#6801: Content Video yang Memalukan Orang Lain

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah boleh membuat content video yang mengaibkan dan mempermalukan orang lain dengan cara prank dan seumpamanya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa membuat content video yang mengaibkan, mempermalukan orang lain atau mengandungi unsur penghinaan dan yang seumpamanya sama ada melalui prank dan sebagainya adalah tidak dibolehkan dan haram melakukannya. Ini kerana maruah dan kehormatan orang Islam terpelihara dan dijamin dalam Islam. Kita tidak boleh memperendahkan dan membuat jenaka tentang orang lain, sama ada berkaitan dengan penampilan fizikal, tingkah laku, gambar, maruah dan sebagainya.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.

(Surah al-Hujurat: 11)

Menurut Jamaluddin al-Qasimi, Sukhriyyah (السخرية) bermaksud, merendah-rendahkan dan menghina serta menunjukkan kekurangan dan kelemahan, dengan cara yang membuatkan orang ketawa. Ia boleh dilakukan dengan meniru perbuatan dan ucapan, dan boleh juga melalui isyarat dan gerak tubuh. Jika dilakukan di hadapan orang yang diejek, ia tidak disebut sebagai mengumpat, namun mengandungi makna mengumpat (ghibah).

Tambahan lagi, Jamaluddin al-Qasimi juga ada menjelaskan bahawa sesungguhnya yang diharamkan adalah memperkecilkan seseorang yang menyebabkan orang yang diperolok-olokkan itu merasa sakit hati, kerana ia mengandungi unsur penghinaan dan memandang remeh. Hal ini berlaku apabila seseorang ketawa pada percakapannya apabila dia tersasul dan kata-katanya tidak teratur, atau pada perbuatannya apabila ia kacau-bilau, seperti ketawa pada hafalannya, pada perbuatannya, atau pada rupa dan penampilannya (kejadiannya), jika dia pendek atau mempunyai kekurangan, atau cacat. Maka, ketawa pada semua itu termasuk dalam ejekan yang dilarang.

Begitu juga al-Qasimi turut menjelaskan, adapun seseorang yang menjadikan dirinya bahan ejekan, dan mungkin merasa gembira apabila diejek, maka ejekan terhadapnya dianggap sebagai sebahagian daripada gurauan. Sebahagian daripada gurauan ini ada yang dicela dan ada yang dipuji. (Lihat Mahasin al-Ta’wil, 8/531)

Tambahan lagi, content dalam bentuk yang memalukan dan mengaibkan orang lain juga tidak mencerminkan akhlak orang Islam, bahkan merendahkan kemuliaan manusia yang telah ditinggikan oleh Allah SWT. Ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

  وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan keturunan Adam dan Kami mengangkut mereka dengan pelbagai jenis kenderaan di darat juga di laut. Dan Kami kurniakan kepada mereka rezeki yang baik serta Kami berikan mereka dengan kelebihan yang istimewa melebihi kebanyakan makhluk lain yang telah Kami ciptakan.

 (Surah al-Isra’: 70)

Al-Sabuni menjelaskan bahawa Allah SWT telah memuliakan keturunan bani Adam daripada seluruh makhluk-Nya dengan kurniaan akal, ilmu pengetahuan dan pertuturan serta disediakan dengan memberi segala kemudahan yang ada dalam penciptaan alam semula jadi. Allah SWT juga mempermudahkan mereka dengan kenderaan darat dan laut serta menganugerahkan dengan kelazatan makanan dan minuman. Malah Allah SWT telah meninggikan mereka berbanding seluruh makhluk-makhluk lain seperti jin, binatang-binatang dan sebagainya. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/170.)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada soalan di atas, kami berpendapat dan tegaskan sekali lagi bahawa content yang berbentuk mengaibkan, mempermalukan orang lain atau seumpamanya adalah haram dan tidak dibolehkan melakukannya. Bahkan Islam tidak pernah membenarkan untuk mempermalukan orang lain dengan cara apa pun.

Sebaliknya, Islam memerintahkan kepada kita untuk menutup aib-aib manusia, di mana natijahnya Allah SWT akan menutup aib kita. Rasulullah SAW bersabda:

مَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ

Maksudnya: “Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.”

Riwayat Muslim (2699), Abu Daud (1455), al-Tirmizi (2945), Ibn Majah (225) dan Ahmad (7427)

Walaupun begitu, perlu diingat, jangan sekali-kali kita meletakkan diri kita menyebabkan kita dipermalukan atau ditohmah. Hal ini berdasarkan kepada kaedah:

اتَّقُوا مَوَاضِعَ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”

Kaedah ini dikeluarkan oleh ulama’ berdasarkan kalam Saidina Umar R.A, katanya:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”