#6807: Gelaran Ibn Qudamah al-Maqdisi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah Ibn Qudamah seorang atau banyak orang yang menggunakan gelaran sama terutamanya mereka yang alim? Boleh Dato’ Seri terangkan pada kami?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ibn Mas’ud RA menyebut bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/299)

Daripada Abu Darda’ R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para Nabi. Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.”

Riwayat Abu Daud (3641), al-Tirmizi (2682), dan Ibn Majah (223)

Dalam menjawab persoalan ini, kami pernah berkongsi salah seorang ulama’ yang digelar sebagai Ibn Qudamah iaitu pengarang kitab Fath al’-Ali fi Tarjamah Sirah al-Nabawi. Nama sebenarnya ialah al-Imam al-Hafiz Taqiy al-Din Abu Muhammad ʿAbd al-Ghani bin Abd al-Wahid bin ʿAli bin Surūr al-Maqdisi al-Jammaʿli al-Dimasyqi al-Salihi al-Hanbali.

Adapun dapatan kami, gelaran ulama’ yang dipanggil Ibn Qudamah al-Maqdisi amat ramai. Dan boleh jadi, mereka lebih tersohor daripada apa yang kami sebutkan tadi, terutamanya pengarang kitab al-Mughni. Antaranya ialah:

  • Sharaf al-Dīn Abu al-Ḥasan Aḥmad bin ʿUbaydillah bin Aḥmad bin Muhammad bin Qudāmah al-Maqdisi (m. 613)
  • Shaykh al-Islam Muwaffaq al-Dīn ʿAbdullah bin Aḥmad bin Muhammad bin Qudāmah al-Maqdisi (m. 620), penulis kitab al-Mughnī.
  • Al-Khaṭīb Aḥmad bin abi al-Makārim bin Qudāmah al-Maqdisi (m. 622)
  • Al-Muḥaddith al-Hafiz Sayf al-Dīn Abu al-ʿAbbās Aḥmad bin ʿĪsā bin ʿAbdullah bin Qudāmah al-Maqdisi (m. 643), penulis kitab al-Aẓhar yang menghimpunkan biografi keluarga Jaʿfar bin abi Ṭālib dan kelebihan mereka.
  • Al-Khaṭīb Sharaf al-Dīn ʿAbdullah bin Aḥmad bin Muhammad bin Qudāmah al-Maqdisi (m. 643)
  • Muhammad bin Ibrāhīm bin ʿAbdullah bin al-Shaykh abi Umar Muhammad bin Aḥmad bin Muhammad bin Qudāmah al-Maqdisi (m. 649)
  • Al-Khaṭīb ʿIzz al-Dīn Abu Ishāq Ibrāhīm bin ʿAbdullah bin Qudāmah al-Maqdisi (m. 666)
  • Abu al-Faraj Shams al-Dīn ʿAbd al-Raḥman bin Qudāmah al-Maqdisi, (m. 682), antara guru Imām al-Nawawī dan penulis kitab al-Shāfī, syarah kepada al-Sharḥ al-Kabīr ʿalā al-Muqniʿ.
  • Al-Faqīh Shams al-Dīn ʿUbaydullah bin Muhammad bin Aḥmad bin ʿUbaydullah bin Aḥmad bin Muhammad bin Qudāmah al-Maqdisi (m. 684), pernah menulis kitab hadis yang disusun mengikut bab dalam fiqh namun tidak sempat menyelesaikannya.
  • Sharaf al-Dīn Abu al-ʿAbbās Aḥmad bin Aḥmad bin ʿUbaydillah bin Aḥmad bin Muhammad bin Qudāmah al-Maqdisi (m. 687)
  • Sharaf al-Dīn Abu al-Faḍl Al-Ḥasan bin ʿAbdullah bin Muhammad bin Aḥmad bin Muhammad bin Qudāmah al-Maqdisi (m. 695). Pemimpin para Qadhi dalam mazhab Hanbali.
  • ʿIzz al-Dīn Abu al-Faraj ʿAbd al-Raḥmān bin Ibrāhīm bin ʿAbdullah bin abi Umar Muhammad bin Aḥmad bin Muhammad bin Qudāmah al-Maqdisi (m. 732), alim dalam bidang Farā’id.
  • Al-Muqri’ al-Faqīh al-Muḥaddith Muhammad bin Aḥmad bin ʿAbd al-Hādī bin ʿAbd al-Ḥamid bin ʿAbd al-Hādī bin Yūsuf bin Muhammad bin Qudāmah al-Maqdisi (m. 744)

Semoga kita juga dapat mengikut jejak langkah mereka yang hebat ini, sebagaimana kata pujangga:

فَتَشَبَّهُوا ﺇنْ لَمْ تَكُوْنُوا مِثْلَهُمْ                               فإنَّ التَّشَبُّهَ باِلْكِرَامِ فَلاَحٌ

“Contohilah sekalipun kamu tidak setara dengan mereka,

    Kerana mencontohi orang yang mulia itu membawa kemenangan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”