#6760: Adakah Takdir Yang Diubah Telah Sedia Tertulis?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya nak tanya sesuatu yang buat saya musykil. Soalannya, kalau takdir boleh diubah, adakah memang tertulis kita akan mengubah takdir atau dia termasuk pada qadha’ muallaq? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami mulakan penulisan ini dengan menyatakan bahawa takrifa Qadha’ dan Qadar menurut akidah Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah adalah seperti berikut:

Qadha’ (الْقَضَاءُ) Kehendak Allah sejak azali tentang ketetapan sesuatu perkara
Qadar (الْقَدَرُ) Perlaksanaan sesuatu ketentuan itu terjadi dengan cara yang Dia hendaki dan Dia tetapkan.

(Lihat Hasyiah al-Bajuri ‘ala al-Jauharah, hlm. 188-189)

Qadha’ pula terbahagi kepada dua iaitu:

  1. Qadha’ Mubram

Qadha’ Mubram adalah segala ketentuan takdir yang telah putus dan tidak akan berubah yang tertulis di sisi Allah, iaitu di sisi ilmu Allah yang azali dan tertulis di al-Lauh al-Mahfuz. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

مَا يُبَدَّلُ الْقَوْلُ لَدَيَّ

Maksudnya: “Tidaklah ketentuan di sisi-Ku itu akan berubah.”

(Surah Qaf: 29)

Allah SWT juga turut berfirman:

وَعِندَهُۥٓ أُمُّ ٱلۡكِتَٰبِ

Maksudnya: “Dan di sisi-Nya jua terdapat Umm al-Kitab iaitu ibu segala persuratan.”

(Surah al-Ra‘d: 39)

Imam al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini, meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa: “Ibn ‘Abbas pernah bertanya Ka‘b al-Ahbar tentang Umm al-Kitab, beliau berkata: “Itu adalah ilmu Allah. Semua maklumat tentang makhluk dan perbuatan makhluk ada di sisi-Nya.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 4/326)

Nyatalah di sini bahawa Umm al-Kitab adalah ilmu Allah SWT yang qadim dan azali, dan ia ditulis di dalam al-Lauh al-Mahfuz. Takdir di sini tidak akan berubah, dan semua perubahan telah pun sedia tertulis di sini. Hal ini kerana ilmu Allah SWT adalah qadim dan tidak menerima sebarang perubahan, sama ada pertambahan atau pengurangan.

  1. Qadha’ Mu‘allaq

Qadha’ Mu‘allaq adalah ketentuan yang ditentukan berdasarkan pilihan dan perbuatan seseorang hamba. Qadha’ ini juga adalah ketentuan yang ditulis oleh malaikat di dalam kitab nasib dan amalan hamba. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَمۡحُواْ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ وَيُثۡبِتُۖ

Maksudnya: “Allah SWT menghapuskan segala yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan segala yang dikehendaki-Nya.”

(Surah al-Ra’d: 39)

Imam Syarafuddin al-Tibi berkata menjelaskan Qadha’ Mu‘allaq ketika menerangkan pembahagian dua Qadha’ ini: “Ketahuilah bahawa Allah telah menetapkan dua Qadha’ kepada makhluk-Nya, salah satunya adalah Qadha’ Mu‘allaq: iaitu ketentuan yang telah ditakdirkan sejak azali namun ia bergantung dengan perbuatan/pekerjaan seseorang hamba. Sepertimana kita katakan: Jika si fulan buat begitu, beginilah yang dia akan beroleh. Jika dia tidak lakukan begitu, maka dia tidak akan mendapat sekian sekian perkara. Inilah takdir yang boleh ditukar ganti, dipadam dan ditetapkan berdasarkan firman Allah: يَمْحُو اللهُ مَا يَشَاءُ وَيُثْبِتُ – (Allah menghapuskan segala yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan segala yang dikehendaki-Nya).” (Lihat al-Kasyif ‘an Haqa’iq al-Sunan, 11/638)

Kesimpulannya, hanya Qadha’ Mu‘allaq sahaja yang boleh diubah dengan doa dan amalan hamba. Qadha’ Mu‘allaq adalah ketentuan yang ditulis dan dibawa oleh malaikat, dan boleh diubah dengan doa dan sedekah serta lain-lain amalan sekiranya dikehendaki dan diizinkan oleh Allah SWT. Manakala, Allah telah mengetahui segala perubahan yang dikehendaki oleh si hamba tersebut di sisi-Nya dan semua perubahan tersebut telah tertulis di al-Lauh al-Mahfuz sejak azali.

Al-Hafiz Ibn Hajar al- ‘Asqalani berkata: “Segala pertukaran takdir sama ada memadam atau mengisbatkan sesuatu takdir adalah catatan takdir yang dimiliki di alam Malaikat. Adapun Umm al-Kitab yang berada pada ilmu Allah maka tiada sebarang perubahan padanya. Inilah yang dinamakan sebagai al-Qadha’ al-Mubram dan yang pertama tadi adalah al-Qadha’ al-Mu‘allaq.” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 10/416)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ كَتَبْتَ عَلَيَّ شِقْوَةً أَوْ ذَنْبًا فَامْحُهُ، فَإِنَّكَ تَمْحُو مَا تَشَاءُ وَتُثْبِتُ، وَعِنْدَكَ أُمُّ الْكِتَابِ، فَاجْعَلْهُ سَعَادَةً وَمَغْفِرَةً

Maksudnya: “Ya Allah, sekiranya Engkau telah tetapkan aku sebagai celaka atau akan melakukan dosa, maka padamlah ketentuan itu. Sesungguhnya Engkau yang berhak memadam dan mengekalkan segala perkara, dan sisi-Mu jualah Umm al-Kitab itu. Maka, jadikanlah aku tertulis di dalamnya sebagai bahagia dan beroleh keampunan.”

Wallahu a‘lam.