#6798: Baby Bump di Perut Wanita Mengandung

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Alhamdulillah saya sekarang sedang mengandungkan anak pertama. Soalannya, apabila sedang mengandung saya mengalami kesukaran untuk  menutup bahagian perut saya yang semakin membesar (baby bump), di mana walaupun pakai pakaian yang sedikit besar daripada saiz yang biasanya dipakai, masih lagi menampakkan baby bump tersebut. Adakah ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Maksudnya:Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

(Surah al-A‘raf: 26)

Dalam ayat di atas, Allah SWT menegaskan bahawa Dia telah menurunkan pakaian untuk menutupi aurat dan pakaian untuk berhias, dan dua jenis pakaian ini baik untuk digunakan. Akan tetapi pakaian maknawi bagi hati adalah lebih utama dan lebih tinggi darjatnya iaitu ketaqwaan yang dapat memperbaiki hati dengan menjalankan ketaatan kepada Allah. Ia adalah pakaian terbaik bagi seorang Mukmin, kerana ia akan memperbaiki dan melindungi seluruh tubuh. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 487).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sebagaimana yang diketahui “baby bump” adalah merujuk kepada perut wanita hamil yang membesar.[1] Maka, timbul kesukaran dalam kalangan wanita mengandung bagi menutup kawasan perut yang semakin membesar dan memboyot kerana pakaian yang dipakai akan melekap pada perut, sekali gus menjadikan perut yang membulat kelihatan. Sedangkan menutup aurat adalah wajib.

Perkataan aurat ialah merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki ataupun perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai apa-apa yang wajib ditutupi dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/185).

Manakala menurut pengarang kitab Kifayah al-Akhyar, aurat menurut syarak ialah batas minima dari bahagian tubuh yang wajib ditutup kerana perintah Allah SWT. (Lihat Kifayah al-Akhyar, 1/52).

Oleh itu, wajib kepada semua wanita termasuklah wanita mengandung untuk menutup aurat mereka dengan apa-apa pakaian asalkan ia memenuhi prinsip-prinsip yang digariskan oleh syarak. Ini kerana pemakaian suatu pakaian berkait rapat dengan sesuatu adat dan budaya masyarakat setempat, serta Islam tidak ada menetapkan sebarang pakaian khusus bagi seseorang Muslimah. Justeru, hukumnya adalah diharuskan selagi mana ia selari dengan kehendak agama dan tidak melanggar batasan syarak. Hal ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Seperti yang kami sudah katakan, di antara prinsip dalam pakaian yang telah digariskan adalah menutup aurat. Dalam mazhab al-Syafi‘i, penutupan aurat itu adalah dengan menghalang atau tidak menampakkan warna kulitnya daripada dilihat, bukannya menghilangkan bentuk badannya. Ini jelas sebagaimana dinyatakan oleh al-Hafiz al-Murtadha al-Zabidi dalam kitabnya, Ithaf Sadah al-Muttaqin (3/134) bahawa aurat seorang wanita merdeka adalah seluruh badan melainkan wajah dan dua pergelangan tangan iaitu bermula daripada kepala jari jemari sampai ke pergelangan tangan. Beliau menyebutkan lagi, syarat menutup aurat adalah memakai sesuatu yang menghalang daripada dapat dilihat warna kulit bukan daripada yang menghilangkan bentuk badannya (kerana sebahagaian manusia khususnya yang gemuk sukar untuk tidak menampakkan sedikitpun daripada bentuk badannya). Maka tidak memadai pakaian nipis dan koyak kerana ia tidak menghalang untuk dilihat warna kulit melalui celah-celahannya. Begitu juga tidak memadai seseorang memakai kaca yang menampakkan warna kulit kerana tujuan menutup aurat tidak akan berlaku dengannya. Adapun jika menampakkan bentuk tubuh sahaja maka ia tidak memudaratkan tetapi bagi wanita hukumnya makruh memakai pakaian tersebut, manakala bagi lelaki hukumnya adalah khilaf al-aula. Pendapat ini juga adalah pendapat al-Mawardi dan ulama selainnya.

Begitu juga Syaikh al-Islam Zakariyya al-Ansari turut menyebutkan, tidak memadai bagi menutup aurat pakaian yang menampakkan warna kulit iaitu orang yang dapat melihat warna disebalik pakaian tersebut seperti pakaian koyak yang tidak menghalang daripada dilihat warna kulit kerana tujuan sebenar menutup aurat tidak akan berlaku tanpa menutup perkara tersebut. Tidak memudaratkan (tidak mengapa) setelah pakaian tersebut menutup warna kulit jika menampakkan bentuk badan sekalipun tetapi hukumnya adalah makruh bagi wanita dan khilaf al-aula bagi lelaki. Perkara ini disebut oleh Imam al-Mawardi dan ulama selainnya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/176).

Bahkan Ibn Hajar al-Haitami juga ada menyatakan, syarat menutup aurat ketika di dalam solat mahupun di luar solat, baik berupa pakaian ataupun bukan, mestilah meliputi seluruh anggota tubuh yang hendak ditutupi serta menutupi warnanya. Dalam erti kata lain, menutup aurat cukup atau memadai dengan sesuatu yang mencegah terlihatnya warna kulit, meskipun menampakkan lekuk/bentuk tubuh, seperti seluar yang ketat. Akan tetapi jika seluar ketat, maka makruh dipakai oleh perempuan, dan menyalahi perbuatan yang lebih utama (khilaf al-aula) jika dipakai oleh lelaki. (Lihat al-Minhaj al-Qawim, hlm. 115).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa tetapi makruh hukumnya bagi wanita mengandung yang bonjolan perut (baby bump) mereka masih kelihatan meskipun sudah ditutup. Namun, jika tidak menjadi kesukaran buat mereka, hendaklah mereka usaha untuk menutupinya dengan pakaian yang longgar, itulah yang sebaik-baiknya. Lebih-lebih lagi, para wanita mestilah menjaga aurat mereka dengan mengenakan pakaian yang bersesuaian iaitu labuh dan longgar supaya tidak menampakkan bentuk tubuh.

Pada masa yang sama, kami juga mengambil kesempatan di sini mengingatkan bahawa menayangkan gambar perut membesar dan memboyot (baby bump) di media sosial adalah tidak selari dengan etika ajaran Islam, di samping langsung tidak mencerminkan akhlak dan peribadi seorang wanita Muslimah itu sendiri. Apatah lagi dikhuatiri tindakan tersebut mengundang kepada fitnah dan mendedahkan diri kepada tohmahan. Kaedah ada menyebutkan:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”

Begitu juga Umar R.A pernah berkata:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya:Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz).[2]

Hal ini kerana sebagai seorang Muslim dan Muslimah, kita turut diperintahkan untuk menjauhi segala perkara yang boleh mendatangkan tohmahan, persepsi negatif dan fitnah, sama ada kepada diri kita sendiri sebagai seorang individu Muslim dan Muslimah atau kepada agama Islam yang kita anuti sehingga memberi persepsi buruk dan menjatuhkan atau merendahkan martabatnya. Maka, sebelum melakukan sesuatu atau apa-apa perkara fikirkan terlebih dahulu kesannya buat diri, keluarga dan agama.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.merriam-webster.com/dictionary/baby%20bump. Diakses pada 13 Ogos 2024.

[2] Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudhu‘ah oleh Mulla Ali al-Qari, hlm. 80.