#6741: Perniagaan dengan Akad al-Mudharabah Perlu Menepati Rukun dan Syaratnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada menyertai suatu mudharabah dengan meletakkan deposit wang pada sebuah syarikat, dan kemudian kadar bonus yang diberikan pada setiap bulan sangat tinggi dan tidak masuk akal, dalam keadaan pemodal tidak dimaklumkan jumlah keuntungan syarikat. Bentuk perniagaan mereka melibatkan pihak ketiga dengan pelbagai syarikat yang diusahakan tanpa diketahui secara khusus oleh pemodal, termasuk pelaburan Forex dan mata wang digital lain. Syarikat perniagaan ini rupa-rupanya masih belum mendapatkan lesen yang sah, adakah ini dibenarkan dalam Islam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan yang diajukan, kami melihat terdapat beberapa bahagian yang perlu kami berikan penerangan terlebih dahulu sebelum terus membincangkan soal hukum menyertai perniagaan yang dijalankan oleh syarikat tersebut.

Akad al-Mudharabah (المُضَارَبَةُ)

Pertamanya, akad al-Mudharabah (المُضَارَبَةُ) ini berlaku apabila seorang pemilik harta memberikan hartanya kepada satu pihak untuk diniagakan harta tersebut dan keuntungan yang diperolehi akan dikongsi bersama antara kedua-dua pihak. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 6/82; Mughni al-Muhtaj, 3/398)

Kami telah mengeluarkan sebuah artikel khusus mengenainya dengan tajuk: “Konsep Akad al-Mudharabah dalam Islam.” Secara ringkasnya, hukum akad ini adalah harus berdasarkan hujah-hujah dan dalil-dalil yang warid dari syara‘. Akad al-Mudharabah ini juga memerlukan kepada beberapa rukun iaitu:

  1. Al-‘Aqidan (العَاقِدَانِ) atau dua pihak yang melakukan akad al-Mudharabah, iaitu pemodal dan pengusaha.
  2. Al-Mal (المَالُ) atau harta yang dilaburkan, iaitu wang yang diberikan dari pihak pemodal kepada pengusaha.
  • Al-‘Amal (العَمَلُ) atau kerja-kerja pengusahaan, iaitu perniagaan yang dilakukan oleh pengusaha untuk mengembangkan modal yang diberikan.
  1. Al-Sighah (الصِّيغَةُ) atau lafaz, yakni ijab dan qabul dari pihak pemodal dan pengusaha sebagai tanda setuju terhadap perjanjian muamalah mereka.
  2. Al-Ribh (الرِّبْحُ) atau keuntungan yang merupakan tujuan utama dari akad al-Mudharabah.

Hukum Menyertai Syarikat dengan Akad al-Mudharabah

Sekiranya syarikat yang saudara sebutkan di atas menepati konsep al-Mudharabah yang telah diperincikan oleh fuqaha, maka ia dihukumkan harus dan tidak menjadi masalah untuk saudara sertai syarikat tersebut dengan meletakkan modal padanya. Begitu juga isu pembahagian bonus yang ditetapkan dengan kadar yang tinggi, ia tidak menjadi sebarang masalah selagimana ia dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang melakukan akad dan sesuai dengan keuntungan yang diperoleh dari perusahaan tersebut. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara rela hati di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Akan tetapi, terdapat beberapa isu yang menjadikan hukum pelaburan dalam syarikat yang saudara sebutkan ini perlu diteliti semula, antaranya:

  • Syarikat tersebut telah melibatkan pihak ketiga.

Apabila syarikat tersebut mewakilkan orang lain untuk mengusahakan modal, maka hukumnya adalah haram dan tidak sah; kerana ia telah terkeluar dari konsep al-Mudharabah. Tindakannya mewakilkan itu tidak boleh juga diqiyaskan dengan akad ini. Di dalam al-Mudharabah, salah satu pihak mestilah pemilik kepada modal tersebut kerana ia termasuk dalam ciri keahlian pemodal dalam mewakilkan mana-mana pihak. Jika dia bukan pemilik modal, maka hilanglah syarat sah selaku pemodal. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/406)

  • Pemodal tidak dimaklumkan kadar keuntungan yang diperoleh melalui modal yang diberikan.

