#6799: Anak Perempuan Menyambung Pelajaran ke Luar Negara

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum anak perempuan sambung belajar ke luar negara?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.”

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ibn Mas’ud RA menyebut bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/299)

Definisi Mahram

Dari sudut bahasa mahram membawa makna larangan. Ibn Manzur dalam kitabnya menyebut bahawa mahram itu adalah individu-individu yang tidak boleh dinikahi. (Lihat Lisan al-Arab, 12/119). Inilah maksud mahram yang dikemukakan oleh para fuqaha.

Dari sudut istilah para fuqaha’, mahram bermaksud: “Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang.” (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114)

Hukum asal bagi seorang wanita bermusafir tanpa mahram adalah tidak dibolehkan berdasarkan kepada beberapa hadith yang sahih. Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A. Beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا تُسَافِرُ الْمَرْأَةُ إِلاَّ مَعَ ذِي مَحْرَمٍ

Maksudnya: “Seorang wanita tidak boleh bermusafir tanpa ada mahram.”

Riwayat al-Bukhari (1729) dan Muslim (2391)

Pendapat yang masyhur dalam kalangan mazhab Syafi’i adalah mensyaratkan adanya suami, mahram atau wanita-wanita yang terpercaya untuk menemaninya. Antara alasan tidak membenarkan wanita untuk bermusafir tanpa mahram adalah untuk menjaga keselamatan, memelihara kehormatan serta menjauhkan para wanita daripada fitnah sekiranya tiada mahram yang menemaninya. Namun jika perjalanan tersebut aman dan selamat, maka sebahagian para ulama membenarkannya. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith tersebut (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/500)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan pada asalnya, jumhur ulama tidak membenarkan untuk perempuan musafir tanpa mahram kecuali adanya teman dari rombongan pelajar perempuan bersama. Begitu juga, perlu untuk menjaga batas syarak seperti ikhtilat dan seumpamanya. Dalam pada itu, perlu dipastikan perjalanan terjamin aman, maka boleh untuk musafir tanpa mahram. Justeru, dibolehkan untuk perempuan menyambung pelajaran di luar negara dengan syarat menjaga batasan syarak dan pergi dalam kumpulan pelajar perempuan.

Kami katakan, sesungguhnya perempuan juga adalah saudara utama bagi lelaki sebagaimana yang hadith daripada Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ

Maksudnya:Sesungguhnya wanita itu adalah saudara kandung bagi lelaki”.

Riwayat Abu Dawud (204)

Peranan wanita juga tidak kurang penting daripada lelaki termasuklah dalam membangunkan negara serta menyampaikan dakwah. Kerana itu, kesedaran ibu bapa, banyak yang menghantar anak-anak mereka ke luar negara termasuklah di Timur Tengah dan di negara-negara Arab semata-mata memperolehi ilmu yang akhirnya dapat menyumbang kepada khalayak masyarakat serta menyampaikan risalah dakwah. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: “Oeh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Surah al-Taubah (122)

Ibn al-Arabi berkata: Makna umum ayat ini, yakni kepada hak sesiapa yang datang selepas wafat Nabi SAW, ialah bahawa bukan umat islam perlu keluar berjihad kesemuanya tetapi hendaklah sebahagian mereka bertafaqquh (mendalami ilmu) dalam agama. Kemudian mereka pulang kepada kaumnya untuk ajar mereka. Justeru menuntut ilmu diasingkan daripada jihad fi sabilillah sedangkan jihad merupakan jalan kemuncak islam itu sendiri. (Lihat Ahkam al-Quran, 2/601)

Kami jua akhiri dengan memanjatkan doa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.