#6755: Harta Pusaka Suami Meninggal Selepas Isteri Yang Diceraikan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah isteri mendapat pusaka bila ia diceraikan hidup, kemudian dalam masa iddah cerai, suami meninggal. Manakah iddah yang hendak digunakan, iddah cerai atau iddah kematian. Mohon penjelasan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Bagi menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan membawakan firman Allah SWT yang menyatakan bahawa isteri berhak mendapat bahagian pusaka daripada harta suami, firman-Nya:

 وَلَكُمْ نِصْفُ مَا تَرَكَ أَزْوَاجُكُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّهُنَّ وَلَدٌۚ فَإِن كَانَ لَهُنَّ وَلَدٌ فَلَكُمُ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْنَۚ مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِينَ بِهَا أَوْ دَيْنٍۚ وَلَهُنَّ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّكُمْ وَلَدٌۚ فَإِن كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُمۚ مِّن بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍۗ

Maksudnya: Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu per lapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu.

Surah al-Nisa’ (12)

Ayat suci ini menyatakan bahawa pasangan suami isteri berhak mewarisi harta peninggalan pasangannya antara satu sama lain mengikut kadar-kadar yang telah ditentukan oleh syarak.

Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi menafsirkan mengenai ayat di atas bahawa: “Wanita mewarisi 1/4 harta peninggalan suaminya sekiranya dia tidak mempunyai anak. Manakala, jika suami meninggalkan anak, maka bahagian isteri menjadi 1/8. Kadar ini juga terpakai ke atas suami yang berpoligami dengan bahagian yang sama, bermakna sama ada seorang isteri atau dua atau tiga atau empat; semuanya berkongsi hukum yang sama. Ini kerana Allah SWT tidak membezakan di antara hukum bagi yang berpoligami atau bermonogami.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, 5/76)

Tempoh ‘Iddah Cerai

Ringkasan asas tempoh iddah cerai adalah seperti berikut:

Jenis Perceraian Tempoh ‘Iddah
Wanita yang didatangi haid 3 kali suci
Wanita yang tiada haid 3 bulan Qamariah
Wanita yang kematian suami 4 bulan Qamariah 10 hari

Cerai talak satu diistilahkan sebagai Talak Raj’i. Ia bermaksud talak yang boleh dirujuk. Di dalam Hukum Syarak, hak rujuk itu ada dua kali. Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Imam al-Mawardi berkata: “(Antara tafsir ayat ini) bahawa ia menerangkan bilangan talak dan penentuannya dengan tiga kali, dan bahawasanya lelaki itu memiliki hak rujuk pada dua talak yang pertama dan tidak pula memilikinya pada talak ketiga.” (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 1/293)

Syariat Islam menetapkan tempoh iddah bagi wanita yang diceraikan. Allah SWT berfirman tentang iddah wanita yang ditalak Raj’i sedangkan wanita itu dalam keadaan haid, firman-Nya:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ

Maksudnya: “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).”

(Surah al-Baqarah:228)

Imam Abu Muhammad al-Baghawi berkata: “Dan berpendapat sebahagian ulama bahawa maksud Quru’ ialah waktu-waktu suci dan inilah pendapat Zaid bin Thabit, ‘Abdullah bin ‘Umar, ‘A’isyah, dan ini juga merupakan pendapat fuqaha yang tujuh serta Ibn Syihab al-Zuhri, dan juga pendapat Rabi‘ah al-Ra’yi, Malik dan al-Syafi‘i.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/266)

Manakala bagi wanita yang tiada haid, seperti sudah putus haid atau tidak pernah haid; iddah mereka adalah tiga bulan Hijriah. Ini berdalilkan firman Allah SWT:

وَاللَّائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِن نِّسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang sudah terputus haidnya (menopause) dari kalangan isteri-isteri kamu sekiranya kamu ragu—ragu (berkenaan iddahnya); maka iddah mereka adalah tiga bulan dan begitu juga perempuan yang tidak ada haidnya (belum sampai tempoh haid).”

(Surah al-Talaq: 4)

Namun sekiranya seseorang wanita itu mengalami kematian suami, dia tetap wajib beriddah namun jumlahnya berbeza. Jumlahnya adalah sebanyak 4 bulan 10 hari, sepertimana yang telah dinyatakan dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu hendaklah menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari.”

