#6779: Akad Pinjaman Barang dalam Islam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ada kawan saya beritahu, meminjamkan barang-barang kita kepada orang lain ini juga sebenarnya ada hukum-hakamnya dalam Islam. Adakah memang betul ada sandaran dalam Islam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Di dalam perbahasan fuqaha’ Islam, permasalahan ini berada di bawah topik al-‘Ariyah (العَارِيَةُ), iaitu suatu akad yang mengharuskan orang lain untuk mengambil manfaat daripada harta fizikal yang boleh diambil manfaat darinya, dengan mengekalkan keadaan fizikalnya agar dapat dipulangkan kembali kepada pemilik asal. (Lihat Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih, 10/356)

Dalam bahasa yang lebih mudah, ia merupakan satu akad yang membolehkan seseorang untuk meminjamkan barangnya yang mempunyai manfaat kepada orang lain, tanpa terjejas fizikal barang tersebut atau terkurang selepas digunakan. Kita akan memahami ciri-ciri barang yang boleh dipinjamkan ini dalam syarat-syarat yang ditetapkan nanti.

Allah SWT juga telah berfirman di dalam ayat yang lain:

فَوَيْلٌۭ لِّلْمُصَلِّينَ (٤) ٱلَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ (٥) ٱلَّذِينَ هُمْ يُرَآءُونَ (٦) وَيَمْنَعُونَ ٱلْمَاعُونَ (٧)

Maksudnya: “Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat. (4) Iaitu orang-orang yang lalai dalam menunaikan solat mereka. (5). Juga orang-orang yang menunjuk-nunjuk dalam amal mereka. (6) Serta enggan memberi bantuan [kepada orang yang memerlukan sedangkan dia mampu dan tidak pula memudaratkannya jika dia berbuat sedemikian]. (7)”

(Surah al-Ma‘un: 4-7)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (7/40) berkata, Allah SWT berfirman bahawa orang yang enggan memberi bantuan adalah salah satu sifat orang yang mendustakan Hari Pembalasan dan diancam dengan kecelakaan – iaitu azab dan kehancuran – pada Hari Kiamat. Ini menunjukkan bahawa memberi bantuan adalah perbuatan yang disyari‘atkan dan dituntut. Majoriti ahli tafsir berpendapat bahawa yang dimaksud dengan al-Ma‘un adalah benda-benda yang biasa dipinjam oleh jiran tetangga antara satu sama lain, seperti baldi, jarum, periuk, dan seumpamanya, serta semua yang termasuk dalam kategori tersebut.

Antara dalil lain pensyari‘atan akad ini adalah, hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ فَزَعٌ بِالْمَدِينَةِ، فَاسْتَعَارَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَسًا مِنْ أَبِي طَلْحَةَ يُقَالُ لَهُ المَنْدُوبُ، فَرَكِبَ، فَلَمَّا رَجَعَ قَالَ: مَا رَأَيْنَا مِنْ شَيْءٍ، وَإِنْ وَجَدْنَاهُ لَبَحْرًا

Maksudnya: “Berlaku suatu perkara yang menakutkan  di Madinah, lalu Nabi SAW meminjam seekor kuda daripada Abu Talhah yang diberi nama Mandub, lalu Baginda menunggangnya (untuk menguji kuda tersebut). Setelah Baginda kembali, Baginda bersabda: ‘Sungguh kami tidak melihat sesuatu pun (perkara menakutkan), dan kami mendapatinya kuda ini seumpama laut (sangat pantas lariannya dan selesa ditunggang)’.”

