#6783: Pemurahnya Abdullah bin ‘Amir R.A

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan kepada kami, betapa pemurahnya Abdullah bin ‘Amir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

(Surah Ali Imran: 92)

Kalimah (الْبِرَّ) ini mempunyai beberapa tafsiran, antaranya:

  • Ia merujuk kepada Syurga: Ini pandangan Ibn ‘Abbas R.A, Ibn Mas‘ud R.A dan Mujahid.
  • al-Birr bermaksud ketaqwaan: seperti yang disebutkan oleh Muqatil bin Hayyan.
  • Dikatakan, ia bermaksud ketaatan.
  • Dikatakan juga, ia adalah kebaikan.
  • al-Hasan menafsirkannya: menjadi dari kalangan orang-orang yang patuh dan taat. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 2/66)

Kami mulakan terlebih dahulu, Biografi ringkas Abdullah bin ‘Amir ini. Beliau dilahirkan pada tahun 4 H dan meninggal dunia pada tahun 58 H. Beliau ialah Abu ‘Abd al-Rahman Abdullah bin ‘Amir bin Kuraiz. Merupakan seorang sahabat Nabi SAW yang terlibat dalam penaklukan seluruh wilayah Khurasan dan menjadi gabenor di sana sepanjang pemerintahan Khalifah Uthman sehinggalah pada zaman Mu’awiyah. Beliau dihormati oleh rakyatnya kerana peribadinya yang soleh dan beliau termasuk antara orang yang pemurah dan dari kalangan orang yang terbaik Quraisy dan Arab. Beliau terkenal sebagai pemimpin yang berani, melindungi rakyat dan banyak melakukan pembangunan. Beliau pernah membeli beberapa bangunan di Basrah, lalu meruntuhkannya dan menjadikannya sebagai jalan umum dan ruang terbuka untuk masyarakat awam. Beliau juga adalah orang yang pertama yang membina kawasan air dan memberi minum orang yang sedang wukuf.  ‘Ali bin Abi Talib pernah memujinya dengan menyebut, “Ibn ‘Amir adalah pemimpin pemuda kaum Quraisy.”

Antara kisah pemurahnya Abdullah bin ‘Amir ialah:

  • Harta dan Rumah Untukmu

Mustafa Syeikh Ibrahim Haqqi menyebut dalam bukunya: Abdullah bin ‘Amir telah membeli rumah Khalid bin ‘Uqbah bin Abi Mu’ith yang berhampiran dengan pasar, dengan harga sembilan puluh ribu dirham. Ketika malam tiba, ‘Abdullah bin ‘Amir terdengar suara tangisan keluarga Khalid. Kemudian, beliau bertanya “Kenapa mereka menangis?” Dijawab, “Mereka menangis kerana dirham.”

Kemudian, Abdullah bin ‘Amir berkata, “Beritahu kepada mereka bahawa rumah dan wang dirham untuk mereka.”

Yakni dikembalikan rumahnya dan diberi wangnya sekali. (Lihat Radd al-Bala’ bi al-Sadaqah oleh Mustafa Syeikh Ibrahim Haqqi, hlm. 35)

Saya katakan sikap yang ditunjukkan oleh sahabat Nabi SAW ini amat luar biasa. Ia adalah nadir pada zaman ini yang mempunyai sifat pemurah yang melampau. Inilah dia mereka yang telah diasuh dan ditarbiyah oleh Rasulullah SAW. Kita boleh menggambarkan betapa gembiranya keluarga yang menjual rumah kepada Abdullah bin ‘Amir R.A yang akhirnya memiliki 90,000 dirham di samping rumahnya dikembalikan semula. Semoga kita dapat mengikut jejak langkah Abdullah bin ‘Amir R.A walaupun sejuzuk yang kecil daripada sifat pemurahnya itu.

  • Memberi Seribu Dinar kepada Anak Kecil

Suatu ketika, Abdullah bin ‘Amir keluar dari masjid dan bermaksud untuk pulang ke rumahnya. Dia berjalan sendirian ketika itu. Maka berdirilah seorang anak lelaki dari Bani Thaqif menuju ke arahnya. Anak itu berjalan di samping Abdullah bin ‘Amir. Lalu Abdullah bin ‘Amir bertanya kepada anak itu, “Apakah engkau ada keperluan, hai anak?”

Anak itu menjawab, “Kebaikan engkau dan kemenangan engkau. Aku melihat engkau berjalan sendirian. Lalu aku berkata kepada diriku, ‘Akan aku jaga engkau dengan diriku. Dan aku berlindung dengan Allah, jika (ada sesuatu yang) terbang, yang tidak disukai di samping engkau.”

Lalu Abdullah memegang tangan anak itu dan berjalan bersamanya ke rumahnya. Kemudian, dipanggilnya pembantunya untuk mengambil wang sebanyak seribu dinar. Lalu dia menyerahkan wang tersebut kepada anak itu sambil berkata, “Belanjakanlah dengan wang ini. Alangkah baiknya apa yang dididik engkau oleh keluarga engkau.” (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 4/455; Lubab al-Adab, 1/127)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ كُلِّ خَيْرٍ أَحَاطَ بِهِ عِلْمُكَ، فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ كُلِّ شَرٍّ أَحَاطَ بِهِ عِلْمُكَ، فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami mohon daripada-Mu dari setiap kebaikan yang menguasai ilmu-Mu di dunia dan akhirat, dan kami minta berlindung dengan-Mu dari setiap kejahatan yang menguasai dengannya ilmu-Mu di dunia dan akhirat.”