#6800: Pembahagian ‘Ubudiyyah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, boleh terangkan kepada kami tentang pembahagian  ‘Ubudiyyah?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku.”

(Surah al-Zariyat: 56)

Imam al-Qurtubi menyatakan, ayat ini menyuruh manusia dan jin untuk mentauhidkan Allah SWT sebagai Tuhan Yang Esa. Beliau menukilkan kata-kata Ali R.A, Allah SWT tidak menciptakan manusia dan jin kecuali untuk menyuruh mereka (manusia dan jin) beribadah.  (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 17/55)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti menyebutkan, ibadah ini bermaksud mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mentaati syari‘at dan apa yang diperintahkan, dan menjauhi apa yang dilarang dengan penuh patuh, rendah diri serta kecintaan. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah pula mengatakan, ibadah  itu adalah kata nama yang meliputi segala apa yang disukai dan diredhai Allah, dari sudut perkataan dan perbuatan, sama ada secara zahir atau batin. (Lihat Ma‘arij al-Su‘ud, hlm. 41; al-‘Ubudiyyah, hlm. 31)

Dalam menjawab persoalan di atas kami katakan bahawa para ulama membahagikan  ‘Ubudiyyah kepada dua bahagian iaitu ‘ubudiyyah umum’ dan ‘ubudiyyah khusus’. Kami perincikan sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami, (1/460)  sepertimana berikut:

Pertama: ‘Ubudiyyah ‘Umum

Ia adalah perhambaan seluruh penghuni langit dan bumi, baik yang beriman mahupun yang kafir, yang baik mahupun yang jahat. Ini adalah perhambaan kepada yang bersifat dominasi dan kekuasaan yang tidak boleh dielakkan oleh sesiapa pun. Allah SWT berfirman:

إِن كُلُّ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ إِلَّآ ءَاتِى ٱلرَّحْمَـٰنِ عَبْدًۭا ٩٣ لَّقَدْ أَحْصَىٰهُمْ وَعَدَّهُمْ عَدًّۭا ٩٤ وَكُلُّهُمْ ءَاتِيهِ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ فَرْدًا

Maksudnya: “Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba. (93) Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu. (94) Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.”

(Surah Maryam:93-95)

Al-Wahidi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Sesungguhnya setiap orang yang berada di langit dan bumi tidak ada yang terkecuali melainkan dia akan datang kepada Allah SWT pada hari kiamat dalam keadaan mengakui dirinya sebagai hamba-Nya. (Lihat al-Wajiz, hlm.690)

Kedua: ‘Ubudiyyah Khusus

Ia adalah ibadah dalam bentuk ketaatan, kecintaan, dan mengikuti perintah.  Ia khusus untuk orang-orang yang beriman. Allah SWT berfirman:

وَٱلَّذِينَ ٱجْتَنَبُوا۟ ٱلطَّـٰغُوتَ أَن يَعْبُدُوهَا وَأَنَابُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ لَهُمُ ٱلْبُشْرَىٰ ۚ فَبَشِّرْ عِبَادِ ١٧ ٱلَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ ٱلْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُۥٓ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ هَدَىٰهُمُ ٱللَّهُ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمْ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang mengembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu – Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.”

(Surah al-Zumar:17-18)

Syeikh Abu Bakar al-Jazairi menyatakan bahawa: Allah memerintahkan Rasul-Nya untuk memberi berita gembira kepada sekelompok hamba-Nya yang telah dijanjikan kepada mereka seperti yang diberikan kepada mereka yang menjauhi taghut dan menyembah Allah serta bertaubat kepada-Nya. Mereka adalah orang-orang yang mendengar kata-kata dari pendengarnya dan mengikuti yang terbaik dari apa yang mereka dengar, serta meninggalkan yang buruk dan baik secara bersamaan. Mereka ini memiliki cita-cita yang tinggi dan jiwa yang mendambakan kebaikan dan kesempurnaan, serta kemuliaan. Oleh itu, mereka layak menerima berita gembira melalui lisan Rasulullah ﷺ dan pujian yang baik dari Tuhan semesta alam. (Lihat Aisar al-Tafasir, 4/476-477)

Sebagai kesimpulan, ubudiyyah umum merujuk kepada perhambaan semua makhluk kepada kekuasaan Allah SWT, tanpa mengira sama ada mereka beriman atau tidak. Sebaliknya, ubudiyyah khusus merujuk kepada perhambaan yang dilakukan atas dasar ketaatan kepada Allah SWT dan ia dikhususkan kepada orang-orang yang beriman.

Sebagai seorang hamba, marilah sama-sama kita memahami dan melaksanakan seruan yang kita iqrarkan di hadapan Tuhan dalam solat kita khususnya, apabila membaca surah al-Fatihah, antaranya:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Maksudnya: “Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”

(Surah al-Fatihah: 5)

Ketika menafsirkan firman Allah SWT di atas, Syeikh Muhammad al-Tahir bin ‘Asyur menyatakan, ibadah itu di sisi syara‘ lebih khusus. Ia didefinisikan sebagai amal perbuatan yang diredhai oleh Allah dengan penuh kerendahan diri, ketaatan dan menjauhi larangan. Ia juga difahami sebagai perbuatan mukallaf yang bercanggah dengan hawa nafsunya demi membesarkan Allah SWT. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 1/180)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan-lah hatiku di atas agama-Mu.”

Wallahu ‘Alam