#6818: Memulangkan Tanah yang Dipinjam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Pada zaman muda dulu saya ingin membeli tanah bernilai RM10 000 untuk membuat rumah, tetapi tidak mampu. Lalu sahabat saya membeli tanah tersebut dan membenarkan saya untuk menggunakannya. Saya juga telah membina sendiri rumah di atas tanah tersebut. Selepas 20 tahun, dia menuntut semula tanah tersebut, adakah saya perlu pulangkan semula tanah tersebut, atau dipulangkan RM10 000?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Melihat kepada situasi yang saudara gambarkan kepada kami, sahabat tersebut secara zahirnya hanya meminjamkan sahaja tanah tersebut kepada saudara. Perbincangan mengenai pinjaman tanah ini turut dibincangkan dalam bab al-‘Ariyah (العَارِيَةُ), iaitu suatu akad yang mengharuskan orang lain untuk mengambil manfaat daripada harta fizikal yang boleh diambil manfaat darinya, dengan mengekalkan keadaan fizikalnya agar dapat dipulangkan kembali kepada pemilik asal. (Lihat Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih, 10/356)

Perincian tentang pinjam-meminjam barang ini telah kami bawakan dalam artikel kami yang bertajuk: “Akad Pinjaman Barang dalam Islam.” Berdasarkan situasi yang kami lihat dalam persoalan di atas, kami cuba untuk mengelaskan setiap rukun yang ada dalam noktah di bawah:

  • al-Mu‘ir (المُعِيرُ) atau pemberi pinjaman, iaitu kawan tersebut.
  • al-Musta‘ir (المُسْتَعِيرُ) atau peminjam, iaitu saudara yang meminjam tanah.
  • al-Musta‘ar (المُسْتَعَارُ) atau barang yang dipinjam, iaitu tanah.
  • Sighah (الصِّيغَةُ) atau lafaz akad, kebenaran kawan tersebut untuk saudara menggunakan tanah pembeliannya itu.

Dalam membahaskan isu pinjaman tanah ini, fuqaha’ al-Syafi‘iyyah telah menitikberatkan pada lafaz akad yang berlaku di antara dua pihak. Sekiranya lafaz pinjaman tanah itu secara umum sahaja tanpa diletakkan syarat yang khusus manfaat tanah yang ingin dipinjamkan, maka di sini terdapat dua pendapat:

  • Akad pinjaman tidak sah, dan inilah pendapat yang dipilih oleh Imam al-Nawawi.
  • Akad pinjaman itu sah, begini yang dipilih oleh majoriti fuqaha’.

Imam Jalaluddin al-Mahalli menukilkan pandangan Imam ‘Abd al-Wahid al-Ruyani, katanya: “Boleh diambil manfaat dari tanah tersebut sebagaimana yang biasa menurut adat.” Imam al-Rafi‘i juga bersetuju dan mengatakan bahawa ini lebih baik, bahkan beliau menukilkan pandangan fuqaha’ al-‘Iraqiyyin yang bersetuju dan begitu juga sebahagian fuqaha’ Khurasan.

Al-‘Allamah Ibn al-Muqri pula mengatakan, pandangan muktamad bahawa akad pinjaman itu sah meskipun tanpa dikhususkan manfaat penggunaan tanah itu. Perbahasan antara sah atau tidak ini hanya timbul apabila tanah yang dipinjamkan itu sesuai untuk dimanfaatkan pada beberapa perkara. Adapun jika tanah itu hanya sesuai untuk bercucuk tanah sahaja – sebagai contoh –, maka tidak ada keperluan lagi untuk dikhususkan manfaatnya dalam lafaz akad. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/324; Tuhfah al-Muhtaj, 5/425; Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 3/22)

Signifikannya kami bawakan perbincangan ini kerana lafaz akad pinjaman antara saudara dan orang yang memberikan pinjaman tersebut pada zahirnya tidak dikhususkan manfaat penggunaan yang diizinkan, sama ada untuk bercucuk tanam atau untuk tujuan pembinaan. Peminjam hanya membenarkan saudara untuk memanfaatkan tanah miliknya secara umum, tanpa mengkhususkan kepada saudara bahawa pinjaman tersebut untuk pembinaan. Jika diambil pandangan muktamad, akad pinjaman antara saudara dan kawan tersebut sah; kerana pinjaman tersebut diberikan dalam keadaan pemberi pinjaman telah jelas niat asal peminjam.

Memulangkan Tanah yang Dipinjam

Berbalik kepada persoalan pokok yang diajukan, apabila pemilik asal tanah meminta semula tanah pinjaman itu, maka terdapat beberapa situasi yang perlu kita fahami. Syeikh Muhammad Najib al-Muti‘i menerangkannya di dalam Takmilah al-Majmu‘ ‘ala Syarh al-Muhazzab (14/211):

Pertama: Sekiranya disyaratkan semasa akad untuk dicabut semua tanaman atau binaan di atas tanah tersebut tanpa perlu sebarang ganti rugi atas kerosakan tanah tersebut, maka wajib dicabut dan dipulangkan tanah tersebut walaupun dalam keadaan berlubang-lubang. Ini berdasarkan hadith Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya: “Orang Islam itu berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui oleh mereka.”

