#6780: Pujian Imam al-Syafi’i kepada Hammad

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, kenapa Imam al-Syafi’i memuji Hammad yang juga guru kepada Imam Abi Hanifah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki.”

Surah Saba’ (39)

Al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini berkata: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan wahai sekalian manusia pada jalan ketaatan kepada Allah, maka sesungguhnya Allah akan menggantikannya kepada kamu. (Lihat Jami’ al-Bayan, 20/413)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan, setiap apa yang diinfakkan sama ada nafkah wajib atau sunat, kepada saudara, jiran, orang miskin, anak yatim atau selainnya, maka Allah akan menggantikannya. Oleh itu, janganlah kamu menganggap bahawasanya infak itu akan mengurangkan rezeki. Bahkan sebaliknya Allah SWT berjanji untuk menggantikannya buat orang yang memberi infak. Dialah yang meluaskan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan juga mampu untuk menyempitkannya. Demikianlah juga Dia sebaik-baik Pemberi rezeki. Justeru, mintalah rezeki daripada-Nya dan berusahalah dengan melakukan sebab-sebab dan jalan-jalan yang diperintahkan-Nya kepadamu — bagi memperolehinya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 581)

Kami mulakan terlebih dahulu dengan biodata ringkas Hammad. Beliau ialah Hammad bin Abi Sulaiman al-Kufi. Imam al-Zahabi berkata: “Beliau ialah al-’Allamah al-Imam, Faqih (pakar fiqh di Iraq), Hammad Abu Ismail bin Muslim al-Kufi Maula al-Asy’ariyyin. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 5/231) Berkenaan tarikh kelahirannya, tidak disebut dalam mana-mana sumber tentang tarikh yang tepat berkenaan kelahiran beliau. Tetapi, disebut bahawa beliau termasuk dari kalangan Sighar Tabi’in (iaitu tabi’in peringkat rendah) kerana hanya sempat bertemu seorang sahabat sahaja, iaitu Anas bin Malik R.A.

Beliau berasal dari keturunan Asbihan (iaitu sebuah bandar di Khurasa). Bapa beliau adalah wala’ (di bawah penguasaan) al-Asy’ariyyin (iaitu dinisbatkan kepada kerabat Abu Musa al-Asy’ari). Hal ini kerana bapanaya masuk Islam di tangan Abu Musa al-Asy’ari. Oleh itu, bapa beliau juga digelar ‘Maula al-Asy’ariyyin’ seperti yang disebut oleh al-Zahabi, yang bermaksud bertuankan al-Asy’ariyyin. Khalifah Mu’awiyah telah menghantar Abu Musa al-Asy’ari ke kawasan penempatan bapanya untuk menyampaikan Islam, lalu akhirnya bapanya ikut memeluk Islam. Oleh kerana bapanya di bawah pengawasan seorang sahabat yang mulia, Abu Musa al-Asy’ari, maka Imam Hammad telah dibesarkan dalam suasana keilmuan, mencintai ilmu dan ghairah dalam menuntut ilmu.

Antara guru beliau juga ialah Ibrahim al-Nakha’i, Sa’id bin Musayyib, Amir al-Sya’bi dan ramai lagi. Imam Hammad adalah orang yang paling pakar dalam ilmu fiqh dalam kalangan murid-murid Ibrahim al-Nakha’i sehingga Imam al-Zahabi menyebut: “Orang yang paling faqih di Kufah adalah Saidina Ali dan Ibn Mas’ud, dan murid kedua-dua mereka yang paling faqih ialah ‘Alqamah, dan murid ‘Alqamah yang paling faqih adalah Ibrahim al-Nakha’i, dan murid Ibrahim yang paling faqih ialah Hammad ibn Abi Sulaiman, dan murid Hammad yang paling faqih ialah Abu Hanifah, dan murid Abu Hanifah yang paling faqih ialah Abu Yusuf, dan muridnya yang paling faqih ialah Muhammad bin Hasan al-Syaibani, dan murid Muhammad yang paling faqih ialah Muhammad bin Idris al-Syafi’i rahimahumullahu ta’ala.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 5/236) Hammad meninggal dunia pada tahun 119 H. Pendapat lain menyebut, pada 120 H.

Adapun pemurahnya  Hammad bin Abi Sulaiman, di mana dicatatkan bahawa beliau menjamu setiap malam kepada orang ramai pada bulan puasa seramai 500 orang. (Lihat buku Ramadhan al-Mubarak, hlm. 62)

Imam al-Zahabi menyebut: Hammad adalah mempunyai kekayaan yang banyak. Justeru, dia dapat memberi makan orang berbuka puasa Ramadhan 500 orang setiap hari. Dan beliau memberi kepada orang-orang miskin selepas hari Raya dengan setiap orang memperolehi 100 dirham.  (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 5/234)

Antara kisah lain yang menunjukkan sifat pemurah beliau, adalah sepertimana yang disebut oleh al-Salt bin Bistam al-Taimi, daripada bapanya Bistam, katanya:  “Suatu hari, Hammad ibn Abi Sulaiman menziarahiku. Beliau menetap di rumahku sepanjang hari. Apabila beliau ingin berangkat pulang, beliau berkata, “Lihatlah apa yang ada di bawah bantalmu. Ambillah dan manfaatkannya.” Apabila dilihat, aku dapati ada banyak wang dirham di situ.” (Lihat Tarikh Asbihan oleh Abu Nu’aim al-Asbihani, 1/242; Makarim al-Akhlaq oleh Ibn Abi al-Dunya, hlm. 96; Siyar A’lam al-Nubala’, 5/533)

Al-Salt bin Bistam turut menyebut: “Adalah Hammad memberi makanan berbuka puasa kepada 50 orang pada setiap hari di bulan Ramadhan. Dan apabila datangnya malam hari Raya, beliau memberikan setiap seorang daripada mereka sepasang baju.” (Lihat Tarikh Asbihan oleh Abu Nu’aim al-Asbihani, 1/243)

Menjawab persoalan di atas, al-Syafi’i berkata: Aku sentiasa mencintai Hammad bin Abi Sulaiman, kerana sesuatu yang sampai kepadaku daripadanya. Iaitu bahawa pada suatu hari, dia menaiki keldainya. Lalu keldai itu bergerak-gerak sehingga terputuslah kancing bajunya. Lalu dia melalui tempat seorang penjahit. Dia bermaksud ingin turun ke tempat penjahit itu untuk membetulkan kancing bajunya. Namun penjahit itu segera berkata, “Demi Allah! Tidak usahlah engkau turun!”

Penjahit tadi lalu bangun berdiri, menemui Hammad bin Abi Sulaiman. Lalu dia membetulkan kancing bajunya. Maka Hammad mengeluarkan seuncang wang, yang berisi sepuluh dinar. Lalu diserahkannya kepada penjahit tersebut. Dan dia meminta maaf dari sedikitnya. Al-Imam al-Syafi’i bermadah bagi dirinya:

يَا لَهْفَ قَلْبِي عَلَى مَالٍ أَجُودُ بِهِ                               عَلَى الْمُقِلِّينَ مِنْ أَهْلِ الْمُرُوءَاتِ

إِنَّ اعْتِذَارِي إِلَى مَنْ جَاءَ يَسْأَلُنِي                  مَا لَيْسَ عِنْدِي مِنْ إِحْدَى الْمُصِيبَاتِ

Wahai nasib diriku atas harta yang aku dermakan

Kepada orang-orang yang berkeperibadian

Bahawa permintaan maafku kepada orang yang datang meminta padaku

Tidaklah itu padaku termasuk salah satu malapetaka

(Lihat al-Mustajad, hlm. 51; Ihya’ ‘Ulum al-Din, 4/459; Nadhratu al-Na’im, 2/396)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ كُلِّ خَيْرٍ أَحَاطَ بِهِ عِلْمُكَ، فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ كُلِّ شَرٍّ أَحَاطَ بِهِ عِلْمُكَ، فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami mohon daripada-Mu dari setiap kebaikan yang menguasai ilmu-Mu di dunia dan akhirat, dan kami minta berlindung dengan-Mu dari setiap kejahatan yang menguasai dengannya ilmu-Mu di dunia dan akhirat.”