#6774: Sifat Pemurahnya Abdullah bin al-Mubarak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan kepada kami, sifat pemurahnya Abdullah bin al-Mubarak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith: Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

 الجنَّةُ دارُ الأسخياءِ.

Maksudnya: “Syurga adalah kediaman orang-orang yang pemurah.”[1]

Riwayat al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq (597), Ibn Hibban dalam al-Thiqat (12136), Ibn ‘Adi dalam al-Kamil (1/307) dan al-Qadha’i dalam Musnad al-Syihab (117). Al-’Iraqi menyebut: “Daripada jalur yang lain, padanya Muhammad bin al-Walid dan beliau adalah dha’if jiddan.” (Lihat takhrij al-Ihya’, 3/303) Hadith ini dinilai sebagai dha’if dalam Dha’if al-Jami’ (2668) dan Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah (3477).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan, oleh kerana beliau telah mewarisi harta yang begitu banyak daripada orang tuanya, maka Abdullah Ibnu al-Mubarak telah mengembangkan harta tersebut dalam bidang perniagaan, sehinggakan beliau telah menjadi  seorang ahli korporat yang sangat hebat dan berjaya. Modal yang digunakan oleh Abdullah Ibnu  al-Mubarak untuk melibatkan diri dengan dunia perniagaan adalah sebanyak 400 ribu dirham.

Hasil daripada harta yang telah dikembangkannya itu, beliau telah membelanjakannya untuk membantu fakir-fakir miskin, menuntut ilmu dan menyantuni  para ulama selain daripada digunakan untuk berjihad ke jalan Allah. Beliau  berniaga bukanlah bertujuan untuk memperkayakan dirinya sendiri, tetapi adalah untuk menolong para ulama dalam mengembangkan agama Allah. Beliau pernah berkata kepada Fudhail bin ‘Iyadh, ‘Andaikata bukan kerana kamu dan teman-temanmu (yang bermaksud para ulama) nescaya aku tidak akan berniaga.’

Alangkah mulia dan tulusnya niat Abdullah Ibnu al-Mubarak ini untuk berniaga dan berdagang, demi mengangkat darjat para ulama, agar mereka tidak ditindas dan dipergunakan oleh pihak penguasa dan mereka yang berduit. Disebabkan hal inilah, maka berkata Abbas ad-Dauri, ‘Tidaklah aku melihat seorang yang mengajarkan hadis lillahi ta’ala kecuali 6 orang yang di antaranya adalah, Abdullah bin al-Mubarak.’

Menurut al-Imam al-Zahabi  yang menyatakan bahawa,  dalam setahun  Abdullah Ibnu al-Mubarak telah mengeluarkan sejumlah wang bernilai  100 ribu dirham, semata-mata untuk membantu golongan fakir miskin. Di samping itu, beliau juga turut membantu melunasi hutang-hutang yang telah ditanggung oleh seorang pemuda yang telah dipenjarakan akibat daripada bebanan hutang yang tidak mampu dibayar olehnya. Tanpa pengetahuan pemuda itu, Abdullah Ibnu al-Mubarak telah melangsaikan segala hutang-piutang beliau, sehingga akhirnya  pemuda itu telah dibebaskan dari penjara. Betapa mulianya hati seorang insan yang bernama Abdullah Ibnu al-Mubarak ini. Beliau sanggup menyembunyikan sedekahnya hinggakan tangan kirinya langsung tidak tahu apa yang telah disedekahkan oleh tangan kanannya.

Kisah Abdullah bin Mubarak dan Pergi ke Mekah Bersama Jemaah Haji

Dikatakan bahawa Abdullah Ibn al-Mubarak pernah diajak bersama rakan-rakannya dalam jumlah yang agak ramai untuk sama-sama pergi ke Mekah menunaikan ibadat haji dari tempatnya yang jauh. Abdullah ibn al-Mubarak menyanggupi dengan syarat beliau dilantik menjadi ketua dan menjaga harta mereka untuk perbelanjaan makan minum dan lain-lain lagi semasa perjalanan sehingga selesai ibadat haji dan sampai ke rumah masing-masing.