Riwayat Abu Daud (3594). Imam al-Bukhari meletakkan hadith ini pada permulaan Bab: Upah Orang Tengah, sebelum hadith (2274)

Dalam akad itu, kedua-dua pihak telah redha menerima sebarang kemudharatan yang akan berlaku apabila dicabut semua tanaman atau binaan di atas tanah tersebut. Peminjam juga tidak perlu meratakan tanah yang berlubang-lubang itu kerana ia telah dipersetujui dalam akad, dan dia juga telah diizinkan pada awalnya untuk bercucuk tanam atau membuat binaan.

Oleh itu, kami katakan, sekiranya kawan saudara yang memberikan pinjaman itu telah mengizinkan saudara untuk membuat binaan di atas tanah tersebut, kemudian mensyaratkan untuk diruntuhkan binaan apabila diminta semula haknya, maka wajib dilakukan diruntuhkan binaan tersebut; kerana kedua-dua pihak telah maklum dan bersetuju untuk menerima sebarang risiko juga mudharat. Tuan tanah perlu menanggung risiko tanah yang berlubang-lubang, manakala peminjam menanggung risiko kerugian dari kos pembinaan.

Kedua: Sekiranya tidak disyaratkan semasa akad untuk dicabut semua tanaman atau binaan di atas tanah tersebut, maka perlu diteliti:

  • Jika dengan dicabut tanaman atau binaan itu tidak mengurangkan nilainya (tidak menyebabkan kerugian pada kos tanaman dan pembinaan), maka ketika itu wajib dicabut; kerana tanah pinjaman itu boleh dipulangkan semula tanpa mendatangkan sebarang mudharat pada mana-mana pihak.
  • Jika dengan dicabut tanaman atau binaan itu akan mengurangkan nilainya (sehingga menyebabkan kerugian pada kos tanaman dan pembinaan), maka perlu diteliti lagi:
  1. Situasi apabila peminjam memilih untuk mencabut tanaman dan binaan tersebut. Apabila dicabut, timbul pula perbezaan pendapat antara fuqaha’ sama ada peminjam perlu untuk meratakan tanah tersebut dari sebarang lubang-lubang atau tidak:
    1. Tidak diwajibkan; kerana apabila dia tuan tanah meminjamkan tanah tersebut dengan pengetahuan bahawa ia boleh dicabut, maka ketika itu ia dianggap sebagai persetujuan terhadap kerosakan yang mungkin berlaku akibat pencabutan tersebut, jadi tidak perlu untuk diratakan semula.
    2. Wajib meratakan semula; kerana peminjam yang memilih untuk Akan tetapi, jika dia enggan meratakan tanah tersebut, dia tidak boleh dipaksa untuk melakukan demikian.
  2. Situasi apabila peminjam tidak memilih untuk mencabut tanaman dan binaan tersebut, maka perlu dipastikan:
    1. Jika tuan tanah menawarkan nilai tanaman atau binaan untuk mengambilnya bersama dengan tanah tersebut, maka peminjam boleh dipaksa untuk menerimanya; kerana ini adalah tindakan mengembalikan semula pinjaman tanpa menyebabkan kerugian.
    2. Jika tuan tanah menawarkan nilai kerugian yang perlu ditanggung selepas mencabut tanaman atau binaan, maka peminjam boleh dipaksa untuk menerimanya; kerana ini juga adalah tindakan mengembalikan semula pinjaman tanpa menyebabkan kerugian.
    3. Jika kedua-dua pihak (tuan tanah dan peminjam) menawarkan nilai tanaman atau binaan untuk mengambilnya bersama dengan tanah tersebut, maka tuan tanah akan didahulukan; kerana tanaman mengikuti tanah dalam penjualan, maka dibolehkan ia mengikuti tanah dalam pemilikan. Namun, tanah tidak mengikuti tanaman dalam penjualan, jadi tanah tidak mengikuti tanaman dalam pemilikan.
    4. Jika tuan tanah enggan menawarkan nilai kerugian yang perlu ditanggung selepas mencabut tanaman atau binaan, manakala peminjam pula sanggup menawarkan bayaran sewa atas tanah tersebut, maka ketika itu peminjam tidak boleh dipaksa untuk mencabut tanaman atau binaannya. Rasulullah SAW telah bersabda:

لَيْسَ لِعِرْقٍ ظَالِمٍ حَقٌّ

Maksudnya: “Tidak ada hak bagi orang yang memiliki tanah secara zalim.”

