#6743: Berwuduk dengan Salji

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seseorang itu berwuduk dengan salji? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

(Surah al-Ma’idah: 6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61).

Keduanya, sebagaimana yang kita ketahui, wuduk merupakan medium syarak yang terpenting untuk menghilangkan (mengangkat) hadas kecil daripada anggota badan bagi menjadikan seorang Muslim itu suci, lalu membolehkannya melaksanakan segala perbuatan atau amalan yang disyaratkan padanya suci daripada hadas — seperti mendirikan solat, memegang mashaf al-Quran, tawaf dan lain-lain. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/69).

Wuduk berasal daripada perkataan wadha’ah (وَضَاءَةٌ). Dari segi bahasa, ia bererti elok dan berseri. Sementara dari segi syarak pula ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/53). Seseorang itu dikira sah wuduknya, bilamana telah memenuhi semua rukun-rukun dan syarat-syarat sah wuduk.

Di antara syarat sah wuduk ialah menggunakan air yang suci lagi menyucikan — iaitu air mutlak — kerana hadas tidak akan terangkat melainkan dengan hanya air mutlak. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 96 dan 57). Dalam bahasa mudahnya, air mutlak ialah air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31). Dr Wahbah al-Zuhaili ada menyebutkan tujuh jenis air mutlak yang boleh digunakan untuk bersuci iaitu air laut, air hujan, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79).

Ketiganya, sebagaimana yang sudah dinyatakan di atas, salji termasuk dalam salah satu air mutlak yang boleh digunakan untuk bersuci.

Jadi, dalam menjawab soalan ini, kami katakan bahawa perkara wajib dalam berwuduk adalah membasuh anggota badan dengan air mutlak, dan ini hanya dapat dilakukan dengan mengalirkan air ke atas anggota tersebut; sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 6 (seperti yang kami sudah sebutkan di atas). Maka, tidak mencukupi sekadar membasahkan atau melembapkannya; kerana itu dianggap sapuan, bukannya basuhan.

Sehubungan dengan itu, sekiranya salji itu nipis, sehingga apabila disapu pada anggota badan ia mencair dan airnya mengalir pada seluruh anggota, maka sah berwuduk dengannya.

Ibn Qudamah menyebutkan dalam al-Mughni (1/16) bahawa salji yang mencair dan air sejuk adalah tahur (suci lagi menyucikan) kerana ia adalah air yang turun dari langit, dan dalam doa Nabi SAW:

اللَّهُمَّ طَهِّرْنِي بالْماءِ والثَّلْجِ والْبَرَدِ

Maksudnya: “Ya Allah, sucikanlah aku dengan air, salji, dan air sejuk.”

Justeru, sekiranya seseorang mengambil salji dan menyapunya pada anggota badan (anggota wuduk), maka tidak sah taharahnya, walaupun anggota itu menjadi basah; kerana yang wajib adalah membasuh, dan paling kurang air mesti mengalir pada anggota, kecuali jika salji itu nipis lalu ia mencair, dan airnya mengalir pada anggota badan (anggota wuduk), maka terhasil dengannya itu suatu yang dikira sebagai basuhan, dan ia mencukupi.

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi ada menyebutkan dalam kitabnya, al-Majmu‘ bahawa para ashab kami (ulama Syafi‘iyyah) menyebutkan, sekiranya seseorang menggunakan salji dan air sejuk sebelum ia mencair, jika ia mengalir pada anggota wuduk kerana panas yang kuat, panas badan, dan kelembutan salji, maka wuduknya sah menurut pendapat yang sahih. Inilah juga pendapat yang diputuskan oleh jumhur ulama disebabkan terhasilnya air mengalir pada anggota wuduk.

Namun, ada yang berpendapat, wuduknya tidak sah; kerana ia tidak dipanggil sebagai basuhan, seperti yang dinukilkan oleh sekelompok ulama, antaranya Qadhi al-Qudhah Abu al-Hasan Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi al-Basri, pengarang kitab al-Hawi, dan Abu al-Faraj Muhammad bin ‘Abd al-Wahid bin Muhammad al-Darimi, pengarang kitab al-Istizkar, kedua-duanya adalah ulama besar dalam kalangan para Imam di Iraq, dan al-Darimi menisbahkannya kepada Abu Sa‘id al-Istakhri.

Jika ia tidak mengalir, tidak sah basuhan tanpa sebarang perselisihan dalam kalangan ulama, tetapi sah dikira sebagai sapuan pada anggota yang disapukan, iaitu kepala, khuf, dan pembalut (jabirah). Ini adalah mazhab kami (mazhab al-Syafi‘i). Walau bagaimanapun, para ashab kami turut menukilkan daripada al-Auza‘i bahawa sah mengambil wuduk dengannya, walaupun ia tidak mengalir, dan ia mencukupi untuk anggota yang perlu dibasuh dan disapu. Akan tetapi ini adalah pendapat yang lemah atau batil, jika sahih daripadanya; kerana ia tidak dipanggil sebagai basuhan mahupun pada maknanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/81)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ،  وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”