#6731: Berehat di Hotel dalam Keadaan Berihram Sebelum Melakukan Umrah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya berniat untuk menunaikan umrah. Saya akan berihram dari miqat, kemudian menuju ke Makkah. Persoalannya, bolehkah saya ke hotel dahulu untuk mandi, tidur dan berehat daripada perjalanan yang jauh. Kemudian selepas itu baru saya pergi ke Masjidil Haram untuk mengerjakan umrah? Ini kerana jarak yang jauh dan memenatkan. Tujuannya supaya saya dapat menunaikan umrah dalam keadaan segar. Di hotel, saya masih menjaga syarat-syarat ihram termasuk tidak memakai pakaian berjahit atau memakai minyak wangi dan sebagainya. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah Ibadah Haji dan Umrah kerana Allah.

(Surah al-Baqarah: 196)

Begitu juga, berdasarkan sebuah hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya: “Wahai Rasulullah, adakah jihad bagi kaum wanita?” Baginda bersabda:

نَعَمْ: جِهَادٌ لاَ قِتَالَ فِيهِ : الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ

Maksudnya: “Ya, jihad tanpa peperangan, iaitu haji dan umrah.”

                                                                                             Riwayat Ibn Majah (3013)

Para ulama’ telah bersepakat memutuskan bahawa haji adalah fardhu, tanpa seorang pun di kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada sesiapa yang mengingkari sesuatu yang yang telah sabit dengan al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘. Begitu juga, berdasarkan pendapat yang lebih jelas daripada Imam al-Syafi‘i, umrah juga adalah fardhu, sebagaimana haji, dan ayat di atas adalah dalil bagi mereka yang berpendapat bahawa umrah adalah fardhu. Selain itu, mereka juga telah bersepakat mengatakan bahawa haji dan umrah wajib dilakukan oleh mereka yang mampu, hanya sekali seumur hidup. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/115-116; al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 378-379).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asalnya, sesuai dengan sunnah, bagi orang yang datang ke Makkah untuk haji atau umrah,  untuk mereka memulakan dengan Masjidil Haram terlebih dahulu, dengan melakukan tawaf sebelum pergi ke tempat yang lain. Ini berdasarkan hadith, daripada riwayat Aisyah R.Anha, beliau berkata:

أَنَّهُ أَوَّلُ شَيْءٍ بَدَأَ بِهِ حِينَ قَدِمَ أَنَّهُ تَوَضَّأَ، ثُمَّ طَافَ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Perkara pertama yang didahulukan oleh Baginda ketika tiba (di Makkah) ialah Baginda berwuduk, kemudian melaksanakan tawaf di Baitullah.

Riwayat al-Bukhari (1641) dan Muslim (1235)

Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith Aisyah ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim. Para ashab kami menyatakan, apabila seseorang selesai masuk ke Makkah, dia tidak seharusnya pergi untuk menyewa rumah/tempat tinggal, meletakkan barang, menukar pakaian, atau melakukan apa-apa perkara lain selain tawaf. Sebahagian daripada rombongan boleh menjaga barang-barang dan kenderaan mereka sehingga mereka selesai melakukan tawaf, kemudian mereka boleh kembali kepada kenderaan dan barang-barang mereka serta menyewa rumah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/15).

Selain itu, Imam al-Syafi‘i juga ada menyebutkan, tidak sampai kepada kami riwayat bahawa ketika Rasulullah SAW masuk ke Makkah, Baginda pergi ke mana-mana atau melakukan apa-apa perkara lain dalam haji atau umrahnya sehingga Baginda masuk ke dalam masjid dan tidak melakukan sesuatu apapun ketika memasuki Masjidil Haram, tidak kira rukuk mahupun perbuatan selainnya sehinggalah Baginda memulakan dengan Baitullah (kaabah), lalu melakukan tawaf. Ini dilakukan dalam hajinya dan umrahnya. (Lihat al-Umm, 2/185).

Tambahan pula, Imam al-Nawawi ada juga menyebutkan perkara yang sama dalam kitabnya yang lain bahawa, disunatkan tidak menyibukkan diri ketika mula-mula masuk ke Makkah dengan urusan untuk menyewa rumah, menurunkan barangan, menukar pakaian mahupun sesuatu apa pun selain daripada melakukan tawaf. Sebahagian rakan rombongannya hendaklah berhenti (yakni menunggu) di sisi barang-barang dan haiwan tunggangan (yakni kenderaan) mereka sehinggalah mereka selesai bertawaf. Kemudian barulah mereka kembali kepada  barang-barang dan haiwan tunggangan mereka serta menyewa rumah.

Kemudian, dijelaskan kenyataan Imam al-Nawawi di atas bahawa tawaf ini adalah sebagai penghormatan kepada Masjidil Haram dan Kota Makkah dengan melaksanakan umrah. Ini kerana sebagai mencontohi perbuatan Rasulullah SAW, di mana perkara yang pertama dilakukan oleh Baginda SAW apabila mengunjungi Makkah dengan berwuduk dan tawaf di Baitullah. Walaupun begitu, keadaan masa kini yang memerlukan check in hotel dan menempatkan barang keperluan di bilik masing-masing terlebih dahulu. Ini juga termasuk dalam musafir yang diizinkan untuk diselesaikan dahulu, termasuk berwuduk, mandi dek kerana musafir yang panjang. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 148-149).

Selain daripada itu, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin pernah ditanya berkenaan seseorang yang tiba di Makkah dalam keadaan letih dan tidak mampu melaksanakan umrah melainkan pada keesokan harinya, apakah hukumnya? Adakah wajib melaksanakan umrah sebaik sahaja tiba di Masjidil Haram?

Beliau menjawab, afdhalnya (paling terbaik) bagi seseorang yang datang untuk umrah adalah memulakan dengan umrah sebelum melakukan perkara-perkara lain, termasuklah pergi ke rumahnya (atau tempat penginapan). Dia hendaklah memulai dengan melakukan umrah kerana itulah tujuannya datang ke Makkah. Namun, jika dia menangguhkannya, terutama ketika dia dalam keadaan letih agar dia dapat berehat (terlebih dahulu), maka tidak ada masalah dalam hal itu, dan umrahnya tetap dikira sah. (Lihat Majmu‘ Fatawa al-Syeikh, 22/285).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah bagi seseorang yang dalam keadaan ihram, datang ke Makkah, untuk berehat terlebih dahulu di hotelnya sebelum melakukan umrah. Apatah lagi, jika dia dalam keadaan keletihan akibat perjalanan yang jauh.

Namun, sekiranya dia tidak ada apa-apa keperluan, sebaik-baiknya dia terus mengerjakan umrah  sebaik sahaja tiba di Makkah atau sejurus selesai urusan check in dan meletakkan barangan/beg di hotel. Inilah yang terbaiknya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ عُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”