Riwayat al-Bukhari (2627) dan Muslim (2307)

Pada asalnya, hukum memberikan pinjaman barang ini adalah wajib semasa zaman awal keIslaman sebagaimana yang dinukilkan daripada Fakr al-Islam al-Qadhi Abu al-Mahasin ‘Abd al-Wahid bin Isma‘il al-Ruyani (m. 502H), dan kewajipan itu berdasarkan Surah al-Ma‘un. Kemudian hukum ini dimansukhkan menjadi hukum sunat berdasarkan persepakatan ulama‘. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 5/410; Nihayah al-Muhtaj, 5/118)

Kata Imam al-Mawardi di dalam al-Hawi al-Kabir (7/115), akad pinjaman ini merupakan akad bantuan yang datang bersama syari‘at Islam sebagai galakan kepada umat manusia, kerana pinjaman ini termasuk dalam amal kebajikan. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Inilah hikmah di sebalik akad ini, kerana ramai dari kalangan masyarakat yang mungkin tidak mampu untuk mendapatkan hajat keperluannya dari peralatan, pakaian, tempat tinggal atau hartanah. Perkara ini berlaku mungkin kerana kekurangan wang ringgit, ketiadaan barang tersebut di pasar, barang tersebut jarang dijumpai, atau kerana kesibukan yang membuat seseorang itu terlupa akan barang keperluan mereka. Kata fuqaha’, dalam keadaan seperti ini seseorang itu mungkin terdesak sama ada pada waktu siang atau malam sehingga perlu mengetuk pintu jirannya dan meminta pinjam beberapa barang. Terutama bagi para suri rumah tangga ketika dahulu, semasa suami mereka sibuk bekerja atau tidak ada di rumah, dan si isteri tersebut perlu menyediakan makanan atau mengurus anak-anak sehingga memerlukan banyak barang yang mereka tidak miliki. Ketika itu, dia harus meminjam peralatan dari jirannya atau mereka yang tinggal berdekatan dengannya; kerana Islam adalah agama yang memudahkan dan menggalakkan kerjasama.

Islam mempermudahkan urusan umatnya dan mensyari‘atkan mereka agar saling memanfaatkan barang milik satu sama lain, dengan izin dan kerelaan, agar dapat dikongsi manfaat, menghindari bahaya, menghilangkan kesulitan, serta memelihara seseorang itu dari beban yang berat, agar tercipta rasa kebersamaan dan kasih sayang. Sebagai imbal balas, Allah SWT akan membantu orang yang menghulurkan bantuan berupa pinjaman kepada individu lain. Diriwayat Abu hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Dan Allah akan membantu hamba-Nya selama mana dia membantu saudaranya.”

Riwayat Muslim (2699)

Rukun dan Syarat dalam Akad Pinjaman Barang (العَارِيَةُ)

Apabila membincangkan isu pinjaman ini, kita perlu melihat kepada beberapa rukun dan syaratnya terlebih dahulu agar tidak terlanjur melanggar sebarang ketetapan yang digariskan oleh syara‘. Antara rukun al-‘Ariyah adalah:

1) al-Mu‘ir (المُعِيرُ) atau pemberi pinjaman. Orang yang ingin meminjamkan barang kepada orang lain ini wajib memenuhi syarat berikut:

  1. Dia melakukan atas pilihan sendiri dan bukan paksaan.
  2. Dia seorang yang sah untuk melakukan akad tabarru‘ (sumbangan).

Hal ini kerana akad pinjaman ini sendiri bersifat sumbangan manfaat penggunaan kepada individu selain dari pemilik asal barang.

Orang tersebut mestilah bersifat rasyid (رَشِيدٌ) yakni pandai menguruskan hartanya. Maka, orang yang tidak diterima urusan muamalatnya seperti safih (kurang akal pertimbangannya), kanak-kanak, orang gila, hamba dan orang yang muflis.

  • Dia memiliki manfaat barang pinjaman tersebut.

Di sini fuqaha’ membezakan antara ibahah al-intifa‘ (إِبَاحَةُ الْانْتِفَاعِ) dan juga tamlik al-manfa‘ah (تَمْلِيكُ الْمَنْفَعَةِ). Imam Abu al-‘Abbas al-Qarafi menjelaskan, ibahah al-intifa‘ (إِبَاحَةُ الْانْتِفَاعِ) atau ‘keharusan mengambil manfaat’ ini apabila manfaat daripada suatu barang itu hanya boleh dinikmati oleh orang yang diizinkan untuk menggunakannya sahaja. Adapun tamlik al-manfa‘ah (تَمْلِيكُ الْمَنْفَعَةِ) atau ‘pemilikan manfaat’ ini pula apabila manfaat daripada suatu barang itu boleh dikongsikan kepada orang lain juga.

