak ini adalah:

  1. berkeahlian untuk mewakilkan bagi pihak pemodal, dan berkeahlian untuk menerima perwakilan bagi pihak pengusaha.

Oleh yang demikian, akad ini tidak sah jika salah seorang dari mereka itu safih (kurang akal pertimbangannya), masih kanak-kanak, gila, atau seorang hamba yang tidak mendapat keizinan tuannya. Mereka semua ini tidak tergolong dalam kalangan mereka yang layak untuk mewakilkan atau menerima perwakilan dari sesiapa.

2) Harta yang dilaburkan, iaitu wang yang diberikan dari pihak pemodal kepada pengusaha.

Harta ini pula mestilah menepati syarat-syarat tersebut:

  1. Diberikan dalam bentuk wang menurut persepakatan ulama, sepertimana yang dinukilkan Imam al-Juwaini. Imam al-Nawawi juga pernah menyebutkan dalam kitab Raudhah al-Talibin, ini berdasarkan persepakatan sahabat.

Maka apa-apa modal yang diberikan selain dalam bentuk mata wang tunai, seperti emas dan perak yang belum ditempa menjadi wang, maka tidak sah kerana tidak dapat dipastikan nilainya secara tepat. Ketidakpastian atau gharar ini akhirnya akan menjadi asbab yang merosakkan akad al-Mudharabah.

  1. Modal tersebut diketahui oleh kedua-dua pihak secara pasti, dari segi kadarnya, jenis mata wang tunai tersebut (seperti ringgit/dollar/dirham), agar kadar keuntungan yang diperoleh juga dapat dikira dan diketahui secara tepat.
  • Wang tersebut mestilah diberikan secara tunai.

Dalam erti kata mudah, kami bawakan satu contoh: Sekiranya pengusaha itu berhutang dengan pemodal sebanyak RM 1000, dan dia masih lagi belum melunaskan hutang tersebut. Wang tersebut (hutang RM 1000) tidak boleh dijadikan sebagai harta yang ingin dilaburkan kepada pengusaha. Sebaliknya, pemodal perlu memberikan wang tunai lain yang bukan di atas tanggungan pengusaha.

  1. Harta tersebut mesti diserahkan kepada pihak pengusaha, yakni wang itu berada pada tangan pengusaha untuk dikembangkan. Ini tidak bermaksud ia wajib diserahkan secara tunai semasa akad tersebut berlaku dan semasa di dalam majlis akad.

Adapun yang dimaksudkan adalah pengusaha tersebut mempunyai keupayaan dan keizinan untuk mengendalikan modal tersebut dengan sendirinya. Hal ini kerana, jika ia disyaratkan untuk modal tersebut berada di tangan pemodal, maka pengusaha sukar untuk mendapatkannya apabila diperlukan.

3) Kerja-kerja pengusahaan, iaitu perniagaan yang dilakukan oleh pengusaha untuk mengembangkan modal yang diberikan.

Rukun ini amat penting untuk diambil cakna syarat-syaratnya agar tidak berlaku sebarang unsur kesamaran pada mana-mana pihak:

  1. Pengusaha itu perlu mengendalikan perniagaan tersebut sendiri. Bererti, sekiranya pengusaha bertindak mewakilkan orang lain pula untuk mengusahakan modal tersebut, maka hukumnya adalah haram dan tidak sah; kerana ia telah terkeluar dari konsep al-mudharabah dan tidak boleh juga diqiyaskan dengan konsep ini.

Di dalam akad ini, salah satu pihak mestilah pemilik kepada modal tersebut sebelum boleh berlakunya al-Mudharabah kerana ia termasuk dalam ciri keahlian pemodal dalam mewakilkan mana-mana pihak. Jika dia bukan pemilik modal, maka hilanglah syarat sah selaku pemodal.

  1. Menjalankan perniagaan jual beli dan menguruskan segala apa yang berkaitan dengannya, seperti menghamparkan pakaian yang ingin dijual dan melipatnya semula. Jika dia ingin mengupah pekerja yang akan menghamparkan pakaian dan melipatnya semula, maka dia tidak boleh menggunakan wang modal tersebut.

