#6793: Menentang Pihak Sekolah untuk Memelihara Janggut

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah seorang pelajar sekolah boleh menentang peraturan sekolah yang tidak membenarkan pelajar untuk menyimpan janggut walaupun sedikit?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Janggut

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, janggut ditakrifkan sebagai bulu yang tumbuh di bahagian dagu.

Dalam bahasa Arab, janggut disebut sebagai al-Lihyah (اللِّحْيَة). Syeikh Ibn Sidah dalam Lisan al-Arab menyatakan: “Lihyah merupakan suatu nama yang merangkumi jenis bulu yang tumbuh atas kedua-dua pipi dan dagu.” (Lihat Lisan al-‘Arab, 15/241)

Anjuran Memelihara Janggut

Imam al-Tirmizi dalam Syamail Muhammadiyyah ada menyebutkan mengenai sifat janggut Rasulullah iaitu tebal dan lebat. Malah menurut sebuah hadis, diriwayatkan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- …كَثِيرَ شَعْرِ اللِّحْيَةِ

Maksudnya: “Adalah janggut Rasulullah SAW sangat lebat.”

Riwayat Muslim (6230)

Justeru, berdasarkan hadis tersebut, kita dapat fahami berkenaan saranan dan galakan untuk memelihara dan menjaga janggut termasuk jambang.

Jumhur fuqaha’ daripada mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan satu pandangan daripada ulama Syafie mengharamkan memotong janggut. Ini kerana bertentangan dengan suruhan hadis Nabi SAW supaya memelihara janggut. (Lihat Al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah al-Fiqhiyyah, 35/226)

Daripada Abdullah Ibn Umar R.anhuma bahawa Nabi S.A.W bersabda:

‏ أَحْفُوا الشَّوَارِبَ وَأَعْفُوا اللِّحَى

Maksudnya: “Cukurlah misai-misai, dan biarkanlah jangut-janggut.”

Riwayat Muslim (259)

Kata Imam Ibn Hajar Al-Asqalani Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini: Perintah Nabi berkaitan janggut bererti, kekalkanlah ia iaitu biarkanlah ia dalam keadaan yang banyak. (Lihat Fath al-Bari, 10/350).

Kami bawakan juga di sini daripada kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuhu:

“Adapun memelihara dan membiarkan janggut, iaitu membiarkannya serta tidak melakukan perubahan, maka ulama Malikiah dan Hanabilah menghukumkan cukur sebagai haram dan tidak menghukumkan sebagai makruh memotong jika lebih dari satu genggaman dan juga tidak menghukumkan sebagai makruh memotong bahagian yang dibawah halqum seseorang, ini kerana mengikuti perbuatan Ibn Umar. Manakalah ulama Hanafiah menghukumkan sebagai makruh tahrim jika mencukur janggut. Adapun ulama Syafieyyah menghukumkan sebagai makruh tanzih. Al-Nawawi dalam Syarh Muslim telah menyebut tentang sepuluh perkara yang makruh pada janggut, antaranya ialah mencukurnya kecuali sekiranya janggut itu tumbuh pada seseorang perempuan, maka disunatkan mencukurnya.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/462)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami lebih cenderung dengan pandangan yang paling asah (sahih) dalam mazhab Syafie yang menyatakan bahawa hukum mencukur janggut adalah makruh tanzih. Ini kerana menyimpan janggut secara terurus adalah merupakan sunnah Nabi kita yang mulia.

Berkenaan menentang pihak sekolah, kami berpandangan sekiranya ini merupakan arahan dan keputusan yang tetap dari pihak sekolah, maka sewajarnya ke atas mana-mana pelajar untuk menghormatinya dan mengikuti segala peraturan sekolah, selagi mana tidak bertentangan dengan syarak. Ini bertujuan untuk menjaga kekemasan dan penampilan sebagai seorang pelajar.

Atas iktibar kaedah akhaf al-dararain (أَخَفُّ الضَّرَرَين), iaitu dengan memilih yang lebih ringan mudarat.

Dan juga kaedah:

إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا

Maksudnya: “Apabila bertembungnya dua mafsadah, hendaklah diraikan yang terlebih besar mudharat dengan melakukan yang paling ringan antara kedua-duanya.” (Lihat al-Ashbah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 87; al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 89; Syarh al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah oleh al-Zarqa’, hlm. 147(

Syeikh Mustafa Al-Zarqa berkata: “[Yang dimaksudkan dengan] meraikan yang paling berat dari keduanya adalah dengan cara meninggalkannya. Ini kerana, mafsadah-mafsadah diraikan dengan dinafikan seperti mana maslahah-maslahah diraikan dengan melakukannya.” (Lihat Syarh al-Qawa’id a-Fiqhiyyah, hlm. 201)

Sultan al-Ulama’ Izzuddin bin Abdul Salam menyebut: “Apabila berlaku pertembungan di antara mafsadah hendaklah ditolak mafsadah tersebut keseluruhannya. Sekiranya tidak dapat ditolak keseluruhannya, hendaklah ditolak perkara yang lebih besar mafsadahnya. Sekiranya kedua-dua mafsadah tersebut berada pada kedudukan yang seimbang, hendaklah ditangguhkan pengambilan kedua-duanya. Sekiranya tidak dapat, maka hendaklah memilih salah satu daripadanya dan menolak yang lain.” (Lihat Qawaid Al-Ahkam, 1/93)

Insya Allah, jika niat anda baik, semasa anda berada di universiti, bolehlah anda simpan janggut kerana ketika itu peraturannya sudah berubah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

(Surah al-Baqarah: 201)