#6765: Menggambarkan Keadaan-keadaan Kiamat dalam Bentuk Filem dari Sudut Perspektif Agama

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dibenarkan untuk menggambarkan ayat-ayat al-Quran mengenai keadaan-keadaan pada hari kiamat, titian sirat, syurga, neraka, dan sebagainya dalam bentuk filem yang memaparkan gambaran khayalan tentang peristiwa-peristiwa ini untuk tujuan pengajaran dan penginsafan, atau adakah itu dianggap sebagai bidaah dalam agama? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ ۚ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ ﴿١﴾ يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَىٰ وَمَا هُم بِسُكَارَىٰ وَلَـٰكِنَّ عَذَابَ اللَّـهِ شَدِيدٌ

Maksudnya: “Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.

Surah al-Hajj (1-2)

Ibn Kathir berkata: Ditiupkan dengan tiupan yang menakutkan sedangkan manusia berada di pasar-pasar mereka dengan kehidupan harian mereka, saling bertengkar dan bergaduh sepertimana adat mereka. Tiba-tiba Allah SWT memerintahkan Israfil untuk meniupkan sangkakala dengan panjangnya. Tidak ada yang kekal di atas muka bumi kecuali mendengar suara tempikan yang kuat sehingga kepala mereka terdongak ke atas langit. Kemudian semua manusia dipandu ke mahsyar dengan api yang mengelilingi mereka dari segenap penjuru. Firman Allah SWT:

فَلَا يَسْتَطِيعُونَ تَوْصِيَةً وَلَا إِلَىٰ أَهْلِهِمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya: “Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya) dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya.

Surah Yasin (50)

Kemudian ditiupkan sangkakala kedua yang mematikan semua yang hidup kecuali tinggallah Allah, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Kemudian, ditiup dengan tiupan kebangkitan setelah itu. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 3/165)

Al-Maraghi berkata: “Wahai sekalian manusia, takutlah kepada seksaan Allah SWT, taatlah dan janganlah kamu menderhakai-Nya, kerjakan segala kewajipan yang diperintahkan kepada kamu dan tinggalkan segala perkara haram yang dilarang melakukannya. Khitab ayat ini ditujukan kepada mukallaf yang ada pada ketika ia diturunkan, juga kepada generasi mukallaf yang akan lahir selepas mereka sehingga ke hari kiamat. Kemudian Allah SWT mengemukakan beberapa faktor mengapa mereka diperintah untuk takut kepada seksaan-Nya.

Akibat goncangan yang terjadi ketika berlakunya hari kiamat, sebelum manusia dibangkitkan dari kuburnya. Maka ia dianggap kejadian yang amat dahsyat dan bahaya yang begitu besar; tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah berlakunya kiamat, kecuali Tuhan yang mengadakannya. Jika goncangan itu tidak dapat ditanggung oleh manusia, lantas apa yang terjadi pada mereka saat itu, seperti manusia dihimpunkan pada hari pembalasan dan hari penghisaban untuk menghitung segala amalan oleh Allah Yang Maha Tahu segala isi bumi dan langit, walaupun sebesar zarah. Kemudian Allah menghuraikan beberapa pemandangan yang menakutkan pada hari itu.

Kemudian digambarkan pada hari kiamat itu tentang manusia yang berada dalam kegoncangan, kebingungan dan kelalaian yang telah mencapai ke puncaknya. Sehinggakan ibu yang sedang menyusukan anaknya lalai terhadap anak yang sedang disusunya, padahal anak itu merupakan sesuatu yang merupakan paling berharga kepadanya. Bayangkan bagaimana seorang ibu lalai terhadap anaknya?

Manakala setiap wanita yang hamil akan mengalami keguguran iaitu janin yang di dalam rahimnya gugur sebelum tibanya waktu bersalin kerana takut terhadap hari kiamat. Al-Hasan ada mengatakan bahawa wanita yang menyusukan anaknya leka hingga berhenti daripada menyusui anaknya, manakala wanita hamil pula telah gugur kandungannya sebelum tiba waktunya melahirkan.