Dalam erti kata yang lebih mudah, kami bawakan satu contoh: “Ali menyewa sebuah buku daripada perpustakaan, dia meminjamkan buku tersebut kepada Ahmad.”

Pemilikan manfaat (تَمْلِيكُ الْمَنْفَعَةِ) di dalam contoh ini adalah Ali yang menyewa sebuah buku daripada perpustakaan. Maka dia mempunyai hak terhadap buku tersebut sebagaimana hak yang ada pada pemilik asal selama tempoh sewaan itu sah. Manakala keharusan mengambil manfaat (إِبَاحَةُ الْانْتِفَاعِ) dalam contoh ini ketika Ali meminjamkan buku tersebut kepada Ahmad agar dia dapat mengambil manfaat darinya, tetapi dia tidak boleh meminjamkannya kepada orang lain kerana dia tidak ada sebarang hak terhadapnya.

2) al-Musta‘ir (المُسْتَعِيرُ) atau peminjam.

Bagi peminjam, disyaratkan baginya beberapa perkara:

  1. Dia melakukan atas pilihan sendiri dan bukan paksaan.
  2. Dia seorang yang sah untuk menerima tabarru‘ (sumbangan).
  • Telah ditentukan siapakah peminjam itu.

Sekiranya orang yang memberikan pinjaman itu berkata kepada dua orang lelaki atau dia berkata kepada sekumpulan orang: “Aku pinjamkan buku ini kepada salah seorang dari kamu,” maka akad pinjaman itu tidak sah kerana peminjam itu tidak ditentukan.

Andai kata, seorang pemilik permaidani membentangkannya di hadapan orang dengan isyarat untuk meminjamkannya – sepertimana yang biasa kita lihat dilakukan di kedai-kedai permaidani ketika mereka membentangkannya untuk pembeli – tindakan tersebut masih tidak cukup untuk menentukan siapakah peminjam itu, bahkan dia ibarat membenarkan penggunaan permaidani miliknya itu secara umum. Sekiranya seseorang tiba-tiba menghantarkan kanak-kanak untuk meminjam permaidani tersebut, maka tidak sah akad pinjaman, dan kanak-kanak serta orang yang menghantarkannya itu tidak perlu mengganti semula sekiranya berlaku sebarang kerosakan pada permaidani tersebut.

3) al-Musta‘ar (المُسْتَعَارُ) atau barang yang dipinjam.

Rukun ini amat penting untuk difahami kerana sebahagian masyarakat menganggap segala perkara yang dimiliki itu boleh dimasukkan dalam akad pinjaman, walhal hanya perkara yang menepati syarat-syarat sahaja termasuk di bawah akad pinjaman barang ini. Antara syarat yang perlu diketahui adalah:

  1. Manfaat barang pinjaman mestilah dimiliki oleh pemberi pinjaman. Sebagaimana syarat pemberi pinjaman (al-mu‘ir) itu mesti memiliki manfaat barang pinjaman, maka sudah pasti syarat yang sama akan turut terpakai dalam rukun ini.
  2. Barang pinjaman ini mestilah dapat diambil manfaat darinya. Difahami di sini, tidak sah hukumnya meminjamkan apa-apa yang tidak dapat diambil manfaat darinya, contohnya seekor keldai yang sudah tidak berdaya.

Akan tetapi, sekiranya terdapat kemungkinan bahawa barang pinjaman itu akan dapat diambil manfaat darinya pada masa akan datang, seperti seekor anak keldai yang masih kecil, maka terdapat perbezaan pendapat di sisi fuqaha’ al-Syafi‘iyyah:

  • Imam Ibn Hajar al-Haitami mengatakan hukum akad itu tidak sah, kerana manfaat itu mesti boleh diambil semasa akad berlaku. Beliau berhujah dengan kaedah yang diletakkan oleh al-Qadhi Abu al-Mahasin al-Ruyani, katanya: “Semua perkara yang boleh disewakan, ia juga boleh dipinjamkan. Semua perkara yang tidak boleh disewakan, ia juga tidak boleh dipinjamkan.”
  • Imam al-Ramli pula berpendapat, yang paling tepat adalah akad ini sah, tanpa menafikan kaedah yang dinukilkan dari al-Qadhi al-Ruyani; kerana terdapat perbezaan yang perlu diteliti iaitu akad sewaan itu mempunyai imbal balas, manakala akad pinjaman ini tidak memerlukan kepada imbal balas. Al-Khatib al-Syirbini juga berpandangan bahawa hukum sah ini tidak bertembung dengan kaedah tersebut.
  • Barang yang dipinjam itu harus dimanfaatkan menurut syara‘. Maka apa-apa barangan yang haram di sisi syara‘ itu tidak boleh dijadikan sebagai pinjaman kerana ia akan membatalkan akad, seperti alat-alat hiburan yang melalaikan.

Begitu juga tidak harus untuk meminjamkan hamba sahaya perempuan untuk berkhidmat kepada lelaki ajnabi kerana dikhuatiri timbulnya fitnah. Akan tetapi, timbul perselisihan sekiranya hamba perempuan itu masih kecil yang tidak mungkin akan menaikkan syahwat, atau rupa parasnya tidak cantik sehingga pasti dia akan terselamat jika bersama lelaki ajnabi tersebut, maka ketika ini terdapat dua pendapat:

  • Sebahagian fuqaha’ membenarkannya.
  • Sebahagian lain melarang.

Sekiranya hamba tersebut mempunyai anak yang merdeka, maka makruh hukumnya menurut al-Syafi‘iyyah untuk meminjamkan hamba tersebut untuk berkhidmat kepada anak mereka. Hamba yang beragama Islam juga makruh untuk dipinjamkan kepada orang Kafir kerana padanya terdapat unsur penghinaan.

  1. Manfaat barang itu bersifat dominan, seperti baju sejuk yang memang dominan manfaatnya untuk menahan suhu yang rendah.

Berbeza pula duit yang dipinjamkan untuk tujuan berhias dengannya, kerana manfaat dominan bagi duit bukanlah sebagai perhiasan, sebaliknya ia digunakan dalam urusan jual beli. Tetapi, sekiranya dalam akad pinjaman itu memang disebutkan dengan jelas bahawa duit yang dipinjamkan ini tujuannya untuk berhias sahaja, hukumnya sah.

4) Sighah (الصِّيغَةُ) atau lafaz akad.

Menurut pandangan yang paling tepat, perlu disyaratkan dalam lafaz ini ucapan “pinjaman” secara jelas, seperti orang yang memberikan pinjaman itu berkata: “Aku pinjamkan engkau sekian.” Lafaz ini juga boleh datang dari pihak peminjam, seperti dia berkata: “Pinjamkan aku sekian.”

Imam al-Nawawi berpendapat, memadai lafaz pinjaman ini datang dari salah seorang pihak yang melakukan akad ini sahaja diikuti dengan tindakan dari pihak kedua. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 5/411-414; Nihayah al-Muhtaj, 5/118-121; Mughni al-Muhtaj, 3/314-316; Kanz al-Raghibin, 5/141; Bahr al-Mazhab fi Furu‘ al-Mazhab al-Syafi‘i, 6/397-398; Raudhah al-Talibin, 4/427; al-Fiqh al-Manhaji, 7/43-45; Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq, 1/187)

Bagaimana Barang Pinjaman Dimanfaatkan?

Perbahasan ini turut dibincangkan oleh fuqaha’ kerana terdapat kebarangkalian seorang peminjam itu menyangka bahawa barang pinjaman tersebut boleh dimanfaatkan sesuka hatinya. Hal ini akhirnya boleh membawa kepada perselisihan dan pergaduhan antara pemberi pinjaman dan juga peminjam. Tidakkah kita melihat bagaimana Rasulullah SAW sebutkan dalam hadith Jabir bin Abdullah R.A bahawa malaikat itu akan sentiasa berusaha untuk mewujudkan permusuhan dalam hati manusia:

إِنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ أَيِسَ أَنْ يَعْبُدَهُ الْمُصَلُّونَ فِي جَزِيرَةِ الْعَرَبِ وَلَكِنْ فِي التَّحْرِيشِ بَيْنَهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan mungkin akan berputus asa untuk menyesatkan seluruh umat Islam di tanah Arab dengan menyembahnya, tetapi syaitan tidak berputus asa dalam mencipta permusuhan di antara mereka.”

Riwayat Muslim (2812)

Permusuhan yang ditanam dalam diri bangsa manusia ini dengan pelbagai cara, seperti pergaduhan, dendam, peperangan, fitnah dan sebagainya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/156)

Oleh itu, ditetapkan bahawa barang pinjaman itu hanya boleh dimanfaatkan berdasarkan kepada keizinan dan keredhaan pemiliknya sahaja. Sekiranya dipinjamkan tanah hanya untuk berkebun, maka peminjam hanya boleh berkebun padanya tanpa melakukan perkara lain seperti membina bangunan dan sebagainya. Maka kita dapat lihat, redha ini menjadi nadi utama bagi setiap akad dalam Islam, dan ia menjadi simbolik persetujuan antara dua pihak dalam memberikan komitmen masing-masing.  (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/322)

Kos Menyelenggara Barang Pinjaman dan Memulangkannya

Sesetengah barang pinjaman itu memerlukan kos untuk menyelenggara atau peruntukan yang diperlukan untuk membiayainya. Sebagai contoh, kuda yang dipinjamkan perlu untuk diberi makan, begitu juga  rumah yang dipinjamkan mungkin perlu untuk dibaik pulih. Menurut pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (7/48), kos-kos ini perlu ditanggung oleh orang yang meminjamkan barang tersebut; kerana kos selenggara itu tanggungjawab pemilik, manakala pemberian pinjaman itu pula adalah sumbangan faedah daripada pemilik barang supaya peminjam dapat memanfaatkannya, maka peminjam tidak perlu menanggung apa-apa dari kos ini.

Adapun semasa memulangkan barang yang dipinjam, kos untuk memulangkan barang tersebut perlu ditanggung oleh peminjam sendiri, seperti orang yang meminjam kuda itu perlu menyewa lori untuk memulangkan semula kuda tersebut. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

‏ عَلَى الْيَدِ مَا أَخَذَتْ حَتَّى تُؤَدِّيَ

Maksudnya: “Kewajiban terletak di atas tangan terhadap apa-apa yang diambilnya, sehinggalah dia memulangkannya.”

Riwayat Ibn Majah (2400), Abu Daud (3561), al-Tirmizi (1266) dan al-Hakim (2337)

Akad al-‘Ariyah (العَارِيَةُ) atau pinjaman barang ini juga akan berakhir apabila pemiliknya meminta untuk dipulangkan semula barang pinjaman, begitu juga sekiranya peminjam sendiri yang memulangkannya kepada pemilik asal; kerana akad ini adalah suatu kebajikan daripada pihak yang meminjamkan dan suatu manfaat bagi pihak yang meminjam, maka tidak sesuai untuk ia menjadi akad yang lazim.[1] (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 5/425)

Kesimpulan

Melihat kepada perincian di atas, kami katakan bahawa memang benar akad pinjaman barang ini mempunyai sandaran menurut syara‘. Beginilah serba sedikit yang dapat kami kongsikan kepada saudara berkenaan akad ini, manakala perincian lebih lanjut boleh saudara peroleh melalui kelas-kelas pengajian yang lebih tertutup buat para penuntut ilmu dalam bidang muamalat bersama mana-mana asatizah yang berkeahlian.

Pinjaman ini merupakan amal ibadah yang amat baik bagi sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk membantu mereka yang memerlukan. Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ

Maksudnya: “Barang siapa yang mengusahakan keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya.”

Riwayat al-Bukhari (2442) dan Muslim (2580)

Semoga kita juga dapat menghulurkan bantuan kepada saudara sesama Islam kita dalam memudahkan urusan kehidupan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Akan Lazim bermakna salah satu pihak tidak berhak untuk membatalkan akad tersebut, bahkan wajib memenuhi setiap janji dalam akad.