Akan tetapi, sekiranya pemodal meletakkan wang tersebut pada pengusaha lalu menyuruhnya untuk menumbuk gandum dan membuat roti dengannya, atau menenun benang sehingga menjadi pakaian, maka akad al-Mudharabah itu menjadi rosak; kerana segala perbuatan yang disebutkan ini tidak termasuk dalam tanggungjawab pengusaha, bahkan dia layak diberikan upah untuk kerja-kerja tersebut. Oleh kerana kerja-kerja ini bukan sebahagian dari tanggungjawabnya, maka dia boleh menggunakan wang modal untuk mengupah orang lain.

Mengapa membuat roti, menenun baju dan apa jua yang seangkatan dengannya itu tidak termasuk dalam kendalian pengusaha? Al-Khatib al-Syirbini menjawab, kerana pensyariatan al-Mudharabah ini pada asalnya adalah sebagai rukhsah ketika adanya hajat keperluan. Adapun kerja-kerja menguli dan menjahit ini, semua itu boleh saja diupah kerana telah diketahui siapakah mereka yang bekerja dalam bidang-bidang tersebut. Jika pengusaha dituntut untuk melakukan kerja-kerja itu, ketika itu dia bukan lagi seorang peniaga yang bantu mengusahakan modal pihak lain, tetapi dia ibarat seorang pekerja yang mesti diberikan upah.

  • Tidak boleh diletakkan syarat untuk berniaga barang-barang tertentu sahaja, atau jenis-jenis tertentu yang sukar untuk diperolehi, atau menetapkan pengusaha untuk berurus niaga dengan pembeli-pembeli tertentu sahaja.

Contohnya, pemodal mensyaratkan kepada pengusaha: “Jangan niagakan kecuali pada kuda  sahaja,” atau dia menetapkan jenis: “Jangan niagakan kecuali pada kuda belang sahaja,” atau dia berkata: “Jangan jual barang-barang tersebut kecuali pada Ahmad sahaja.”

4) Lafaz, yakni ijab dan qabul dari pihak pemodal dan pengusaha sebagai tanda setuju terhadap perjanjian muamalah mereka.

Lafaz yang jelas dalam ijab ini, seperti berkata: “Aku melakukan mudharabah dengan engkau” atau dia berkata: “Aku melakukan qiradh dengan engkau” atau “Aku berdagang dengan engkau.” Boleh juga jika pemodal itu menggunakan lafaz yang berbeza, seperti: “Ambillah wang-wang dirham ini dan niagakanlah ia, kemudian hasil keuntungan dibahagikan antara kita berdua.”

Lafaz qabul pula lebih ringkas dan mudah, seperti pengusaha itu berkata: “Aku terima” atau “Aku redha” dan sebagainya.

Akad al-Mudharabah ini pula secara umumnya tidak boleh disyaratkan untuk mengkhususkannya sehingga tempoh yang tertentu sahaja; kerana keuntungan yang menjadi tujuan utama akad ini tidak boleh untuk ditetapkan waktunya, maka penetapan tempoh ini akan merosakkan akad. Sekiranya pemodal menetapkan tempoh dan melarang pengusaha dari mengendalikan modal selepas dari tempoh tersebut, nescaya akad ini akan rosak kerana tujuan utama (keuntungan) tidak dapat dicapai. Andai kata ketika dalam tempoh tersebut tidak ada seorang pun berminat untuk membeli dari pengusaha, maka urusniaga tidak boleh berlaku dan tidak ada keuntungan.

5) Keuntungan dari al-Mudharabah

Al-Mudharabah ini seperti yang telah kita fahami, tujuannya adalah mendapatkan keuntungan bagi pihak pemodal dan juga pengusaha dengan berkongsi kemampuan tertentu yang ada pada kedua-dua pihak. Oleh yang demikian, keuntungan yang diperoleh itu mestilah memenuhi syarat berikut:

  1. Dikhususkan buat kedua-dua pihak ini sahaja tanpa ditetapkan jumlah keuntungan tertentu untuk pihak ketiga.

Imam Syihabuddin al-Qalyubi berkata, pihak ketiga tersebut tidak layak mendapat sebahagian dari keuntungan kerana dia tidak mengusahakan modal. Berbeza situasinya jika pemodal melakukan akad al-Mudharabah bersama dua orang pengusaha, maka ketika itu boleh dibahagikan keuntungan dengan pihak ketiga sekali.

  1. Hendaklah dimaklumkan nisbah keuntungan antara pemodal dan pengusaha seperti menggunakan pecahan ⅓ atau ½.

Seandainya kedua-dua pihak menggunakan lafaz yang tidak jelas, seperti berkata: “Aku melakukan qiradh dengan engkau, dan engkau akan mendapat suatu bahagian sebagai rakan kongsi,” maka akad ini rosak; kerana terdapat unsur ketidakpastian atau gharar disebabkan tidak tahu kadar keuntungan.

Akan tetapi, jika pemodal dan pengusaha bersetuju pada nisbah keuntungan dengan berkata: “Keuntungan dibahagikan antara kita,” maka mengikut pandangan yang paling tepat hukumnya adalah sah kerana akan difahami pembahagiannya secara separuh antara pemodal dan pengusaha. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/398-405; Tuhfah al-Muhtaj, 6/81-90; Kanz al-Raghibin, 3/54; ‘Ujalah al-Muhtaj, 2/912-913; Hasyiah Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala Syarh al-Mahalli, 3/55; al-Fiqh al-Manhaji, 7/74-75)

Al-Mudharabah Adalah Akad Ja’iz

Mungkin ada sebahagian pihak yang mempersoalkan, jika akad ini tidak boleh dikhususkan sehingga tempoh yang tertentu, bagaimana pula jika pemodal atau pengusaha sebenarnya hanya ingin bersama dalam al-Mudharabah ini untuk tempoh tertentu sahaja?

Imam al-Nawawi mengatakan, pemodal dan pengusaha dalam akad al-Mudharabah ini berhak untuk membatalkan (fasakh) akad ini pada bila-bila masa. Al-Khatib al-Syirbini menjelaskan sebab mengapa ia boleh dibatalkan semula; kerana pada permulaan akad ini ia ibarat akad al-Wakalah, dengan pemodal mewakilkan pengusaha untuk mengembangkan wangnya. Pada pengakhiran akad pula ia umpama akad al-Syarikah atau al-Ju‘alah yang boleh dibatalkan pada bila-bila masa.

Fasakh ini boleh berlaku dengan beberapa keadaan:

  1. Apabila dilafazkan dengan jelas: “Aku membatalkan akad al-Mudharabah” atau “Aku mengangkat semula perjanjian akad ini” atau “Aku membatalkan akad ini” atau “Engkau tak perlu uruskan lagi modal itu” atau apa jua lafaz yang seumpamanya, dengan difahami untuk mengembalikan semula modal tersebut kepada pemiliknya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/415)
  2. Seandainya salah seorang dari pemodal atau pengusaha telah hilang keahlian untuk mewakilkan dan menerima perwakilan; seperti berlakunya kematian, gila, atau pengsan untuk jangka masa yang lama.

Apabila berlakunya fasakh, pengusaha bertanggungjawab untuk mengembalikan semula modal, dan dia perlu mencairkannya (التَنْضِيضُ) sekiranya modal tersebut masih dalam bentuk komoditi. Sebagai contoh, modal tersebut pada asalnya telah digunakan untuk membeli komoditi tertentu, maka ia perlu dijual untuk ditukar semula dalam bentuk wang tunai agar dapat dibahagikan keuntungan dan dikembalikan semula kepada pemodal. (Lihat al-Manhal al-‘Amim bi Hasyiah li al-Manhaj al-Qawim, 7/639-640; Fath al-Wahhab bi Syarh Manhaj al-Tullab, 1/289; Mughni al-Muhtaj, 3/416)

Perbahasan mengenai al-Mudharabah ini panjang dan tidak sesuai untuk kami bawakan di sini agar tidak berlaku kekeliruan atau salah faham. Kami berpada dengan penerangan serba ringkas yang dapat kami kongsikan kepada saudara berdasarkan kepada pembacaan dan kefahaman kami. Kami juga mencadangkan agar saudara turut merujuk kepada pakar-pakar dalam bidang ekonomi Islam agar dapat melihat dengan jelas aplikasi akad al-Mudharabah ini dalam dunia moden, seperti penulisan bertajuk “Mudarabah” yang dikeluarkan oleh Jabatan Perbankan Islam dan Takaful – Bank Negara Malaysia (BNM).

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefahaman yang benar agar dapat beramal sesuai dengan neraca syari‘ah yang telah ditetapkan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahu a‘lam