Pada hari itu, kamu dapat melihat manusia seolah-olah mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk. Tetapi keadaan itu berlaku kerana azab yang amat dahsyat sehingga akan mereka menjadi tidak sedar dan tidak mampu membezakan di antara yang batil dengan yang benar. Kelalaian ibu yang sedang menyusui dan keguguran kandungan wanita yang sedang hamil boleh jadi dimaksudkan sebagai perumpamaan untuk menunjukkan dahsyatnya apa yang berlaku pada hari itu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4516-1518)

Sayyid Qutb berkata: Demikianlah dimulakan surah ini dengan ancaman dan penerangan secara umum yang membayangkan suasana dahsyat yang tidak dapat diungkapkan. Ia hanya mengatakan satu kejadian gempa dan kejadian gempa itu adalah suatu peristiwa yang amat besar tanpa memberi sesuatu penentuan dan sesuatu takrif.

Kemudian barulah dijelaskan dan ternyata bahawa kejadian itu lebih menakutkan dan mengerikan dari semata-mata ancaman. Ia menayangkan satu pemandangan yang melibatkan setiap ibu penyusu yang lupa anak susuannya. Dia melihat tetapi tidak Nampak dan dia bergerak tetapi tidak sedar, juga melibatkan setiap ibu hamil yang keguguran anak kandungannya kerana terlalu ngeri dan takut, dan seterusnya ia melibatkan seluruh manusia yang kelihatan dalam keadaan mabuk, tetapi mereka sebenarnya tidak mabuk. Keadaan mabuk mereka dapat dilihat dengan jelas pada pandangan-pandangan mata mereka yang terpinga-pinga dan pada langkah-langkah mereka yang terhuyung-hayang. Ia merupakan satu pandangan yang penuh sesak dengan perhimpunan manusia yang berasak-asak, yang hampir-hampir ternampak kepada pandangan mata di saat membaca ayat ini. Dan dapat dihayati sepenuhnya oleh daya khayal.

Kedahsyatan peristiwa itu menyebabkan seseorang itu menjadi lupa, kebingungan dan tidak sampai ke mana-mana. Ia merupakan satu peristiwa dahsyat yang tidak dapat diukur dengan saiz besarnya, tetapi dapat diukur dari kesan-kesannya yang dahsyat pada jiwa manusia iaitu pada hati ibu-ibu penyusu yang lupakan anak-anak susuan mereka, sedangkan seseorang ibu penyusu tidak lupakan anak susuannya yang sedang menyusu melainkan apabila dia berada dalam keadaan terlalu takut, yang menghapuskan segala saki-baki kesedarannya. Kesan-kesannya yang dahsyat itu juga dapat dilihat pada hati ibu-ibu hamil yang keguguran anak-anak kandung mereka dan pada hati manusia yang kelihatan mabuk, sedangkan mereka tidak mabuk. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 11/127-128)

Berkenaan persoalan di atas, kami mulakan jawapan kami dengan mengingatkan bahawa para ulama kontemporari berbeza pendapat dalam menentukan hukum lakonan jika ia bebas daripada perkara-perkara yang bertentangan dengan syariah. Ada yang membenarkannya dengan syarat-syarat tersebut, dan ada juga yang melarangnya sama sekali.

Al-‘Allamah Bakar bin Zaid ada memberikan pendapat beliau berkenaan hukum lakonan, di mana beliau berkata (secara ringkasnya): “Di sini, saya ingin mengingatkan sesiapa yang terlibat dalam perkara fatwa agar menyedari keadaan umatnya, memahami situasinya, dan apa yang dirancangkan terhadapnya, supaya berhati-hati ketika mengeluarkan fatwa agar tidak mengeluarkan fatwa yang menjadi tangga kepada matlamat yang hina itu. Saya tidak melihat fatwa yang membenarkannya dengan syarat-syaratnya, melainkan ia dikeluarkan oleh mereka yang — dengan segala hormat — tidak menyedari keadaan sebenar. Sekiranya lakonan dibenarkan dengan syarat-syaratnya, maka pada zaman ini wajib untuk difatwakan supaya ia dilarang dan diharamkan kerana apa yang dapat dilihat di negara-negara Islam dengan kemunculan lakonan yang begitu dahsyat. Dan tiada siapa yang akan membantah kenyataan ini kecuali orang yang jahil. (Lihat Hukm al-Tamthil, hlm. 59-60)

Sekalipun begitu, secara umumnya, kami berpendapat bahawa lakonan adalah dibolehkan dengan syarat ia bebas atau tidak mengandungi perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat. Ini adalah sebagaimana kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Sekalipun begitu, kami juga ingin tegaskan bahawa lakonan yang melibatkan babak-babak keadaan pada hari kiamat atau hal-hal yang seumpamanya yang digambarkan melalui ayat-ayat al-Quran adalah dilarang dan tidak dibenarkan kerana ia melibatkan perkara-perkara ghaib yang tidak diketahui hakikat sebenarnya melainkan hanya Allah SWT.

Perkara ini menjadi lebih serius dan membawa kesan yang lebih besar, kerana ia mungkin menyebabkan kurangnya rasa hormat terhadap al-Quran. Apatah lagi membawa al-Quran dalam konteks yang tidak serius boleh dianggap sebagai suatu penghinaan terhadapnya, sedangkan al-Quran diturunkan untuk diamalkan dan ditadabbur (difahami dan diteliti makna-maknanya). Justeru, mempersembahkan ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan peristiwa dahsyat Hari Kiamat dan pemandangan yang mengerikan dalam bentuk filem, ini mengandungi banyak bahaya dan lebih utama untuk dilarang.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin pernah ditanya tentang hukum melukis taman yang seolah-olah menggambarkan syurga, dan begitu juga api yang seolah-olah menggambarkan keadaan neraka? Beliau menjawab, perkara seperti ini adalah tidak dibenarkan kerana kita tidak mengetahui bagaimana hakikat keadaannya yang sebenar, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah ‘Azza wa Jalla:

 فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَّا أُخْفِيَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.”

(Surah al-Sajdah: 17)

Kita juga tidak mengetahui bagaimana bentuk hakikat sebenar api neraka. Neraka itu jauh lebih dahsyat daripada api di dunia dengan tambahan enam puluh sembilan kali ganda, termasuk api yang kuat seperti api gas dan yang lebih dahsyat lagi. Adakah sesiapa yang mampu untuk menggambarkan api neraka? Tidak ada yang mampu. Oleh itu, sampaikan kepada sesiapa yang melakukan perkara tersebut bahawa ini adalah haram. Malangnya, orang-orang kini telah mula menjadikan perkara akhirat seolah-olah ia adalah perkara-perkara fizikal (hissiyyah) yang dapat dilihat. (Lihat Liqa’ al-Bab al-Maftuh, 222/22).

Selain daripada itu, Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Barrak juga ada menyebutkan, hakikat-hakikat perkara ghaib dari masa lalu, masa kini, dan masa depan tidak dapat dibayangkan apatah lagi digambarkan! Antara perkara tersebut adalah keadaan di hari kiamat seperti kebangkitan, titian sirat, timbangan, dan apa yang terjadi sebelumnya seperti tiupan sangkakala, ketakutan, kebinasaan, perubahan pada alam atas dan alam bawah, serta segala peristiwa dahsyat yang mengiringinya.[1]

Jawapan yang sama juga disebutkan oleh Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid ketika beliau diajukan soalan yang hampir sama dengan soalan di atas, di mana beliau menyatakan, Alhamdulillah, adalah perkara yang telah disepakati bahawa niat yang baik tidak menghalalkan cara. Hakikat-hakikat ghaib dari masa lalu, masa kini, dan masa depan tidak dapat dibayangkan, apatah lagi digambarkan! Antaranya adalah keadaan-keadaan di hari kiamat; seperti kebangkitan, titian sirat, timbangan, serta apa yang berlaku sebelumnya seperti tiupan sangkakala, ketakutan, kebinasaan, perubahan pada alam atas dan alam bawah, serta segala peristiwa dahsyat yang menyertainya. (Lihat Mauqi‘ al-Islam Su’al wa al-Jawab, 4/322).

Tambahan lagi, Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Suhaim telah menyebut beberapa peringatan berkenaan akibat daripada mempersembahkan babak-babak hari kiamat dalam bentuk lakonan, antaranya:

Pertama: Menggambarkan perkara-perkara ghaib dalam bentuk yang boleh dilihat, sedangkan manusia tidak mempunyai pengalaman/pengetahuan langsung mengenainya. Jadi bagaimana seseorang boleh menggambarkannya atau membayangkannya?

Kedua: Mendorong golongan yang bodoh untuk melakonkan/menggambarkan syurga dan neraka, bahkan ada yang berani melakonkan Nabi Muhammad SAW dan malaikat Jibril A.S.

Ketiga: Ini boleh dianggap sebagai suatu penghinaan dan meremehkan betapa dahsyatnya hari kiamat atau perkara/urusan akhirat.

Keempat: Menghilangkan rasa hormat dan keagungan hari tersebut daripada jiwa manusia. Allah SWT telah menetapkan kehebatan hari tersebut untuk menundukkan jiwa manusia. Sesungguhnya Allah SWT berfirman selepas menyebut tentang riba:

وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.

(Surah al-Baqarah: 281)

Begitu juga dalam hadith, sering disebutkan dan diulang-ulang:

من كان يؤمن بالله واليوم الآخر…

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat…

Semua ini bertujuan agar kehebatan hari tersebut kekal dalam jiwa manusia, supaya mereka yang melampaui batas akan tunduk dan kembali bertaubat apabila mengetahui bahawa ada hari lain di mana balasan dan perhitungan akan dijalankan, dengan masa yang panjang dan keadaan yang dahsyat yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Para ulama, apabila berbicara tentang hadith-hadith ancaman, mereka menafsirkannya secara zahir kerana mereka percaya bahawa ini lebih berkesan dan lebih memberi kesan kepada jiwa.[2]

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang di atas, kami berpendapat dan tegaskan sekali lagi bahawa menggambarkan ayat-ayat al-Quran mengenai keadaan-keadaan pada hari kiamat, titian sirat, syurga, neraka, dan sebagainya dalam bentuk filem yang memaparkan gambaran khayalan tentang peristiwa-peristiwa ini adalah tidak dibenarkan dan haram melakukannya, meskipun untuk tujuan pengajaran dan penginsafan. Ini kerana semua hal itu termasuk dalam perkara ghaibiyyat yang tidak diketahui hakikat sebenar-benarnya melainkan hanya Allah SWT.

Apatah lagi, dibimbangi dengan menggambarkan semua keadaan itu (yang sudah pasti keadaannya tidak akan sama walau sedikitpun dengan keadaan sebenar kelak) akan mengurangkan rasa hormat, mengurangkan kehebatan dan betapa dahsyatnya hari tersebut serta tujuan asalnya bagi menundukkan jiwa manusia agar segera kembali bertaubat kepada Allah dan agama-Nya kerana di sana ada hari di mana balasan dan perhitungan akan dijalankan dan hal-hal seumpamanya yang terdiri daripada peristiwa dan urusan hari akhirat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.islamweb.net/ar/fatwa/140880/تمثيلمشاهدالقيامةرؤيةشرعية. Diakses pada 11 Ogos 2024.

[2]  Lihat https://www.islamweb.net/ar/fatwa/140880/تمثيلمشاهدالقيامةرؤيةشرعية. Diakses pada 11 Ogos 2024.