#6825: Mencantikkan dan Menghias Makanan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah menghiasi makanan dibolehkan dan termasuk dalam tujuan yang syar‘i atau ia termasuk dalam pembaziran yang dilarang? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya maqasid syariah adalah perkara yang ditetapkan oleh syariah untuk memelihara agama, nyawa, akal, harta, dan maruah. Makanan yang termasuk dalam tujuan syariah ialah makanan yang menjadi asas kehidupan dan kekuatan badan untuk menjalankan urusan agama dan dunia. Justeru, menghiasi makanan tidak termasuk dalam tujuan syariah dalam erti kata tersebut.

Firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau.”

(Surah al-A‘raf: 31)

Al-Qurtubi menyebutkan dalam tafsirnya berkenaan ayat di atas bahawa adapun perkara yang diperlukan, iaitu yang menghilangkan rasa lapar dan dahaga, maka ia adalah disyariatkan secara akal dan syarak, kerana ia memelihara nyawa dan melindungi pancaindera. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 7/191).

Jika dimaksudkan dengan soalan di atas iaitu “maqasid syariah” dalam erti kata ia adalah salah satu tujuan yang dibenarkan oleh syariah, iaitu harus, maka jawapannya, ya, ia adalah “diharuskan” dalam erti kata ini. Terdapat hadith, di mana Rasulullah SAW bersabda:

كُلُوا، وَاشْرَبُوا، وَتَصَدَّقُوا، وَالْبَسُوا، غَيْرَ مَخِيلَةٍ، وَلَا سَرَفٍ

Maksudnya: “Makanlah, minumlah, bersedekahlah, dan pakailah tanpa berbangga-bangga mahupun berlebih-lebihan.

Riwayat Ahmad (6695) dan dinilai sebagai hasan dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (2145).

Begitu juga terdapat riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

كُلْ مَا شِئْتَ وَالْبَسْ مَا شِئْتَ، ‌مَا ‌أَخْطَأَتْكَ ‌خَلَّتَانِ: سَرَفٌ أَوْ مَخِيلَةٌ

Maksudnya: “Makanlah apa yang kamu mahu, dan pakailah apa yang kamu mahu, selama tidak melampaui dua perkara iaitu  pembaziran atau kesombongan.

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (26492)

Di antara yang menjadi dalil dalam membenarkan menghias dan mencantikkan makanan, dan bahawa ia termasuk dalam perkara yang baik, adalah apa yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّ الْحَلْوَاء وَالْعَسَل

Maksudnya: “Nabi SAW menyukai manisan dan madu.”

Riwayat al-Bukhari (5277)

Ibn Battal menyatakan, termasuk dalam maksud hadith ini adalah segala jenis sesuatu yang menyerupai manisan dan madu iaitu makanan yang lazat dan manis. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 9/494).

Tambahan lagi, al-Khattabi pula menyebutkan, nama halwa’ (الْحَلْوَاء) hanya diberikan kepada makanan yang dihasilkan melalui usaha manusia. (Lihat A‘lam al-Hadith, 3/2053). Dapat difahami daripada hal ini bahawa ia adalah salah satu bentuk menghias makanan.

AL-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan, Imam al-Nawawi mensyarahkan hadith ini dengan menyatakan, dibolehkan untuk memakan dua jenis makanan yang terdiri daripada buah-buahan dan makanan lain (selain buah-buahan) bersama-sama, dan begitu juga dibolehkan untuk memakan dua jenis makanan bersama-sama. Ini menunjukkan keharuskan untuk bersikap luas dalam hal makanan dan tiada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mengenai keharusan ini. (Lihat Fath al-Bari, 9/573).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa menghias dan mencantikkan makanan, jika tidak berlebihan atau tiada membawa kepada perasaan berbangga diri, maka pada asalnya ia termasuk dalam perkara yang diharuskan. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga kaedah fiqh lain yang menyatakan:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”