#6762: Tukar Niat Taqdim kepada Ta’khir di dalam Solat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Saya ingin tahu bolehkah kita tukar niat kita dalam solat jamak qasar dari niat jamak taqdim kepada jamak ta’khir. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Bagi menjawab kemusykilan di atas, kami mulakan penulisan jawapan ini dengan membawa hadith ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma bahawa beliau meriwayatkan:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menjamakkan solat Zohor dan Asar apabila Baginda dalam perjalanan, dan Baginda turut menjamakkan antara solat Maghrib dan Isyak.”

Riwayat al-Bukhari (1107)

Hadith di atas ini merupakan salah-satu dalil tunjang bagi keharusan menjamakkan solat-solat yang telah ditetapkan oleh syarak. Antara faktor utama yang mengizinkan jamak adalah sebab bermusafir.

Imam Ibn Daqiq al-‘Eid menyebutkan bahawa para ulama’ tidak berbeza pendapat berkenaan ‘illah atau sebab dibolehkan jamak antara dua solat fardhu adalah faktor musafir. Hanya mazhab Hanafi yang mengkhususkan musafir itu antara Arafah dan Muzdalifah sahaja, maka ‘illah mereka berubah daripada permusafiran kepada nusuk haji. (Lihat Ihkam al-Ihkam Syarh ‘Umdah al-Ahkam, 1/329)

Berhubung dengan persoalan di atas, kami nyatakan bahawa syarat-syarat Jamak Taqdim adalah seperti berikut:

Imam al-Hisni menyatakan bahawa untuk jamak taqdim itu ada tiga syarat seperti tertera:

[1] Dimulai dengan solat pertama, iaitu melakukan solat Zuhur sebelum Asar dan Maghrib sebelum Isyak, kerana waktu adalah milik solat pertama, manakala solat kedua mengikuti solat pertama dan pengikut tidak didahulukan atas yang diikuti. Apabila solat kedua (Asar dan Isyak) dilakukan sebelum solat pertama (zohor atau maghrib) maka solat kedua itu tidak sah dan diulanginya setelah solat pertama.

[2] Niat jamak (taqdim) ketika takbiratul ihram solat pertama atau di tengah-tengah solat pertama berdasarkan pendapat yang paling azhar (dalam mazhab). Maka tidak boleh niat jamak setelah salam dari solat pertama.

[3] Muwalat antara solat pertama dan solat kedua; kerana solat kedua itu mengikuti solat pertama dan pengikut tidak dipisahkan dengan yang diikutinya itu.” (Lihat Kifayah al-Akhyar fi Hilli Ghayah al-Ikhtisar, 1/139)

Manakala, syarat bagi Jamak Ta’khir ada dua [2] sahaja seperti yang berikut:

Al-Habib Salim bin Sumair al-Hadhrami menyatakan, syarat-syarat Jamak Ta’khir ada dua:

[1] Niat menta’khirkan (ia dilakukan dalam waktu solat pertama) sedangkan masih berbaki dari waktu yang pertama itu tempoh dapat mengerjakan solat tersebut

[2] Uzur (permusafiran) itu kekal sehingga selesai solat yang kedua.” (Lihat Safinah al-Najah, hlm. 47)

Imam al-Ramli juga memfatwakan, perkara (yang wajib) di sini (iaitu pada jamak ta’khir) ialah dua perkara. Salah satunya ialah berkekalan dalam keadaan musafir sehingga selesai sembahyang kedua-duanya. Syarat kedua (keadaan mengakhirkan solat itu dengan niat jamak) iaitu dia wajib berniat untuk jamak ta’khir sebelum habis waktu pertama.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/279)

Kembali kepada persoalan di atas, kami simpulkan bahawa tidak dibolehkan untuk menukar niat Jamak Taqdim kepada Jamak Ta’khir ketika sedang menunaikan solat kerana syarat Jamak Ta’khir adalah mesti meniatkan ta’khir pada mana-mana ketika di dalam waktu solat pertama; iaitu sebelum menunaikan solat, bukan ketika di dalam solat.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ يَسِّرْنا لليُسْرَى، وَجَنِّبْنا العُسْرَى، واغْفِرْ لَنا في الآخِرَةِ والأولى، وَاجْعَلْنا مِنْ أئمَّةِ المُتَّقِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, permudahkanlah segala kebaikan buat kami. Hindarkanlah segala kesukaran. Ampunkanlah kami di dunia dan di akhirat. Jadikanlah kami para pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”

Wallahu a‘lam.