Ketelusan dalam kadar keuntungan ini merupakan salah satu syarat dalam rukun kelima, iaitu al-Ribh (الرِّبْحُ) atau keuntungan. Seandainya pihak syarikat menggunakan lafaz yang tidak jelas, seperti berkata: “Aku melakukan qiradh dengan engkau, dan engkau akan mendapat suatu bahagian sebagai rakan kongsi,” maka akad ini rosak; kerana terdapat unsur ketidakpastian atau gharar disebabkan tidak tahu kadar keuntungan. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 6/89)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

نَهَى رَسُولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ، وَعَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang melakukan jual beli dengan batu kerikil dan jual beli dengan ketidakpastian.”

Riwayat Muslim (1513)

  • Kerja-kerja pengusahaan modal itu melibatkan urusniaga yang haram, seperti Forex.

Antara badan-badan fatwa yang mengharamkan Forex ini adalah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan berkenaan Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) melalui platform elektronik. Keputusan daripada muzakarah tersebut, hukum Forex Trading ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 87;  Majallah al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami, 22/229)

Bahkan, Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 juga telah mewartakan bahawa kuasa penuh untuk mentadbir Forex Trading hanya diberikan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) sahaja. Disebutkan dalam seksyen 4 (1), trader yang melakukan urusniaga Forex dengan selain daripada Authorised Dealer akan dikenakan tindakan undang-undang.[1]

Di dalam artikel kami yang bertajuk: “Penjelasan Hukum Forex Trading,” kami telah gariskan 4 sebab utama mengapa urusniaga ini diharamkan, iaitu:

Pertama: Terdapat padanya unsur riba yang jelas, kerana tiadanya kesamarataan (التَمَاثُلُ) yang merupakan syarat dalam keharusan jual beli item ribawi menurut syara‘.

Kedua: Adanya pihak ketiga (platform Forex) yang bertindak memberi leverage (atau mudah difahami sebagai pinjaman) kepada trader (peminjam) terlebih dahulu, kemudian mengambil komisen daripada peminjam tersebut. Ini disebutkan sebagai jual beli berserta pinjaman (البَيْعُ وَالسَّلَفُ) yang mempunyai larangan secara jelas. Di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ سَلَفٌ وَبَيْعٌ

Maksudnya: “Tidak halal pinjaman disertakan dengan (syarat) jual beli.”

Riwayat Abu Dawud (3504), al-Tirmizi (1234), Ahmad (6671), al-Nasa’ie (4611), dan Ibn Majah (2188)

Al-Qarafi menyebutkan persepakatan ummat bahawa diharuskan jual beli dan pinjaman secara berasingan, dan haram kedua-duanya jika disekalikan, kerana ia adalah laluan riba. (Lihat al-Furuq, 3/266)

Ketiga: Terdapat unsur gharar (ketidakpastian) pada jual beli tersebut

Keempat: Trader menjual matawang yang masih belum menjadi miliknya, sepertimana yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ ‏

Maksudnya: “Janganlah kamu jual apa yang bukan milik kamu.”

Riwayat al-Nasa’ie (4613), al-Tirmizi (1232), dan Abu Dawud (3503)

  • Tidak mendapatkan lesen yang sah dari Kerajaan Malaysia

Ini berkisar tentang kewajipan mentaati pemimpin, terutamanya dalam isu perundangan yang telah diletakkan demi maslahah masyarakat. Firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Perintah untuk mentaati pemimpin ini juga thabit dalam hadith, seperti yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.A, Rasulullah SAW bersabda:

عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ إِلَّا أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

Maksudnya: “Wajib atas seorang Muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) pada perkara yang ia sukai dan tidak sukai, kecuali jika diperintahkan berbuat maksiat, jika diperintahkan berbuat maksiat, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh buat taat.”

Riwayat al-Bukhari (7144) dan Muslim (1839)

Memandangkan akad al-Mudharabah yang saudara sertai ini melibatkan syarikat yang menguruskan modal ahli, maka mereka terikat di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang menggabungkan antara Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993. Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM), akta di atas memperkenalkan rejim pelesenan tunggal bagi pengantara pasaran modal. Di bawah rejim ini, pengantara pasaran modal hanya perlu satu lesen untuk menjalankan perniagaan dalam mana-mana satu atau lebih aktiviti yang dikawal selia, seperti aktiviti fund management (pengurusan dana).

