#6788: Bersumpah Menceraikan Isteri jika Melakukan Sesuatu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bersumpah jika saya membuat sesuatu maka jatuh talak 1 kepada isteri saya. Bagaimana saya ingin membatalkannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Taʻliq  ialah  suami menggantungkan talaq kepada isterinya dengan sifat atau syarat  yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain atau berlaku pada masa  hadapan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/128)

Fuqaha  empat mazhab  sependapat sabit talaq dengan lafaz ta’liq. Hal ini kerana fuqaha berhujah  berdasarkan dalil  pensyariatan talaq secara mutlak merupakan hak suami sebagaimana firman Allah SWT:

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ

Maksudnya : “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Ayat ini  bersifat umum tanpa membezakan talak secara langsung   (التنجيز)  mahupun  tidak langsung tergantung (التعليق). Oleh itu, suami berhak menjatuhkan talak ke atas isterinya sebagaimana yang dikehendaki sama ada segera atau disandarkan pada masa akan datang (ta’liq) sama ada bentuk sumpah dan sebagainya (Lihat al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu, 7/447)

Perkataan yang digunakan bagi pensyaratan ta’liq  ialah  jika, apabila, kalau dan seumpamanya.  Sebagai contoh “Kamu tercerai sekiranya keluar daripada rumah ini”. (Lihat al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu, 7/444)

Rasulullah SAW bersabda :

الْمُسْلِمُونَ عند شُرُوطِهِمْ

Maksudnya:  “Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan.”

   Riwayat al-Hakim (1352)

Implikasi talaq  ta’liq:

  • Tidak jatuh talaq selagi sesuatu yang disyaratkan belum berlaku.
  • Mereka kekal sebagai suami isteri selagi syarat yang dikaitkan dengan ta’liq tidak berlaku walaupun ia pasti berlaku “Apabila tiba bulan ramadhan engkau tercerai”
  • Jatuh talaq apabila syarat yang berkaitan itu berlaku (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/128)

Dalam bab “Syarat Dalam Talak” al-Syirazi menyatakan : Jika perceraian dikaitkan dengan syarat yang bukanlah suatu hal yang mustahil seperti masuk ke rumah atau datangnya bulan, maka ia tergantung pada menepati syarat tersebut. Jika syarat tersebut dipenuhi maka,berlakulah perceraian, dan jika syarat tersebut tidak terpenuhi,maka tidak berlakulah perceraian.(Lihat al-Muhazzab Fi Fiqh al-Imam al-Syafie, 3/21)

Tarik Semula Lafaz Ta’liq

Fuqaha berselisih pendapat terhadap isu tarik semula lafaz ta’liq kepada beberapa pandangan berikut :

Majoriti fuqaha mazhab berpendapat bahawa lafaz ta’liq tidak boleh dibatalkan apabila telah diucapkan, Hal ini kerana  lafaz cerai bersyarat  seolah  suami telah melaksanakan lafaz talaq.

Mazhab Hanbali berpendapat harus membatalkan atau menarik semula lafaz ta’liq. Hal tersebut berdasarkan qiyas (menyamakan) seseorang yang menyatakan kepada hambanya “ Apabila datang awal bulan, maka kamu dibebaskan” Maka, tuan mempunyai hak untuk menarik kembali pembebasan hambanya.(Lihat al-Furu,5/103 )

Syeikh Ibn Taymiyyah berpendapat harus menarik semula lafaz ta’liq sekiranya akad itu adalah akad mua’wadhah (tukar ganti). Sebagai contoh lafaz seorag suami “Sekiranya kamu berikan aku seribu, maka kamu akan tertalaq”. Maka, suami berhak merujuk semula  (tarik semula) selagi  isteri tidak memberikannya seribu. (Lihat: al-Syarh al-Mumti’, 13/ 127- 129)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan lafaz tersebut disebut sebagai talak ta’liq yakni mengaitkan sesuatu untuk menjatuhkan talak kepada isteri. Oleh itu, dalam isu anda, sekiranya anda telah melafazkan lafaz ta’liq itu, maka apabila terjadi perkara yang disebutkn itu, maka jatuh talak satu dan tidak boleh untuk Tarik semula.

Namun, sekiranya ia hanya lintasan hati dan tidak dilafazkan, maka tidak berlaku lafaz ta’liq di situ kerana talak ini akan jatuh sekiranya dilafazkan meskipun secara bersendirian tanpa ada saksi yang mendengarnya. Oleh kerana itu, perkara cerai ini tidak boleh sesekali, kita berbuat main dengannya.

Berkenaan Tarik balas lafaz ta’liq, kami menyatakan bahawa sabit talaq dengan lafaz ta’liq apabila berlaku perkara yang disyaratkan  dan tidak boleh ditarik balik  berdasarkan pandangan majoriti fuqaha.Walaubagimanapun,kami berpandangan untuk merujuk kepada Mahkamah Syariah dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak. Ini adalah  satu usaha untuk membuktikan adakah si suami berniat untuk mentalakkan atau tidak.

Akhir kalam, semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

Kami menutup dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah: 201)