#6815: Menyembelih Haiwan dalam Keadaan Haiwan Itu Berdiri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah haiwan korban disembelih dalam keadaan ia berdiri di atas kakinya tanpa direbahkan? Ini bagi memudahkan tukang sembelih, lagi-lagi jika jumlah haiwan sembelihan itu banyak. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

(Surah al-Kautsar: 2)

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556)

Dalam menjawab soalan ini, pertamanya, ia berkait rapat dengan syarat-syarat penyembelihan. Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji (3/43) syarat-syarat penyembelihan terbahagi kepada tiga, iaitu:

  • Syarat melakukan penyembelihan.
  • Syarat binatang yang disembelih.
  • Syarat bagi alat sembelihan.

Oleh kerana ia berkaitan dengan binatang yang sembelih, maka cukuplah kami memfokuskan perbincangan hanya pada syarat binatang yang disembelih. Terdapat tiga syarat yang digariskan bagi binatang yang disembelih iaitu:

Pertama: Penyembelih mendapati bahawa sebelum binatang itu disembelih ia masih mempunyai hayat mustaqirrah (حياة مستقرة), iaitu binatang yang sakit atau luka dan seumpamanya yang tidak membawa kematiannya dan pergerakannya seperti pergerakan binatang yang disembelih.

Sekiranya binatang itu tiada hayat mustaqirrah maka penyembelihan ketika itu tidak dianggap al-Tazkiah dan sembelihan tersebut tidak halal, kecuali setelah dilakukan penyembelihan dharurat sebelumnya.

Darah yang mengalir daripada uratnya setelah disembelih tidak membuktikan bahawa hayat mustaqirrah masih wujud.

Kedua: Putus halkum dan mari’ (المرئ).

Halkum adalah saluran pernafasan dan mari’ saluran makanan. Sekiranya kedua-dua saluran tersebut tidak putus walaupun sedikit, sembelihan itu tidak halal.

Ini berdasarkan hadith daripada Rafi‘ bin Khudaij, sabda Nabi SAW:

مَا أَنْهَرَ الدَّمَ، وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ، فَكُلُوهُ، لَيْسَ السِّنَّ وَالظُّفُرَ

Maksudnya: “Apa sahaja yang dapat menumpahkan darah dan disebut nama Allah ke atasnya, maka makanlah melainkan gigi dan kuku.”

Riwayat al-Bukhari (2356) dan Muslim (1968)

Penyembelihan mestilah dengan sesuatu yang boleh menyebabkan darah mengalir dan memutuskan halkum dan mari’. Pada kelazimannya, kehilangan nyawa bergantung kepada putus atau tidak kedua-dua saluran tersebut.

Ketiga: Putus kedua-dua saluran tersebut dengan segera dan dengan sekali sembelihan.

Sekiranya disembelih perlahan-lahan sehingga sembelihan tersebut tidak lagi bergerak-gerak sebagaimana pergerakan binatang yang disembelih (حياة مذبوحة) sedangkan halkum dan mari’nya belum putus, maka batallah penyembelihan dan sembelihan itu tidak halal.

Untuk mengenali hayat mustaqirrah pada sembelihan ialah binatang tersebut meronta-ronta dengan kuat setelah disembelih.

Jika ia disembelih perlahan-lahan, dan lambat memutuskan halkum dan mari’ sehingga tidak bergerak setelah selesai sembelihan maka hal yang demikian menunjukkan bahawa hayat mustaqirrah binatang tersebut tiada lagi sebelum selesai penyembelihan. Sembelihan itu tidak halal dan penyembelihannya tidak dinamakan al-Tazkiah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/45-46)

Keduanya, selain daripada syarat-syarat yang disebutkan sebelum ini, merupakan perkara-perkara yang disunatkan, termasuklah cara dan kaedah penyembelihan. Sunnahnya dalam sembelihan, adalah membezakan cara penyembelihan antara sembelihan unta dengan sembelihan kambing dan lembu.

Bagi unta: Sunnahnya adalah untuk menyembelihnya dengan cara menyembelih di bahagian bawah leher, yang terletak di lekuk antara dada dan pangkal leher, dengan unta dalam keadaan berdiri dan kaki/lutut kiri depannya diikat. Ini berdasarkan firman Allah:

فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ

Maksudnya: “Oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya.

(Surah al-Hajj: 36)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A bahawa:

أن النبي صلى الله عليه وسلم وأصحابهِ كانوا ينحرونَ البدنةَ معقولةً اليسرى قائمةً على ما بقيَ من قوائمها

Maksudnya: “Rasulullah SAW dan para sahabatnya menyembelih unta dalam keadaan kaki (depan) kirinya terikat dan  ia berdiri dengan baki kakinya yang lain.”

Riwayat Abu Dawud (1767)

Bagi lembu dan kambing: Sunnahnya, ia disembelih dalam keadaan terbaring di sebelah kiri, dan kakinya diletakkan di atas sisi leher untuk memudahkan penyembelihan. Ini berdasarkan riwayat daripada Anas bin Malik RA bahawa:

ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ، وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا

Maksudnya: “Nabi SAW telah menyembelih binatang korban dengan (menyembelih) dua ekor kibas yang bewarna putih bercampur hitam dan mempunyai tanduk. Baginda SAW telah menyembelih  kedua-duanya dengan tangannya, dan Baginda SAW telah menyebut lafaz basmalah dan bertakbir serta Baginda SAW telah meletakkan kakinya di atas sisi badan kedua-duanya (kawasan berhampiran dengan leher).

Riwayat al-Bukhari (5565)

Namun, jika lembu disembelih dalam keadaan ia berdiri atau unta disembelih dalam keadaan ia terbaring, sembelihan itu masih dianggap sah. Ibn Qudamah menyebutkan, jika haiwan yang sepatutnya disembelih (secara biasa) dilakukan nahr, atau haiwan yang sepatutnya dilakukan nahr disembelih (secara biasa), maka ia adalah dibolehkan. Ini merupakan pendapat majoriti ulama; di antara mereka ialah ‘Ata’, al-Zuhri, Qatadah, Malik, al-Laith, al-Tahuri, Abu Hanifah, al-Syafi‘i, Ishaq dan Abu Thaur. (Lihat al-Mughni, 13/306).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah sekiranya kambing atau lembu itu hendak disembelih dalam keadaan ia berdiri kerana merebahkannya/membaringkannya ketika sembelihan hanyalah termasuk dalam perkara sunat dan bukannya wajib, serta ia tidak mempengaruhi kesahan penyembelihan tersebut. Apatah lagi, jika perbuatan menyembelihnya dalam keadaan berdiri itu akan lebih memberi manfaat dan memudahkan tukang sembelih yang terpaksa menyembelih haiwan dalam kuantiti yang sangat banyak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”