#6797: Kebanggaan Allah SWT Terhadap Pemuda-Pemudi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah Allah SWT amat kagum kepada para pemuda pemudi yang memanfaatkan masa mudanya untuk mentaati Allah dan tidak melakukan maksiat serta perkara-perkara yang lalai? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى (13) وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَٰهًا ۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا (14)

Maksudnya: Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

(Surah al-Kahfi: 13-14)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

اغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ: شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ، وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ، وَغِنَاءَكَ قَبْلَ فَقْرِكَ، وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ، وَحَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ

Maksudnya : ”Gunakanlah dengan baik lima perkara sebelum datang lima (yang lain): Masa mudamu sebelum datang masa tuamu, sihatmu sebelum datang sakitmu, kayamu sebelum datang fakirmu, waktu lapangmu sebelum datang waktu sibukmu dan hidupmu sebelum datang matimu.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (7/3319) al-Hakim dalam al-Mustadrak, 4/306 (7846). Ibn al-Athir dalam kitabnya Jami’ al-Ushul fi Ahadith al-Rasul (1/392) mengatakan: “Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Hakim dan ia menilainya sebagai Hadith Sahih sesuai dengan syarat Imam Bukhari dan Muslim. Imam al-Zahabi juga menilainya sama dengan Imam Hakim. Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari mengatakan: “Sanad hadith ini hasan”. Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibnal-Mubarak dalam kitabnya, al-Zuhd.

Imam al-Munawi dalam kitabnya, Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir (2/16) berkata: Maksud hadith ini ialah: Berbuatlah lima perkara sebelum datang lima perkara lainnya, iaitu:

  • “Waktu hidupmu sebelum tiba waktu matimu.” – Iaitu perbanyakkanlah melakukan perbuatan yang manfaatnya akan dirasakan setelah mati nanti, kerana jika kematian itu tiba, terputuslah seluruh amal perbuatan, hilanglah seluruh harapan,dan yang tinggal hanyalah sebenar benar penyesalan.
  • “Waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit.” – Iaitu perbanyakkanlah beramal soleh ketika sihat, kerana kadang-kadang datang keadaan yang menghalanginya, seperti sakit. Lalu setelah itu datang kematian, sehingga yang terjadi kita menghadap Allah tanpa bekal yang memadai.
  • “Waktu lapangmu sebelum tiba waktu sibuk.” – Iaitu gunakanlah waktu lapangmu di dunia ini, sebelum tiba waktu sibukmu dengan seluruh keluh-kesah kelak pada hari Kiamat, di mana tempat pertamanya adalah alam kubur. Gunakanlah kesempatan emas ini sebaik mungkin agar anda selamat dari seksa dan keluh-kesah kelak.
  • “Waktu mudamu sebelum tiba waktu tua.” – Iaitu gunakanlah masa kuatmu untuk beribadah sebelum datang masa lemah, lalu kamu akan menyesal atas apa yang kamu telah sia-siakan pada masa kuatmu itu.
  • “Waktu kayamu sebelum datang waktu miskin.” – Iaitu gunakanlah dengan jalan berzakat, bersedekah, berwakaf dan juga berinfaq daripada hartamu sebelum tiba banyaknya halangan dan gangguan yang akan menjadikan kamu fakir, lalu kamu menjadi orang yang fakir di dunia dan juga fakir di akhirat.

Rasulullah SAW menyeru kepada kita agar memanfaatkan masa muda dengan sebaik-baiknya kerana pada masa inilah tenaga seseorang sedang melimpah ruah dan berada pada tahap kemuncaknya. Potensi mereka ketika ini sangat besar. Bahkan petikan daripada kata-kata Presiden Indonesia Pertama, Ir. Soekarno bahawa: “Berikan aku sepuluh orang pemuda nescaya akan ku goncangkan dunia.” (Lihat Peranan Pemuda dalam Pendidikan Sosial Kemasyarakatan, 3/2)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa benar, Allah SWT amat bangga terhadap pemuda pemudi yang memanfaatkan usia mudanya dalam perkara-perkara yang bermanfaat dan tidak cenderung melakukan perbuatan maksiat. Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan  daripada Uqbah bin  ‘Amir bahawa Rasulullah SAW:

إنَّ اللهَ عزَّ وجلَّ ليعجَبُ من الشّابِّ ليسَتْ له صبوةٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla sangat kagum terhadap seorang pemuda yang tidak memiliki kecenderungan untuk bermaksiat”

Riwayat Ahmad (17371)

Al-Munawi ketika mensyarahkan hadith menyatakan bahawa: Pemuda yang tidak mempunyai kecenderungan kepada hawa nafsu kerana dia telah terbiasa dengan kebaikan dan mempunyai keazaman yang kuat untuk menjauhi kejahatan pada usia muda, yang mana pada usia tersebut biasanya seseorang cenderung kepada perkara yang bertentangan (dengan kebaikan). (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/262)

Bahkan para pemuda yang dijanjikan mendapat  naungan  Allah SWT pada hari kiamat kelak adalah mereka yang menyibukkan diri ketaatan kepada Allah SWT. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW:

 سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ يَوْمَ القِيَامَةِ فِي ظِلِّهِ، يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: إِمَامٌ عَادِلٌ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ اللَّهِ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ فِي خَلاَءٍ فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي المَسْجِدِ، وَرَجُلاَنِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ إِلَى نَفْسِهَا، قَالَ: إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا صَنَعَتْ يَمِينُهُ

Maksudnya: “Ada tujuh golongan manusia yang Allah menaungi mereka pada Hari Kiamat dengan naungan-Nya; pemimpin yang adil, seorang pemuda yang membesar dalam beribadah kepada Allah, seorang lelaki yang berzikir kepada Allah di kala sendirian sehingga mengalir air matanya, seorang lelaki yang hatinya selalu terikat kepada masjid, dua orang lelaki yang saling mengasihi kerana Allah, seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan kecantikan, (namun dia menolaknya) dan berkata: Sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan seorang lelaki yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui perkara yang dilakukan (diinfaqkan) oleh tangan kanannya.” 

Riwayat al-Bukhari (6806) dan Muslim (1031)

Al-Qadhi  ‘Iyyadh menyatakan bahawa: “Seorang pemuda yang dibesarkan dalam ibadah kepada Allah” maksudnya, dia membesar dan dewasa dengan beribadah kepada-Nya, serta tidak memiliki kecenderungan kepada perkara yang melalaikan. Dikatakan, ‘نشأ’ bermaksud sesuatu yang dimulakan. (Ikmal al-Mua ‘llim bi Fawaid Muslim, 3/563)

Begitu juga disebutkan dalam Syarh Muharrar fi al-Hadith (56/8) bahawa: Ini bermakna dia tidak memiliki kecenderungan kepada perkara yang melalaikan sejak dia dibesarkan, dia sudah berada dalam ibadah kepada Allah, tidak dikenali dengan tindakan melulu semasa mudanya, tidak dikenali dengan melakukan perkara yang bertentangan, tidak dikenali dengan jenayah atau kemungkaran, sebaliknya dari masa dia diberi tanggungjawab atau sejak dia dibesarkan, dia sudah taat kepada Allah SWT.

Justeru, ini menunjukkan betapa tingginya martabat seorang pemuda yang mampu menahan dirinya daripada melakukan perbuatan maksiat dan menjaga dirinya dalam kebaikan. Pemuda biasanya lebih mudah terpengaruh dengan godaan duniawi, oleh itu, apabila seorang pemuda mampu menjauhi perkara-perkara yang dilarang, ia merupakan satu kebanggaan di sisi Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam