#6748: Bernazar Untuk Bernikah Kerana Mendapatkan Sesuatu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Jika seseorang itu bernazar untuk berkahwin apabila dia mendapat sesuatu atau kerana sesuatu, misalnya dia bernazar akan berkahwin sekiranya berjaya menamatkan pengajiannya. Jadi, apabila dia sudah berjaya menamatkan pengajiannya itu, adakah hukum bernikah menjadi wajib ke atas dirinya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mendefinisikan nazar terlebih dahulu secara ringkas. Nazar dari sudut istilah ialah apa yang  telah ditakrifkan oleh para ulama iaitu: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara‘, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat  al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/501).

Firman Allah SWT:

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya.

(Surah al-Hajj: 29)

Selain itu, pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyatakan bahawa nazar hanya dibolehkan kepada perkara kebajikan dan sekiranya bernazar perkara haram dan makruh maka tidak sah nazarnya seperti bernazar untuk merogol dan selainnya (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/26).

Dalam menjawab soalan di atas, para ulama berbeza pendapat mengenai bernazar untuk berkahwin; menjadikan nikah itu wajib ataupun tidak. Menurut sebahagian ulama seperti Ibn al-Rif‘ah, nikah itu menjadi wajib disebabkan oleh nazarnya.

Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa ulama Syafi‘iyyah menyebutkan, wajib ke atasnya berkahwin disebabkan nazar mengikut pendapat yang mu‘tamad yang dinyatakan oleh Ibn al-Rif‘ah dan lain-lain. Namun, al-Syarwani menyatakan, pendapat tersebut bertentangan dengan pandangan yang dinyatakan dalam Nihayah al-Muhtaj, Mghni al-Muhtaj dan al-Syihab al-Ramli.

Manakala al-Syams al-Ramli pula berpendapat, tidak wajib ke atasnya untuk berkahwin disebabkan nazar secara mutlak, walaupun disunatkan, sebagaimana difatwakan oleh ayahandanya. Al-Syabramallisi menyebutkan: (tidak wajib kahwin kerana nazar itu) tidak kira sama ada dia memerlukan kepada nikah tersebut mahupun tidak, atau dirinya berhasrat untuk bernikah ataupun tidak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 41/211).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa perkara ini termasuk dalam perkara yang diperselisihi dalam kalangan ulama. Namun, kami berpendapat bahawa sekiranya seseorang itu bernazar untuk berkahwin apabila dia berjaya mendapatkan sesuatu, maka jika apa yang dihajatkan itu benar-benar tercapai, dia wajib melaksanakan nazarnya itu. Sehubungan dengan itu, wajib ke atasnya untuk berkahwin disebabkan oleh nazarnya itu tadi. Lebih-lebih lagi, perkahwinan bukanlah perkara maksiat. Jadi, sekiranya dia dengan sengaja melanggar atau membatalkannya tanpa sebarang sebab, dia dianggap berdosa.

Kami juga tidak menafikan di sana terdapat pendapat kedua, yang menyatakan nazarnya itu tidak menjadikan “pernikahan” wajib ke atas dirinya. Bagi yang berpegang kepada pendapat ini, dia boleh memilih untuk menunaikan nazarnya ataupun melanggar dan membatalkan nazarnya. Jika dia sengaja membatalkannya sekalipun tanpa sebarang sebab, dia tidak dianggap berdosa.

Bagi mereka yang melanggar atau ingin membatalkan nazarnya, dia dikenakan kaffarah nazar iaitu denda kerana melanggar nazar. Kafarah nazar adalah sepertimana kafarah yamin (denda langgar sumpah) iaitu memberi makan 10 orang miskin atau memberi pakaian kepada fakir miskin mengikut uruf setempat, atau membebaskan seorang hamba. Sekiranya tidak mampu melakukan antara tiga perkara tersebut, maka dia dikehendaki berpuasa tiga hari.

Penjelasan berkenaan kafarah nazar ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #5925: Membatalkan Nazar.[1]

Pada kesempatan ini juga, kami menasihatkan kepada semua supaya tidak bernazar melainkan mengharapkan keredhaan Allah. Ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا نَذرَ إلّا فيما ابتُغِيَ به وجهُ الله

Maksudnya: “Tidak boleh bernazar kecuali dengan mengharapkan keredhaan Allah.

Riwayat Abu Daud (2192)

Selain itu, janganlah bernazar pada perkara yang tidak mampu kita lakukan, yang akhirnya ia hanya akan membebani kita di kemudian hari. Kami ingatkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A di mana Baginda bersabda:

لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ

Maksudnya: “Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.

Riwayat Muslim (1640)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/5925-membatalkan-nazar/. Diakses pada 9 Ogos 2024.