#6764: Menulis Gelaran “Haji/Hajah” Pada Batu Nisan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, ingin bertanya bolehkah kita meletakkan gelaran haji/hajah pada tulisan di batu nisan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami jawab persoalan yang diajukan dengan beberapa noktah disusun seperti berikut:

Menggelar seseorang yang telah melaksanakan Haji atau pulang daripada menunaikan Haji dengan gelaran Haji dan Hajjah adalah harus dan dibenarkan sepertimana yang difatwakan oleh fuqaha’ mazhab al-Syafi‘i.

Imam al-Nawawi memfatwakan sedemikian menerusi kalam beliau berikut:

يَجُوزُ أَنْ يُقَالَ لِمَنْ حَجَّ حَاجٌّ بَعْدَ تَحَلُّلِهِ وَلَوْ بَعْدَ سِنِينَ وَبَعْدَ وَفَاتِهِ أَيْضًا وَلَا كَرَاهَةَ فِي ذَلِكَ (وَأَمَّا) مَا رَوَاهُ الْبَيْهَقِيُّ عَنْ الْقَاسِمِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ (لَا يَقُولَنَّ أَحَدُكُمْ إنِّي صَرُورَةٌ فَإِنَّ الْمُسْلِمَ لَيْسَ بِصَرُورَةٍ وَلَا يَقُولَنَّ أَحَدُكُمْ إنِّي حَاجٌّ فَإِنَّ الْحَاجَّ هُوَ الْمُحْرِمُ) فَهُوَ مَوْقُوفٌ مُنْقَطِعٌ وَاَللَّهُ أَعْلَمُ

Maksudnya: “Dibenarkan untuk memanggil orang yang pernah menunaikan Haji dengan gelaran Haji meskipun selepas dia selesai melaksanakan tahallul, walaupun sudah setahun lama bahkan setelah kematiannya juga. Perkara tersebut tidak makruh. Adapun hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi daripada al-Qasim bin ‘Abd al-Rahman daripada Ibn Mas‘ud RA, katanya: ‘Janganlah salah seorang daripada kalian mengatakan aku ini Sarurah (صَرُورَةٌyang tidak melaksanakan Haji), kerana seorang Muslim itu bukanlah Sarurah. Dan janganlah kalian memanggil dengan gelaran Haji, kerana Haji itu adalah orang yang sedang berihram.’ Maka hadith ini adalah hadith mauquf (perkataan sahabat semata) dan munqati‘ (terputus sanadnya).” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/281)

Hukum Sebarang Tulisan Pada Kubur

Pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafi‘i adalah sepertimana yang Imam al-Nawawi fatwakan, bahawa menulis sebarang sesuatu pada mana-mana bahagian kubur termasuklah pada batu nisan adalah makruh. Imam Ibn Hajar al-Haitami mensyarahkannya seraya berkata: “(Dimakruhkan menulis pada kubur) kerana hadith sahih yang melarang tiga perkara (iaitu menyimen kubur, membina bangunan di atasnya dan menulis padanya) sama ada menulis nama si mati atau apa jua tulisan pada kepingan papan di samping bahagian kepalanya atau mana-mana bahagiannya.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/197)

Walau bagaimanapun, larangan makruh ini bersifat anjuran supaya meninggalkan perkara yang kurang sesuai sahaja (makruh tanzih). Ia bukan bersifat larangan yang mendekati haram dan dikecam tegas oleh syarak. Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata:

وَكَرَاهَةُ الْكِتَابَةِ وَمَا بَعْدَهَا لِلتَّنْزِيهِ لَا لِلتَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Kemakruhan perbuatan menulis pada kubur dan lain-lain perbuatan (yang beliau senaraikan sebelumnya) adalah makruh tanzih; bukan makruh tahrim.” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/17)

Dalam masa yang sama, Imam Ibn Hajar al-Haitami juga menukilkan fatwa Imam al-Azra‘i yang membenarkan penulisan nama si mati pada kubur. Imam Ibn Hajar menukilkan fatwa al-Azra‘i seperti berikut:

“Ya, al-Azra‘i membahas fatwa muktamad dengan beberapa perselisihan. Antaranya beliau nyatakan: Dianjurkan untuk menulis nama untuk tujuan supaya penziarah boleh mengenal pasti pemilik kubur ini pada jangka masa yang panjang. Khususnya kubur para Nabi dan orang-orang soleh, kerana ia merupakan cara pengenalpastian yang terbaik dan dianjurkan. Manakala, hadith berkenaan larangannya yang diriwayatkan oleh al-Hakim, adalah tidak diamalkan oleh para Imam umat Islam di Timur dan di Barat kerana di kuburan mereka, tetap ada tulisan-tulisan. Maka jelaslah bahawa perkara ini telah diwarisi turun-temurun dari Salaf kepada Khalaf.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/197)

Justeru, pendapat muktamad mazhab al-Syafi‘i adalah makruh menulis apa-apa tulisan pada kubur, namun ia makruh bersifat tanzih sahaja. Wujud juga pendapat Imam al-Azra‘i dalam kalangan al-Syafi‘iyyah yang membenarkan amalan menulis sesuatu pada kubur.

Kesimpulannya

Berdasarkan keterangan di atas, kami simpulkan bahawa dibolehkan untuk menulis gelaran Haji atau Hajah pada tulisan batu nisan di kubur untuk tujuan supaya pengunjung/penziarah dapat mengenal pasti siapakah pemilik kubur tersebut. Perkara yang merupakan amalan dan kebiasaan masyarakat kita ini dibenarkan oleh syarak berdasarkan fatwa-fatwa para Imam di dalam mazhab al-Syafi‘i di atas.

Kami juga menasihatkan agar menghindari sebarang pelampauan dan berlebihan dalam pengurusan kubur. Tujuan sebenar menziarahi kubur adalah untuk mengingati mati, bukan untuk berbangga dengan gelaran atau pangkat yang silam ketika kehidupan duniawi yang fana ini. Allah SWT berfirman:

أَلْهَىٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ ١ حَتَّىٰ زُرْتُمُ ٱلْمَقَابِرَ

Maksudnya: “Sifat berbangga-bangga telah melalaikan kalian [1] Bahkan sehingga kalian pergi (menziarahi) ke kubur! [2]”

(Surah al-Takathur: 1-2)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَلَكَ أَسْلَمْتُ، سَجَدَ وَجْهِيَ لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ، وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ، تَبَارَكَ اللهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Maksudnya: “Ya Allah! Kepada-Mu aku bersujud, kepada-Mu aku beriman, kepada-Mu aku berserah. Aku sujudkan wajahku ini kepada Tuhan yang menciptakannya dan membentuk rupanya, dan memberikannya pendengaran dan penglihatan. Maha Berkat Diri-Mu, sebaik-baik pencipta.”

 

Wallahu a‘lam.