#6771: Kisah Infaq Telaga Rumah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, bagaimana kisah Saidina Uthman menginfaqkan telaga Rumah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki.”

Surah Saba’ (39)

Al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini berkata: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan wahai sekalian manusia pada jalan ketaatan kepada Allah, maka sesungguhnya Allah akan menggantikannya kepada kamu. (Lihat Jami’ al-Bayan, 20/413)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan, setiap apa yang diinfakkan sama ada nafkah wajib atau sunat, kepada saudara, jiran, orang miskin, anak yatim atau selainnya, maka Allah akan menggantikannya. Oleh itu, janganlah kamu menganggap bahawasanya infak itu akan mengurangkan rezeki. Bahkan sebaliknya Allah SWT berjanji untuk menggantikannya buat orang yang memberi infak. Dialah yang meluaskan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan juga mampu untuk menyempitkannya. Demikianlah juga Dia sebaik-baik Pemberi rezeki. Justeru, mintalah rezeki daripada-Nya dan berusahalah dengan melakukan sebab-sebab dan jalan-jalan yang diperintahkan-Nya kepadamu — bagi memperolehinya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 581)

Telaga yang dikenali sebagai Telaga Uthman ini asalnya dimiliki oleh seorang Yahudi yang menjual airnya kepada orang Muslim. Imam al-‘Aini menukilkan daripada al-Kalbi bahawa umat Islam ketika itu biasanya membeli air dari telaga tersebut dengan harga 1 dirham untuk 1 kantung air sebelum Saidina Uthman membeli dan mewakafkannya untuk kaum muslimin. (Lihat Umdah al-Qari, 21/141)

Sewaktu Rasulullah SAW sampai di Madinah, tidak ada air yang lazat untuk diminum kecuali dari telaga ini. Rasullulah SAW bersabda: “Sesiapa yang membeli telaga al-Rumah ini dan mewakafkan airnya kepada orang-orang Islam, dia akan diberikan pahala berdasarkan setiap timba air yang disedekahkan itu dan kelak dia akan meminum air di dalam syurga.”

Menurut riwayat Ibn Abd al-Bar dalam al-Isti’ab fi Ma’rifat al-Ashab (3/157), Saidina Uthman bin Affan telah menawarkan untuk membeli telaga itu. Tetapi sebaliknya Yahudi tersebut bersetuju untuk menjual separuh daripadanya sahaja dengan harga 12,000 dirham. Giliran untuk ambil air secara berselang hari juga turut dipersetujui.

Maka pada hari giliran Saidina Uthman bin Affan semua orang Islam datang mengambil air percuma itu untuk bekalan selama dua hari supaya mereka tidak perlu membeli air daripada Yahudi itu pada esoknya. Melihat keadaan ini Yahudi itu menyedari bahawa perniagaannya sudah mulai merosot lalu menawarkan untuk menjual kesemua telaga itu kepada Saidina Uthman dengan tambahan sebanyak 8,000 dirham lagi, menjadikannya bernilai 20,000 dirham keseluruhannya. (Lihat juga Tarikh Dimasyq, 39/20, Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 1/ 323)

Saya katakan, kebijaksanaan dalam perniagaan dan kelicikan jual beli yang dibuat oleh Saidina Uthman dengan tawaran kepada Yahudi jelas menunjukkan bahawa beliau seorang yang benar-benar mendalami sebarang bentuk strategi perniagaan dan interaksinya menatijahkan telaga Bi’ru Rumah menjadi miliknya yang akhirnya diwakafkan fi sabilillah. Dengan ini, selesailah kemelut yang dihadapi penduduk Islam Madinah dalam mendapatkan sumber air dengan bayaran yang membebankan kepada wakafan Saidina Uthman secara percuma.

Telaga ini masih wujud hingga ke hari ini. Telaga ini terletak kira-kira 1 km dari Masjid al-Qiblatain, iaitu di Jalan Abu Bakar al-Siddiq. Kini ia diletakkan di bawah jagaan Kementerian Air dan Pertanian Arab Saudi. (Lihat Buku Madinah Munawwarah: Kelebihan dan Sejarah oleh Dr. Abdul Basit Abdul Rahman, hlm. 108-111)

Dengan sebab itu, Saidina Uthman yang banyak bersedekah dan berinfaq ketika keperluan ummah telah diberi keistimewaan oleh Rasulullah SAW dengan jaminan syurga. Sila rujuk dalam buku kami Garis Masa Hayat al-Rasul SAW. Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَأَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian. Dan jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan.