#6754: Mencium Anak di Mulut

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seseorang ibu atau ayah mencium anaknya di mulut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ibu bapa perlu menunjukkan sifat kasih dan sayang pada anak-anak apabila bersama dengan mereka. Contoh yang terbaik adalah Rasulullah SAW sendiri seperti di dalam Riwayat Abu Hurairah R.A katanya: Rasulullah SAW mencium al-Hasan bin Ali dan ketika itu al-Aqra‘ bin Hamis al-Tamimi sedang duduk, lalu al-Aqra‘ berkata: “Aku mempunyai sepuluh orang anak, akan tetapi aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka”, kemudian Nabi SAW bersabda:

مَن لا يَرْحَمُ لا يُرْحَمُ

Maksudnya: “Siapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Seterusnya, dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa tidak menjadi masalah diharuskan bagi ibu bapa untuk mencium anak-anak mereka sekalipun mereka sudah dewasa atau berbeza jantina dan begitulah juga sebaliknya, dengan syarat selamat daripada fitnah dan syahwat. Ini kerana tidak dapat dinafikan bahawa perbuatan saling bersalaman dan ciuman itu merupakan salah satu cara bagi menzahirkan suatu bentuk kasih sayang dan mengungkapkan rasa rindu yang sudah lama terpendam di dalam hati disebabkan mungkin lama tidak berjumpa dan sebagainya.

Hal ini adalah jelas dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah ketika membahaskan berkenaan hukum bersalaman antara lelaki dan perempuan dalam kalangan mahram. Ulama Hanafiyyah, Malikiyyah dan Syafi‘iyyah mengikut pendapat yang muktamad di sisi mereka bahawa ia diharuskan. Begitu juga ia merupakan pendapat yang diikuti oleh ulama Hanabilah dalam konteks bersalaman antara ibu bapa dengan anak-anak mereka mengikut salah satu riwayat mereka. Dalam riwayat mereka yang lain, dibina berdasarkan kepada pendapat mereka yang mengharuskan persentuhan antara mahram pada tempat selain aurat dengan syarat selamat daripada fitnah dan tidak dikhuatiri timbulnya nafsu syahwat.

Dalilnya, terdapat riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah mencium Fatimah R.Anha ketika mana beliau masuk menemui Baginda SAW. Begitulah juga sebaliknya, di mana Fatimah R.Anha akan mencium Baginda SAW apabila Baginda masuk menemuinya. Demikianlah juga telah sahih riwayat daripada Abu Bakar R.A bahawasanya beliau pernah mencium anak perempuannya, Aisyah R.Anha. Ini kerana persentuhan antara mahram (tidak kira sama ada dengan cara bersalaman atau ciuman) pada tempat selain aurat kebiasaannya akan mengeratkan lagi hubungan silaturahim, menambahkan kasih sayang dan kelembutan, serta tidak membawa kepada syahwat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 37/358).

Mencium anak di mulut

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa sekalipun diharuskan untuk ibu bapa mencium anak secara umumnya, tetapi dikecualikan daripadanya untuk mencium pada bahagian mulut. Dalam erti kata lain, tidak dibolehkan bagi ibu bapa untuk mencium anak mereka pada bahagian mulut kerana perbuatan mencium mulut hanya khusus untuk suami isteri sahaja.

Ini jelas sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Muflih bahawa perbuatan mencium tersebut (antara ibubapa dengan anak) tidak boleh selama-lamanya dilakukan pada mulut, sebaliknya ia dilakukan pada dahi atau kepala. (Lihat al-Adab al-Syar‘iyyah, 2/266)

Selain daripada itu, Abu Naja al-Hajjawi turut menyatakan bahawa tidak mengapa bagi orang yang pulang dari permusafiran untuk mencium mahramnya, jika tidak dibimbangi ke atas dirinya (timbulnya fitnah/syahwat). Akan tetapi jangan dia menciumnya pada bahagian mulut. Sebaliknya ciumlah pada dahi atau kepala. (Lihat al-Iqna‘ fi Fiqh al-Imam Ahmad bin Hanbal, 3/160).

Ini kerana ciuman pada mulut itu boleh membangkitkan syahwat dan nafsu. Apatah lagi, bahagian mulut termasuk dalam bahagian yang dianggap sebagai erogenous zone iaitu bahagian badan yang sensitif terhadap sentuhan dan mengakibatkan rangsangan seksual apabila dirangsang/disentuh.[1]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa ibu bapa tidak dibenarkan untuk mencium mulut anak-anak mereka bagi menunjukkan kasih sayang, dan meskipun tanpa syahwat kerana dibimbangi perbuatan itu boleh membangkitkan syahwat dan hal seumpamanya. Lebih-lebih lagi, mulut termasuk dalam bahagian yang sensitif yang boleh membangkitkan syahwat apabila dirangsang, maka menjauhi daripada melakukannya adalah sebagai mengambil langkah sadd zarai‘ — iaitu menutup pintu/jalan yang boleh membawa kepada perkara yang dilarang. Sebaliknya, ciumlah mereka pada dahi atau kepala.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.centreforsexuality.ca/learning-centre/erogenous-zones/#:~:text=An%20erogenous%20zone%20is%20an,person%20reacts%20differently%20to%20touch. Diakses pada 10 Ogos 2024. Lihat juga https://www.masterclass.com/articles/erogenous-zones-guide. Diakses pada 10 Ogos 2024.