Riwayat Abu Daud (3073) dan al-Tirmizi (1378)

Perbuatan peminjam ini bukanlah satu perkara yang zalim kerana dia sanggup membayar sewaan, bahkan dia berhak ketika itu untuk tidak mencabut tanaman atau binaannya; kerana kesemua itu pada asalnya memang diizinkan. Tidak boleh dimudharatkan peminjam dengan mencabut tanaman atau binaannya.

  1. Jika peminjam itu pula enggan membayar sewa, maka terdapat beberapa pandangan:
    • Tidak perlu dicabut; kerana pinjaman itu merangkumi keizinan mengambil manfaat tanpa jaminan.

Tindakan orang yang meminjamkan itu memberi pilihan kepada peminjam untuk melakukan sesuatu pada tanah tersebut – ini menggambarkan keredhaannya untuk kehilangan manfaat tanah tersebut.

  • Perlu dicabut; kerana selepas diminta semula tanah itu, peminjam tidak berhak untuk memanfaatkannya jika tidak membayar sebarang sewaan.
  1. Apabila segala situasi di atas tidak berlaku, maka:
    • Hakim mempunyai kuasa untuk menjual tanah dan apa sahaja di atas tanah tersebut untuk dibahagikan wang antara pemilik asal dan peminjam bagi merungkai perbalahan antara mereka.
    • Lebih tepat lagi, hakim perlu meminta tuan tanah untuk membuat pilihan dari situasi-situasi di atas; supaya segala perbalahan yang berlaku dapat dileraikan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/327-328; ‘Umdah al-Muhtaj, 8/149)

Aplikasi situasi kedua ini pada permasalahan yang saudara hadapi, apabila tanah yang dipinjam oleh saudara itu telah dibina sebuah rumah di atasnya, maka sudah pasti tindakan meruntuhkan semula rumah tersebut akan mendatangkan kerugian yang amat besar, bahkan mungkin mendatangkan mudharat kerana kehilangan tempat berteduh seisi keluarga. Dalam keadaan kedua ini, jika saudara (selaku peminjam) dan sahabat saudara (yang meminjamkan tanah) itu tidak mensyaratkan agar diruntuhkan semula sebarang binaan di atas tanah tersebut, maka suatu perbincangan perlu dibuat antara kedua-dua pihak, sama ada:

  1. Tuan tanah boleh memaksa saudara untuk memulangkan tanah tersebut, dengan syarat dia membayar kos pembinaan rumah tersebut; kerana tindakan ini dapat menyelesaikan masalah mengembalikan tanah yang dipinjam.
  2. Jika saudara yang bertanya pula menawarkan harga tanah semasa (selepas peningkatan harga tanah selama 20 tahun), dan tuan tanah juga menawarkan harga pembinaan rumah tersebut, maka wajib diterima tawaran tuan tanah; kerana tindakan ini dapat menyelesaikan masalah mengembalikan tanah yang dipinjam.
  3. Sebaliknya, jika tuan tanah tidak sanggup menawarkan kos kerugian dari pembinaan rumah tersebut, manakala saudara selaku peminjam pula rela membayar sewaan di atas tanah, maka ketika itu tuan tanah tidak boleh memaksa saudara untuk meruntuhkan rumah tersebut; kerana ia akan memudharatkan saudara.

Kami mencadangkan, sekiranya tidak ada jalan penyelesaian yang dapat diputuskan antara kedua-dua pihak, masalah ini boleh dibawa kepada mahkamah pengantaraan antara pihak-pihak yang bertikai. Beginilah yang diajarkan oleh junjungan kita Rasulullah SAW sebagaimana dalam hadith ‘Amru bin ‘Auf al-Muzani R.A:

الصُّلْحُ جَائِزٌ بَيْنَ الْمُسْلِمِينَ إِلَّا صُلْحًا حَرَّمَ حَلَالًا أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا

Maksudnya: “Perdamaian (sulh) adalah perkara yang dibenarkan antara orang-orang Islam, kecuali sulh untuk menghalalkan perkara haram atau mengharamkan perkara halal.”

Riwayat al-Tirmizi (1352) dan Ibn Majah (2353).

Maka jelas di sini, hukum asal bagi akad meminjam tanah ini adalah memulangkan semula tanah tersebut apabila diminta oleh pemilik asal. Akan tetapi, apabila timbul beberapa situasi sehingga mungkin memudharatkan mana-mana pihak, Islam membawakan beberapa jalan agar dapat diselesaikan masalah ini dengan cara yang harmoni.

Sekadar ini yang dapat kami jelaskan kepada saudara. Kami juga menyarankan agar saudara merujuk kepada pihak berautoriti yang menguruskan hal-hal pengurusan tanah, kerana mereka lebih arif dalam isu yang diajukan ini. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam