#6769:  Ibadah Korban Kanak-Kanak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apa hukum apabila saya melakukan korban untuk anak yg belum baliqh tapi dah buat aqiqah untuknya sebelum ni? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ibadah korban termasuk dalam syiar-syiar agama Allah yang sewajarnya dibesarkan dan diagungkan. Firman Allah SWT:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّـهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ  فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّۖ  كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Hajj: 36)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa mereka yang melakukan sembelihan korban dan memilih binatang besar lagi gemuk sudah pasti termasuk dalam golongan yang membesarkan syiar Allah SWT. Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata: “Ia sebagai tanda dan lambang kebesaran agama Allah dengan melaksanakan ibadat korban tersebut.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 17/296)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa isu ini merupakan isu yang diperselisihi di kalangan ulama. Namun pandangan dari mazhab syafi‘i menyatakan  melakukan ibadat korban bagi kanak-kanak adalah tidak digalakkan kerana kanak-kanak tidak lagi dikategorikan sebagai orang yang mukallaf.

Dalam isu ini Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, sesungguhnya ibadah korban bagi kanak-kanak dengan menggunakan harta walinya adalah digalakkan (sunat) di sisi ulama mazhab Hanafi dan Maliki. Manakala menurut ulama dalam kalangan Syafi’i dan Hanbali pula, ibadah korban tidak digalakkan (sunat) ke atas kanak-kanak. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/2711-2713).

Selain itu juga, al-Khatib Syarbini menyatakan: Ia merupakan kewajipan kifayah bagi kita jika mempunyai ramai ahli rumah. Jika salah seorang ahli rumah melakukannya, maka sudah memadai bagi semua. Jika tidak, ia menjadi sunat muakkad. Yang diwajibkan adalah seorang Muslim yang merdeka, baligh, berakal, dan mampu. (Lihat al-Iqna‘ fi Hil al-Faz Abi Syuja’, 2/588)

Justeru, berdasarkan pandangan mazhab Syafi’i yang disebutkan di atas ia menunjukkan bahawa kanak-kanak tidak dituntut dan digalakkan untuk melakukan ibadah korban. Namun sekiranya ia dilakukan oleh walinya, ia tetap sah dan tetap mendapat ganjaran pahala tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘lam