#6811: Islam dan Keganasan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami mauqif dan sikap Islam terhadap keganasan serta takrif keganasan itu sendiri?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Majma’ Fiqh Islam menegaskan bahawa fahaman pelampau, keganasan dan terorisme bukan daripada Islam, bahkan, ia adalah tindakan yang sangat bahaya dan memberikan kesan yang sangat buruk. la melancarkan serangan ke atas manusia dan bertindak zalim. Sesiapa sahaja yang mengamati dua sumber syariah Islam iaitu al-Quran dan sunah Nabi SAW, tidak akan menemui sesuatu pun di dalamnya yang mengandungi makna fahaman pelampau, keganasan dan terorisme yang bermaksud, “melancarkan serangan ke atas pihak lain bukan dengan cara yang benar.

Sebagai menyahut saranan daripada anggota-anggota Majma’ supaya meletakkan takrif Islam bagi keganasan yang menyimpulkan pandangan dan pendirian umat Islam, menjelaskan realiti ini dan menerangkan bahaya mengaitkan Islam dengan fahaman pelampau dan keganasan ini, Majma’ Fiqh telah memberikan kepada umat Islam dan seluruh dunia suatu takrif yang disepakati tentang makna keganasan dan pendirian Islam berkenaan dengannya.

Takrif Keganasan: Serangan yang dilakukan oleh individu, kumpulan atau negara sebagai pemberontakan ke atas manusia sama ada agama, darah, akal, harta mahupun maruahnya, meliputi pelbagai bentuk ugutan, penderaan, ancaman, pembunuhan tanpa hak, dan segala yang berhubung kait dengan rusuhan bersenjata, menimbulkan ketakutan di tempat-tempat awam, memeras ugut di jalanan, segala tindakan ganas dan menimbulkan ancaman yang dilakukan bagi melaksanakan agenda jenayah individu atau kumpulan bertujuan menimbulkan ketakutan kepada manusia atau mengugut mereka dengan cara menyakiti atau mendedahkan kehidupan, kebebasan, keselamatan dan hal ehwal mereka kepada bahaya, termasuk juga segala bentuk tindakan menyebabkan bahaya kepada suasana atau salah satu sektor dan harta awam mahupun individu. Juga meliputi perbuatan mendedahkan salah satu sumber-sumber negara atau sumber semula jadi kepada bahaya. Maka, semua ini adalah gambaran-gambaran kerosakan di muka bumi yang dilarang oleh Allah SWT kepada orang-orang Islam daripada melakukannya. Firman Allah SWT:

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”

(Surah al-Qasas: 77)

Allah SWT telah mensyariatkan pembalasan yang mencegah perbuatan keganasan, serangan dan melakukan kerosakan dengan menganggap ia sebagai melancarkan peperangan terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya seperti dalam firman-Nya:

 إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلَافٍ أَوْ يُنفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ۚ ذَٰلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا ۖ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: “Hanya sanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.”

(Surah al-Maidah: 33)

Tidak ada dalam mana-mana perundangan manusia yang meletakkan hukuman yang keras seumpama ini. Hukuman ini begitu keras kerana melihat kepada bahayanya serangan ini yang dianggap oleh syariah Islam sebagai perang menentang sempadan yang telah digariskan Allah SWT dan menentang ciptaan-Nya.

Majma’ juga menegaskan bahawa keganasan negara juga adalah sebahagian daripada katogeri keganasan. Gambaran yang paling jelas dan teruk adalah jenayah keji iaitu keganasan yang dilakukan oleh Yahudi di Palestin, dan apa yang dilakukan oleh Serbia kepada seluruh Bosnia, Herzegovina dan Kosovo. Majma’ menganggap bahawa bentuk keganasan ini adalah yang paling teruk yang membahayakan keamanan dan keselamatan di dunia. Dan Majma’ menganggap tindakan menentang mereka adalah suatu perbuatan mempertahankan diri dan jihad di jalan Allah SWT. (Lihat Kerahmatan Islam dan Fenomena Terrorisme, hlm. 542-544)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”