Mereka semua menyanggupinya. Lantas, selepas diperkirakan keseluruhan kos maka ditetapkan dengan satu jumlah yang amat munasabah untuk melaksanakan ibadat haji dengan selesa. Ini kerana, sikap dan sifat Abdullah ibn al-Mubarak yang pemurah lagi baik serta amanah yang tinggi.

Dalam perjalanan dan sehingga pulang, mereka dijamu dengan makanan yang cukup lazat dan mewah. Selesai urusan ibadat haji, mereka pun pulanglah ke rumah. Apabila mereka pulang, dan Abdullah ibn al-Mubarak memanggil mereka untuk memperhitungkan jumlah penggunaan wang semasa musafir terutamanya dalam makan minum dan pembelian, sebagai buah tangan kepada anak isteri dan keluarga masing-masing.

Apabila dihitung dan dibuktikan dengan catatan-catatan, jelas menunjukkan perbelanjaan yang telah dibelanjakan jauh lebih banyak daripada apa yang telah diberikan kepada Abdullah ibn al-Mubarak. Kemudian, Abdullah ibn al-Mubarak mengatakan segala perbelanjaan yang mereka guna itu adalah pemberian daripada Abdullah ibn al-Mubarak dan seterusnya Abdullah ibn al-Mubarak memulangkan semula duit yang telah dikumpulkan dari jemaah haji yang bersama-sama menunaikan haji dengannya. (Lihat Merekalah yang Paling Pemurah, hlm. 88-90)

Kami nukilkan di sini sejarah ringkas Abdullah Ibn al-Mubarak: Nama penuh beliau ialah Abu Abdul Rahman Abdullah bin al-Mubarak al-Hanzali al-Marwazi. Merupakan anak seorang pedagang yang berbangsa Turki manakala ibunya pula berketurunan Parsi. Imam Abdullah Ibn al-Mubarak telah dilahirkan pada tahun 118 Hijrah. Beliau banyak menulis tentang hadis-hadis nabi dan salah satu daripada karyanya yang masih lagi wujud  sehingga kini ialah bertemakan tentang “Zuhud.” Abdullah Ibnu al-Mubarak dikatakan meninggal dunia pada tahun 181 Hijrah, di sebuah Kota bernama Kota Hit yang terletak di tepi sungai Euphrate.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Nota Hujung:

[1] Hadith ini juga terdapat dalam al-Makarim (60) melalui sanad Jahdar, katanya Baqiyyah telah menceritakan kepada kami, katanya al-Awza’ei telah menceritakan kepada kami daripada al-Zuhri daripada ‘Urwah daripada ‘Aishah secara marfu’ hadith tersebut. Abu Ishaq Al-Huwaini berkata:  Jahdar, beliau adalah Ahmad bin ‘Abd al-Rahman al-Kufrutuni, beliau seorang yang dha’if lagi mendakwa mendengar hadith sedangkan tidak sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn ‘Adi. Ibn Hibban pula telah menyebutkan beliau dalam al-Thiqat, secara berkata: “Saya tidak melihat dalam hadithnya sesuatu tunggang terbalik yang berpunca daripada beliau, kecuali hadith yang Zaid bin ‘Abd al-‘Aziz ceritakan kepada kami…”. Lalu Ibn Hibban pun menyebutkan hadith ini, kemudian beliau berkata: “Ini adalah hadith munkar”.Al-Hafiz berkata dalam al-Lisan (1/211): “Sepertinya beliau tidak mengenali Jahdar, kerana beliau menyebutkan nama Jahdar sebagai Abd Allah bin al-Harith”. Al-Haythami dalam al-Majma’ (3/128) berkata: “Saya tidak menemui sesiapa pun yang menyebutkan biografi Jahdar bin Abd Allah”. Al-Haythami RH telah tersilap dalam menyebutkan nasab Jahdar. Oleh kerana itu beliau tidak menemuinya. Wallahua’lam. Al-Zahabi berkata dalam al-Mizan: “Beliau telah meriwayatkan hadith ini daripada Baqiyyah daripada Yusuf bin al-Safar daripada al-Awza’ei. Yusuf telah gugur (daripada sanad). Al-Babluti beliau seorang yang Wahin (Terlalu Dha’if) telah meriwayatkannya daripada al-Awza’i”.