#6740: Isteri Membelikan Hadiah Mahal Buat Suaminya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kita sering melihat seorang isteri memberikan hadiah yang mahal kepada suaminya terutama pada majlis-majlis istimewa seperti hari lahir suaminya. Sebenarnya apa hukum isteri memberi hadiah mahal kepada suami, adakah boleh? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam Islam, kita digalakkan memberi hadiah kepada orang lain. Firman Allah SWT:

لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلآئِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّآئِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ

Maksudnya: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi.”

(Surah al-Baqarah: 177)

Asal bagi perbuatan hibah adalah mustahab (sunat) menurut ijma‘ ulama. Akan tetapi, hukum sunat tersebut boleh berubah menjadi haram jika diniatkan padanya perbuatan maksiat atau membantu kezaliman ataupun dimaksudkan dengan pemberian hibah atau hadiah tersebut sebagai tujuan rasuah para pekerja dan sebagainya, maka perbuatan ini adalah diharamkan. Dan juga ia boleh berubah menjadi makruh apabila wujudnya unsur atau perasaan riak dan takabbur (membangga diri) terhadap pemberian tersebut. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/122)

Bahkan amalan saling memberi hadiah dikatakan akan mengeratkan hubungan persaudaraan, perasaan kasih sayang dan menghilangkan rasa benci. Terdapat riwayat daripada ‘Ata’ bin Abdullah al-Khurasani, katanya: Rasulullah SAW bersabda

تَصَافَحُوا يَذْهَبِ الْغِلُّ وَتَهَادَوْا تَحَابُّوا، وَتَذْهَبِ الشَّحْنَاءُ

Maksudnya: “Berjabat tanganlah antara satu sama lain, maka dengki (dendam) akan hilang. Begitu juga hendaklah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan akan saling mengasihi dan kebencian akan menghilang.

Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ (5/1334); Ibn Wahb dalam al-Jami‘ (247); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (6/109) menyatakan, ia adalah mursal.

Selain itu, terdapat juga riwayat daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

تَهَادَوْا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.

Riwayat al-Baihaqi (6/169), al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (7240), dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594). Hadith ini sanadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (3/1047)

Hadith ini menunjukkan kepada kita agar kita saling memberi hadiah kerana ia mengikatkan perasaan kasih sayang serta penghormatan. Ia juga lambang sebuah persahabatan atau ikatan yang baik yang dibina sesama manusia mahupun kaum keluarga. Tidak pelik, Rasulullah SAW sendiri banyak memberi hadiah kepada sahabat-sahabatnya. Sebagai contoh, Nabi SAW memerdekakan semua hamba sahaya Baginda SAW dan bersedekah 7 dinar yang ada dalam simpanannya. Baginda SAW membahagikan senjata-senjata kepada orang Islam. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 232).

Anjuran memberikan hadiah ini semakin dianjurkan untuk orang-orang terdekat kita, seperti isteri, suami, anak-anak, saudara mara dan orang seumpamanya, terutama pada saat-saat yang dianggap istimewa seperti hari lahir. Jadi amat digalakkan untuk memberi hadiah agar hubungan kasih sayang dan persaudaraan menjadi lebih mesra dan erat.

Oleh kerana itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa seorang isteri boleh memberikan hadiah, walaupun mahal harganya, kepada suaminya. Hakikatnya, suami adalah orang yang lebih berhak mendapat hadiah istimewa daripada isteri berbanding orang lain, agar hubungan perkahwinan menjadi lebih intim, mesra dan berkekalan.

Ini adalah sebagaimana hadith Abu Sa‘id al-Khudri R.A, yang mana di dalamnya dinyatakan:

فَلَمَّا صَارَ إِلَى مَنْزِلِهِ، جَاءَتْ زَيْنَبُ، امْرَأَةُ ابْنِ مَسْعُودٍ، تَسْتَأْذِنُ عَلَيْهِ، فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذِهِ زَيْنَبُ، فَقَالَ: أَيُّ الزَّيَانِبِ؟ فَقِيلَ: امْرَأَةُ ابْنِ مَسْعُودٍ، قَالَ: «نَعَمْ، ائْذَنُوا لَهَا» فَأُذِنَ لَهَا، قَالَتْ: يَا نَبِيَّ اللَّهِ، إِنَّكَ أَمَرْتَ اليَوْمَ بِالصَّدَقَةِ، وَكَانَ عِنْدِي حُلِيٌّ لِي، فَأَرَدْتُ أَنْ أَتَصَدَّقَ بِهِ، فَزَعَمَ ابْنُ مَسْعُودٍ: أَنَّهُ وَوَلَدَهُ أَحَقُّ مَنْ تَصَدَّقْتُ بِهِ عَلَيْهِمْ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: صَدَقَ ابْنُ مَسْعُودٍ، زَوْجُكِ وَوَلَدُكِ أَحَقُّ مَنْ تَصَدَّقْتِ بِهِ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ketika Baginda sudah berada di rumahnya, datanglah Zainab, isteri Abdullah bin Mas‘ud meminta izin untuk bertemu Baginda. Seseorang berkata kepada Baginda: ‘Wahai Rasulullah, ini ialah Zainab.’ Baginda bertanya: ‘Zainab yang mana?’ Orang itu menjawab: ‘Isteri Ibn Mas‘ud.’ Baginda bersabda: ‘Ya, izinkanlah dia masuk.’ Maka Zainab pun diizinkan masuk. Lantas beliau berkata: ‘Wahai Nabi Allah, sesungguhnya engkau memerintahkan kami untuk bersedekah. Aku mempunyai perhiasan yang memang milikku, dan aku ingin menyedekahkannya. Namun Ibn Mas‘ud merasakan bahawa dirinya dan anaknya adalah orang yang lebih berhak untuk aku beri sedekah.’ Nabi SAW bersabda: ‘Ibn Mas‘ud benar. Suami dan anakmu lebih berhak untuk kamu beri sedekah.’

Riwayat al-Bukhari (1462)

Justeru, berdasarkan keterangan di atas, jelaslah bahawa tidak menjadi masalah bagi seorang isteri untuk memberikan hadiah yang mahal kepada suaminya, jika dia seorang yang berkemampuan. Bahkan perkara ini amat dianjurkan dalam Islam untuk saling memberi hadiah antara suami isteri, tanpa mengira hadiah itu mahal ataupun tidak, agar hubungan rumah tangga menjadi lebih mesra, intim dan berkekalan.

Apatah lagi, amalan memberi hadiah ini juga mengandungi hikmah-hikmahnya; sama ada kita dapat mengetahuinya ataupun tidak. Berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #3641: Hikmah Memberi Hadiah.[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/3641-hikmah-memberi-hadiah/. Diakses pada 8 Ogos 2024.