(Surah al-Baqarah: 234)

Suami Meninggal Dunia Ketika Iddah Talak Raj’i

Timbul isu, sekiranya wanita yang pada awalnya ditalakkan oleh suaminya dengan cerai hidup; dengan talak raj’i, seperti talak satu, kemudian sewaktu wanita itu masih beriddah, si suaminya itu mati. Apakah wanita itu perlu menjalani iddah biasa talak raj’i atau iddah wafat?

Imam al-Nawawi menjawab kemusykilan ini seraya berkata:

وَإِنْ مَاتَ عَنْ رَجْعِيَّةٍ انْتَقَلَتْ إلَى وَفَاةٍ أَوْ بَائِنٍ فَلَا

Maksudnya: “Jika seorang (bekas suami) itu mati ketika dalam talak Raj’i maka berubah iddah (bekas isteri) itu kepada iddah wafat, atau sekiranya ia talak ba’in maka tidak berubah.” (Lihat Minhaj al-Talibin wa  ‘Umdah al-Muftin, hlm. 255)

Imam Ibn Hajar al-Haitami mensyarahkan kenyataan Imam al-Nawawi di atas dengan menyebutkan, [Jika seorang (bekas suami) itu mati ketika dalam talak Raj’i maka berubah iddah (bekas isteri) itu kepada] tempoh [iddah wafat] Maka gugur bilangan berbaki daripada iddah talak lalu wajib wanita itu berkabung dan gugur nafkahnya. (Manakala) untuk (talak ba’in) seperti wanita yang nikahnya difasakhkan, (maka tidak) berubah iddahnya sebaliknya hendaklah wanita itu menyempurnakan iddah talak atau fasakh kerana dia bukan isteri dan tidak wajib baginya untuk berkabung dan baginya nafkah sekiranya dia hamil. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 8/251)

Maka, kesimpulannya, iddah yang digunakan adalah iddah kematian iaitu selama 4 bulan 10 hari, bermula pada hari kematian si suami.

 

Isteri Yang Ditalak Raj‘i Berhak Mendapat Harta Pusaka

Antara sebab seseorang berhak mendapat harta pusaka dan perwarisan adalah sebab hubungan pernikahan. Imam al-Rahabi berdendang:

أَسْبَابُ مِيرَاثِ الْوَرَى ثَلَاثَهْ … كُلٌّ يُفِيدُ رِبْهِ الْوَرَاثَهْ

وَهِيً نِكَاحٌ وَوَلَاءٌ وَنَسَبْ … مَابَعْدَهُنَّ لِلْمَوَارِيثِ سَبَبْ

“Sebab seseorang itu berhak mewarisi pusaka manusia ada tiga [3],

Semua yang ada sebab ini akan berhak beroleh bahagian pusaka,

Iaitu: [1] pernikahan, [2] wala’ dan [3] keturunan,

Tiada yang lain selain tiga sebab perwarisan ini.”

(Lihat Matan al-Rahabiyyah, hlm. 3)

Oleh yang demikian, isteri yang ditalak dengan talak Raj‘i, kemudian suaminya mati dan dalam tempoh ‘iddah tersebut, adalah berhak mendapat harta pusaka dengan bahagian yang ditetapkan. Hal ini kerana mereka masih berstatus suami isteri dari sudut hukum sehingga tempoh iddah tamat.

Hal ini dinyatakan oleh Imam Jalaluddin al-Mahalli ketika mensyarahkan kalam Imam al-Nawawi, beliau (Imam al-Mahalli) memfatwakan bahawa:

أَنَّ الزَّوْجَيْنِ فِي عِدَّةِ الطَّلَاقِ الرَّجْعِيِّ يَتَوَارَثَانِ

Maksudnya: “Pasangan suami isteri yang masih dalam iddah talak raj’i boleh saling mewarisi antara satu sama lain.” (Lihat Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin, 3/140)

Konklusi dan Kata Putus

Maka berdasarkan fakta di atas, untuk menjawab soalan yang diajukan tersebut, kami simpulkan beberapa noktah seperti yang tertera:

  • Wanita yang telah ditalak satu oleh suaminya kemudian suami itu mati semasa dalam tempoh iddah, maka iddah akan berubah. Iddah akan bermula semula pada saat kematian kepada iddah wafat iaitu selama 4 bulan 10 hari dari sudut tempoh.
  • Masih berlaku ke atas wanita tersebut sebahagian hukum-hakam perkahwinan, mereka masih suami isteri dari sudut hukum sama seperti Talak Raj’i.
  • Wanita itu juga berhak terhadap harta pusaka suaminya iaitu satu perempat (¼) jika tiada anak, dan satu per lapan (⅛) sekiranya mempunyai anak.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.