#6752: Duduk Serumah Lelaki dan Perempuan yang Bukan Mahram

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum lelaki dan wanita beramai-ramai dalam satu rumah atau bangunan, bergurau senda dan meluahkan perasaan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30) وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ‎

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya;

Antara hikmah larangan seorang lelaki berdua-duaan bersama seorang perempuan yang bukan mahramnya ialah kerana perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah, tohmahan dan syak wasangka orang lain serta berkemungkinan memberi mudarat yang lebih besar seperti terjerumus ke dalam maksiat, perzinaan dan runtuhnya institusi kekeluargaan. Hal ini kerana perbuatan khalwat (berdua-duan) itu sendiri merupakan suatu ruang yang besar untuk dimasuki oleh syaitan dalam usaha merosakkan anak Adam serta menimbulkan fitnah yang besar pada diri mereka. Hal ini bertepatan sebagaimana sabda Nabi SAW :

أَلَا لَا يَخْلُوَنَّ رجلٌ بامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثاَلثهُمَا الشَيْطَان

Maksudnya: Ketahuilah bahawa tidak sesekali bersunyi-sunyian seorang lelaki ajnabi dengan seorang wanita ajnabiyah kecuali datang yang ketiga di antara mereka berdua iaitu syaitan.

Riwayat al-Tirmizi (2165)

Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan di dalam kitabnya bahawa syaitan ada bersama keduanya (lelaki dan perempuan yang berdua-duaan itu) serta membisikkan syahwat kepada mereka sehinggalah ia mencampakkan mereka berdua ke lembah penzinaan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/320)

Para ulama telah meletakkan garis panduan (parameter) dalam menentukan khalwat yang dilarang oleh agama. Syeikh al-Syibramalisi dan Syeikh Abdul Hamid al-Syarwani menyebutkan bahawa: “Sesungguhnya garis penentuan khalwat (yang dilarang) ialah ke atas perhimpunan (antara laki-laki dan perempuan yang bukan mahram) yang tidak selamat daripada sebarang tohmah (fitnah dan syak wasangka) pada adat kebiasaannya, berbeza pula apabila dapat dipastikan perhimpunan (pertemuan) tersebut selamat daripada sebarang tohmah pada adat kebiasaannya, maka ia tidak termasuk dalam khalwat (yang dilarang).” (Lihat Hasyiah Nihayah al-Muhtaj, 7/163; Hasyiah Tuhfah al-Muhtaj, 8/269)

Imam al-Nawawi berkata: “Janganlah seorang lelaki itu duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengannya mahramnya. Dan sekiranya seorang lelaki ajnabi itu berkhalwat bersama-sama dengan wanita ajnabiyyah tanpa ada orang yang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama. Demikianlah juga (hukumnya) jika bersama-sama perempuan tersebut seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya disebabkan kecilnya dia seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun atau tiga tahun atau seumpamanya, kerana wujudnya anak tersebut sama seperti tiada.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/243-244)

Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam syarahnya melarang bersalaman di antara lelaki dan perempuan:

فَلَا يُصَافِحُ الرَّجُلُ الْمَرْأَةَ وَلَا عَكْسُهُ

Maksudnya: Dilarang bersalaman lelaki dan perempuan dan begitu juga sebaliknya (Lihat Tuhfatul al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/56)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum lelaki dan wanita yang bukan mahram dalam satu rumah/bangunan adalah haram. Hal ini kerana ia boleh membawa kepada fitnah dan mendorong kepada perkara yang tidak sepatutnya sepertimana hadith di atas.

Islam itu tidaklah jumud sehingga menyekat hak kebebasan manusia untuk menjalani kehidupan, berkenalan sesama manusia tanpa mengira jantina, bangsa dan agama, bantu membantu dan seumpamanya. Akan tetapi, adanya garis panduan yang ditetapkan oleh syarak itu hakikatnya untuk menjaga kita dari perkara-perkara yang buruk dan tidak baik, meskipun dalam keadaan sekarang kita tahu mana yang baik dan yang buruk.  Ini kerana syaitan dan hawa nafsu tidak akan duduk diam dalam membawa kita ke kancah maksiat.

Begitu juga, batas pergaulan antara lelaki dan perempuan juga perlu dijaga. Pencampuran antara lelaki dan perempuan itu dibenarkan pada keadaan-keadaan tertentu seperti urusan jual beli, penyaksian, urusan kerja, politik, urusan menuntut ilmu, jihad dan keperluan urusan seharian lain. (Lihat al-Mufassal fi ahkam Mar’ah wa bait al-Muslimin, 3/ 428).

Ia juga mestilah tertakluk dengan nilai-nilai adab seperti menutup aurat, menjaga pandangan, tidak melunakkan suara dengan manja (semasa bercakap dengan lelaki asing). (Lihat al-Mufassal fi ahkam Mar’ah wa bait al-Muslimin, 3/ 426)

Justeru, isu seperti ini juga perlu diberi kecaknaan dan perhatian yang sewajarnya oleh para ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka terutamanya  dalam melangkah alam dewasa pada hari ini. Semoga sebarang tindakan mereka selaras dengan kehendak Allah SWT dan rasul-Nya serta mengikut neraca syariah.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً،وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً،وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

Wallahua’lam