#6753: Berjima‘ dengan Isteri di Hadapan Isterinya yang Lain

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dibenarkan bagi seorang lelaki yang mempunyai lebih dari seorang isteri untuk menggauli salah seorang daripada mereka ketika isterinya yang lain berada di situ? Meskipun mereka tidak dapat melihat antara satu sama lain? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya seorang suami diharuskan untuk menikmati secara seksual setiap bahagian tubuh isterinya melainkan menyetubuhi isterinya pada dubur sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (4/84). Begitu juga diharuskan untuk bermain-main secara seksual antara suami dan isteri secara intim dan mesra, sebelum memulakan persetubuhan, dengan syarat selagi mana tidak membawa kepada kerosakan. Perkara ini berdalilkan firman Allah SWT:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya:Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.

(Surah al-Baqarah: 223)

Ayat di atas bermaksud, Isteri-isteri kamu adalah tempat kamu bercucuk tanam, melahirkan anak-anak untuk kamu; seperti tanah yang mengeluarkan buah-buahan. Maka datangilah tempat bercucuk tanam itu — iaitu faraj — dari mana-mana arah yang kamu suka dan bagaimana cara pun yang kamu suka asalkan di faraj. Dan sediakanlah untuk diri kamu dengan melakukan kebaikan, termasuklah seorang lelaki menggauli isterinya dengan niat mendekatkan diri kepada Allah dan berharap mendapatkan zuriat yang soleh. Bertakwalah kepada Allah dengan mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, termasuklah apa yang telah disyariatkan kepada kamu mengenai wanita. Ketahuilah bahawa kamu akan menemui-Nya pada hari kiamat, berdiri di hadapan-Nya, dan Dia akan membalas kamu berdasarkan amalan-amalan kamu. Dan berilah berita gembira — wahai Nabi — kepada orang-orang beriman dengan apa yang menggembirakan mereka ketika bertemu Tuhan mereka, iaitu nikmat yang kekal dan melihat wajah-Nya yang mulia. (Lihat al-Mukhtasar fi Tafsir al-Quran al-Karim, hlm. 35).

Dalam menjawab soalan ini, kami katakan bahawa menggauli isteri di hadapan isteri yang lain dan membiarkannya melihat adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku dan tidak ada khilaf dalam kalangan ulama berkenaan pengharamannya.

Al-Hasan al-Basri menyebutkan: Mereka (yakni para sahabat atau tabi‘in yang besar) membenci “al-Wajs” (الوَجْسُ) iaitu seorang lelaki yang menggauli salah seorang isterinya sementara yang lain mendengar bunyinya — dan istilah “benci” dalam kalangan ulama terdahulu bermaksud haram. Ini diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (4/388).

Ibn Qudamah menyebutkan, jika dua orang isteri itu redha untuk tinggal bersama di dalam satu rumah, maka ia dibolehkan kerana hak tersebut milik mereka dan mereka dibenarkan untuk menolaknya. Begitu juga jika mereka redha untuk tidur bersama di bawah satu selimut. Akan tetapi jika mereka redha supaya seorang suami menggauli salah seorang di hadapan yang lain, ia tidak dibolehkan kerana perkara itu memalukan, menunjukkan kerendahan akhlak, dan menjatuhkan maruah, maka ia tidak boleh dilakukan sekalipun mereka redha. (Lihat al-Mughni, 8/137).

Apabila al-Hajjawi, pengarang Zad al-Mustaqni‘ berkata: “(Makruh) melakukan hubungan intim di hadapan orang lain.” Kemudian, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin mengulas kenyataan ini dengan menyatakan, ini adalah perkara yang paling aneh /ganjil apabila hanya dikatakan makruh (dibenci). Perkara ini melibatkan dua keadaan:

Pertama, jika keadaan tersebut di mana aurat kedua-duanya dilihat: Maka tiada keraguan bahawa mengatakannya sebagai makruh adalah salah/tersilap kerana wajib untuk menutup aurat. Jika aurat mereka dilihat oleh orang lain, maka tidak syak lagi hukumnya adalah haram, dan kenyataan pengarang (al-Hajjawi) adalah tidak benar sama sekali.

Kedua, jika keadaan di mana aurat mereka tidak dilihat. Maka mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh juga perlu dipertimbangkan. Sebagai contoh, jika mereka berdua berselimut dan melakukan hubungan intim tetapi gerakan mereka terlihat, maka sebenarnya tidak syak lagi bahawa ia lebih mendekati kepada pengharaman; kerana ia tidak sesuai untuk seorang Muslim merendahkan dirinya ke keadaan seperti ini. Selain itu, ia mungkin akan membangkitkan syahwat orang yang melihatnya, lalu menyebabkan terhasilnya mafsadah atau kemudharatan dengan perkara tersebut.

Pandangan yang tepat dalam hal ini adalah haram untuk menggauli isteri di hadapan orang lain, kecuali jika yang melihat adalah anak kecil yang tidak memahami apa yang sedang berlaku, maka tidak menjadi masalah. Namun, jika anak kecil tersebut dapat memahami apa yang berlaku, maka tidak boleh juga menggauli isteri di hadapannya, walaupun dia seorang kanak-kanak; kerana kanak-kanak mungkin menceritakan apa yang dilihatnya tanpa niat. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘ ‘ala Zad al-Mustaqni‘, 12/417-418)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami ingin tegaskan sekali lagi bahawa menggauli isteri di hadapan isteri yang lain adalah tidak dibolehkan, tidak kira aurat mereka dilihat ataupun hanya pergerakan dan suara sahaja yang kelihatan, tetap tidak dibolehkan dan haram. Ini kerana perkara itu memalukan, menunjukkan kerendahan akhlak, dan menjatuhkan maruah, maka ia tidak boleh dilakukan sekalipun mereka redha. Apatah lagi perkara-perkara seperti ini tidak dikenali pun dalam budaya masyarakat Islam kita. Tidaklah dibuka pintu yang membawa kepada perkara-perkara seperti ini melainkan dengan sebab filem-filem yang rendah nilai akhlaknya (seperti pornografi dan seumpamanya) yang dibawa masuk kepada kita oleh budaya globalisasi.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”