#6812: Penyelesaian Isu Khilaf yang Melampau dan Terroris

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, bagaimana mutakhir ini kami melihat umat Islam begitu tajam permusuhan sesama sendiri serta wujudnya golongan ekstrim dan bagaimana cara untuk penyelesaian yang terbaik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

 (Surah al-Nisa’: 59)

Ibn Kathir apabila menafsirkan ayat ini berkata: Ini adalah perintah daripada Allah SWT. Bahawasanya setiap perkara yang manusia saling bercanggah padanya dari sudut usul agama ataupun furuk (cabangnya), hendaklah dikembalikan kepada al-Kitab dan juga al-Sunnah. Dan apa-apa yang dihukumkan oleh kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW serta dipersaksikan oleh keduanya itu maka ia adalah satu kebenaran. Beliau juga turut menambah dengan katanya: Berhukum dengan kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW, serta merujuk kepada keduanya untuk merungkaikan sebarang percanggahan adalah suatu perbuatan yang baik. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/231)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan dan saranan Majma’ al-Fiqh al-Islami, antara lain menyebut:

Majma’ al-Fiqh al-Islami telah memerhatikan perbezaan pandangan pada ramai umat Islam mengenai peristiwa semasa yang berlaku, dan dalam menyumbang mengajak umat Islam untuk melakukan perkara yang sepatutnya, Majma’ mencadangkan kepada mereka perkara berikut:

  1. Wajib berpegang teguh dan mengambil jalan keluar dengan al-Quran dan sunah, serta merujuk kepada para sarjana yang boleh dipercayai (thiqah), kerana mereka merupakan orang yang berpengetahuan, takut dan warak. Firman Allah SWT:

 إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Maksudnya: “… Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.”

(Surah Fatir: 28)

Mereka paling berkemampuan membimbing, mendidik, dan mendapat kepercayaan orang ramai.

  1. Wajib bekerjasama antara para pemerintah, ulama dan institusi-institusi Islam dalam menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku ke atas umat Islam dengan merujuk kepada syariah Islam dan kedua sumbernya iaitu al-Quran dan sunah Nabi SAW. Allah SWT telah menyuruh untuk bekerjasama dengan firman-Nya:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

(Surah al-Maidah: 2)

  1. Membuat kerangka cara bersikap pertengahan (wasatiyah), menangani sikap berlebihan yang dicela oleh Islam dan mematuhi sikap pertengahan (wasatiyah) agama ini dalam perkataan, amalan dan tingkah laku sesuai dengan apa yang disifatkan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Firman Allah SWT:

 وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Maksudnya: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah), dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu…”

(Surah al-Baqarah: 143)

  1. Majma’menyeru kaum Muslim minoriti agar mengerah usaha dan tenaga mereka untuk memelihara agama dan melindungi identiti mereka, menekankan bahawa kewajiban syariah ke atas golongan minoriti adalah mematuhi keperluan era keamanan dan syarat penginapan serta kewarganegaraan di rumah-rumah yang mereka tinggal atau hidup; untuk memelihara kehidupan orang lain dan harta mereka, dan untuk menjaga peraturan umum di rumah-rumah tersebut. Mereka harus bekerja dengan segala kemampuan dan kebolehan yang diberikan kepada mereka untuk membangunkan generasi baharu Islam, membentuk pusat asuhan untuk mencapainya di sekolah-sekolah dan pusat- pusat markas, berpegang teguh pada tali Allah SWT dalam kerangka persaudaraan Islam, berdebat dengan tenang ketika menangani isu-isu yang terdapat perbezaan, dan bekerja keras untuk mendapatkan pengiktirafan daripada negara-negara yang mereka tinggal dan hak-hak mereka; walaupun mereka dianggap sebagai agama minoriti, mereka dapat menikmati semua hak mereka terutamanya yang melibatkan hal-hal kekeluargaan sebagaimana yang diperolehi oleh agama minoriti lain.

Majma’ berharap Rabitat al-Alam al-Islami (Liga Dunia Muslim) akan mengerahkan usaha untuk mencapainya kerana peranannya sebagai organisasi masyarakat Islam terbesar di dunia.

  1. Majma’ menegaskan bahawa fatwa dalam Islam urusannya besar dan agung, ia dirisaukan oleh para ulama salaf dan ahli-ahli ilmu dan istiqamah (konsisten) selepas mereka kerana takut menyandarkan perkataan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya tanpa ilmu yang mana Allah SWT telah mengaitkannya dengan kesyirikan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَن تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah, ‘Sesungguhnya Tuhanku hariya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar, dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.”

(Surah al-A’raf: 33)

  1. Majma’ memberi amaran agar tidak berlaku kelonggaran padanya dan membimbing pandangan umat Islam – sama ada sebagai pemerintah mahupun diperintah – untuk mengambil cakna tentang fatwa dan ahli fatwa agar tidak merujuk kepada orang yang tidak berkelayakan. Majma’ juga memberi amaran kepada umat Islam agar tidak mengikut pendapat dan fatwa yang tidak dikeluarkan oleh para ulama yang diiktiraf.
  2. Majma’ mengikuti perkembangan kempen yang melampau di sekolah-sekolah dan kolej-kolej Islam, mimbar-mimbar khutbah dan dakwah di negara-negara Islam, dan seruan yang boleh menimbulkan perbalahan yang menuntut perubahan atau pengurangan kurikulum pendidikan di sana. Majma’ turut memperingatkan umat Islam tentang betapa seriusnya hal ini, dan agar tidak terpengaruh dengan perkara yang membawa kepada kecairan keperibadian Islam dan kejahilan umat Islam terhadap agama mereka. Majma’ menekankan kepentingan pendidikan syariah dalam membina keperibadian Muslim dan kesatuan masyarakat. la bersesuaian dengan apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan sunnah Rasul-Nya. Majma’ menyeru Rabitat al-Alam al-Islami (Liga Dunia Muslim) untuk menangani masalah serius ini dengan kementerian-kementerian pendidikan dan institusi-institusinya di negara-negara Islam.

  1. Untuk mengumpulkan suara umat Islam dan menyatukan barisan mereka, Majma’ al-Fiqh al-Islami mencadangkan kepada Rabitat al-Alam al-Islami perkara-perkara berikut:
  2. Membentuk satu organisasi atau kesatuan sedunia bagi ulama Islam di bawah naungan Rabitat al-Alam al-Islami di Makkah untuk mempertimbangkan isu-isu dan masalah-masalah yang dihadapi oleh umat Islam dan Muslim minoriti.
  3. Berusaha mewujudkan kesatuan sedunia bagi organisasi-organisasi Islam di bawah naungan Liga untuk menyelaraskan usaha mereka dan mencapai kerjasama di antara mereka mengenai perintah Allah SWT tentang kebaikan dan ketakwaan dalam memberi sumbangan kepada Islam dan umat Islam. Allah SWT berfirman:

 وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (egama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai…”

(Surah Ali Imran: 103)

Dan firman Allah SWT:

 وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ

Maksudnya: “… Dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu…”

(Surah al-Anfal: 46)

iii. Membentuk piagam yang disepakati oleh yayasan-yayasan amal Islam di dunia, menyelaraskan usaha mereka, membantu tugas mereka dan menyatukan mereka untuk menolak tuduhan palsu terhadap mereka.

  1. Berusaha menolong Muslim minoriti mendapatkan peruntukan hak-hak yang sah yang dinikmati oleh pihak minoriti yang lain, dan pengiktirafan oleh negara-negara yang terdapat Muslim minoriti sambil berusaha membentuk badan-badan Islam di setiap negara bagi mewakili umat Islam berdepan badan-badan pemerintah dan pentadbiran bagi memudahkan umat Islam mendapatkan hak mereka dan menikmatinya seperti pihak lain.
  2. Usaha pemerintah dan organisasi Islam untuk bekerjasama mewujudkan saluran satelit Islam antarabangsa yang boleh disiarkan dalam pelbagai bahasa, menzahirkan kebaikan Islam, keperluan umat manusia terhadap Islam, dan membantu menangani kempen-kempen media dan kebudayaan yang tidak adil terhadap Islam dan umat Islam.
  3. Membentuk kumpulan sarjana Muslim untuk berkomunikasi dengan institusi, parlimen dan pemerintah Barat yang berpengaruh dan jawatankuasa hak asasi manusia bagi menentang diskriminasi serta kebencian antara manusia dengan cara mengadakan pertemuan atau berbalas surat dengan pegawai mereka; untuk memperkenalkan mereka kepada kebaikan, kedamaian dan keamanan yang ditawarkan oleh Islam kepada umat manusia, dan untuk menjelaskan pendirian Islam yang betul terhadap provokasi yang dibangkitkan terhadap Islam dan umat Islam.

Penutup: Umat Islam wajib bersatu menghadapi bahaya, dan menyedari bahawa kelangsungan hidup mereka bergantung kepada kelangsungan agama mereka. Bahawa, Islam merupakan satu nikmat yang perlu dipelihara dan merupakan anugerah yang perlu disyukuri. Firman Allah SWT:

 يَمُنُّونَ عَلَيْكَ أَنْ أَسْلَمُوا ۖ قُل لَّا تَمُنُّوا عَلَيَّ إِسْلَامَكُم ۖ بَلِ اللَّهُ يَمُنُّ عَلَيْكُمْ أَنْ هَدَاكُمْ لِلْإِيمَانِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya: “Mereka mengira dirinya berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah Islam (tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka), “Janganlah kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan, (kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun, maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan budi-Nya kepada kamu, kerana Dia-lah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya).”

(Surah al-Hujurat: 17)

Para sarjana yang berkumpul di Makkah dalam Rabitat al-Alam al-Islami, mereka menyampaikan penjelasan ini kepada semua orang, dan mereka menyeru dunia serta organisasi-organisasi yang ada untuk mempertimbangkan perkara yang harus mereka bangkitkan tentang bahaya yang sedang menyelubungi umat manusia.

Selawat, salam dan barakah oleh Allah SWT ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, serta para sahabat Baginda semua. [Dikeluarkan di Makkah]  (Lihat Kerahmatan Islam dan Fenomena Terrorisme, hlm. 551-555)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”