Sijil ini penting bagi memastikan tahap perlindungan pelabur yang mencukupi, termasuk menyediakan perlindungan yang mencukupi kepada pelabur daripada sebarang penipuan oleh pengantara pasaran (market) atau masalah yang timbul daripada pengantara pasaran kerana tidak mampu membayar semula kepada pelabur. Yang lebih penting, ia memberi keyakinan dalam kalangan pelabur bahawa organisasi dan individu yang berurusan dengan mereka akan melayan mereka secara adil dan adalah cekap, jujur dan kukuh dari segi kewangan.[2]

Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah menggariskan dalam Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, di bawah seksyen 137 (1) bahawa: “Tiada seorang pun boleh menerima deposit kecuali di bawah lesen yang diberikan di bawah seksyen 10, tanpa mengira sama ada urus niaga itu disifatkan sebagai pinjaman, pendahuluan, pelaburan, simpanan, jualan atau ‘jualan dan belian semula’ atau dengan apa jua nama yang dipanggil.”[3] Ini bermaksud, apabila syarikat yang saudara sebutkan di atas ini bukan pemegang lesen yang sah sebagaimana ditetapkan dalam akta, maka syarikat tersebut tidak berhak menerima sebarang deposit modal dari mana-mana ahli. Apabila mereka tetap menjalankan urus niaga ini dengan berselindung di sebalik akad al-Mudharabah, maka ia jelas haram hukumnya, bahkan tindakan mereka ini wajar dicurigai dan dihentikan dengan segera agar tidak ada mana-mana individu yang dizalimi kelak.

Apabila terdapat kebarangkalian besar akan berlakunya kemudaratan apabila dibiarkan syarikat begini meneruskan operasi mereka, maka wajib dihilangkan kemudaratan ini berdasarkan kaedah:

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya: “Kemudharatan hendaklah dihilangkan.” (Lihat al-Wajiz fi Idhah Qawa‘id al-Fiqh al-Kulliyyah, 258)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan ini, kami katakan bahawa perusahaan yang dilakukan syarikat tersebut adalah salah dan tidak bertepatan dengan hukum syara‘. Banyak contoh-contoh akad al-Mudharabah yang telah berjaya diaplikasikan dalam dunia ekonomi sekarang, seperti Sijil Simpanan Premium yang ditawarkan oleh pihak Bank Simpanan Nasional (BSN) yang pernah kami bincangkan berkenaannya dalam artikel bertajuk: “Hukum Membeli Sijil Premium BSN.”

Usaha untuk melakukan perniagaan ini adalah satu sunnah yang baik, bahkan Rasulullah SAW sendiri terkenal sebagai seorang peniaga sebelum dan selepas Baginda SAW dilantik menjadi Rasul. Hal ini, banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab sirah apabila Nabi SAW bersama bapa saudaranya, Abu Talib pergi ke Syam bagi tujuan berniaga. Selain itu, Nabi SAW juga pernah membantu isterinya yang tercinta Khadijah binti Khuwailid R.Anha dalam perniagaan dan banyak lagi peristiwa-peristiwa yang lain. Ramai dari kalangan sahabat turut menceburkan diri dalam pelbagai jenis perniagaan. Antaranya Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin ‘Affan, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, Zubair bin al-Awwam, Sa‘ad bin Abu Waqqas, al-Barra’ bin Azib dan ramai lagi daripada kalangan sahabat.

Kami mengambil peluang ini untuk menasihatkan kepada mana-mana syarikat yang melakukan urus niaga begini agar bertaqwa kepada Allah SWT, kelak Dia akan kurniakan kepada kita rezeki yang tidak disangka. Renungilah firman-Nya:

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًۭا (٢) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ

Maksudnya: “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah maka Allah akan berikannya jalan keluar bagi setiap kesusahannya. (2) Allah juga akan memberikannya rezeki dalam keadaan tidak disangka-sangka.”

(Surah al-Talaq: 2-3)

Bahkan Sufyan bin ‘Uyainah ketika menafsirkan ayat “وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ” menyatakan bahawa maknanya:

هُوَ الْبَرَكَةُ فِي الرِّزْقِ

Maksudnya: “Ia ialah keberkatan dalam rezeki.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 18/159-160)

Beginilah janji Allah SWT kepada sekalian hamba-Nya yang bertaqwa. Berusahalah mencari rezeki melalui perniagaan yang halal, sesuai dengan hukum-hakam syara‘ dan menepati perundangan yang ditetapkan oleh pemimpin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.customs.gov.my/en/pg/Documents/Act_17-ECA%201953.pdf. Diakses pada 8 Ogos 2024.

[2] Lihat https://www.sc.com.my/regulation/licensing. Diakses pada 8 Ogos 2024.

[3] Lihat https://www.bnm.gov.my/documents/20124/820862/Financial+Services+Act+2013.pdf. Diakses pada 8 Ogos 2024.