#6826: Menangkap Burung Merpati di Perkarangan Masjid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum menangkap dan mengambil burung merpati di perkarangan masjid? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ ۙ وَمَا عَلَّمْتُم مِّنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ ۖ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Maksudnya:  “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya”

(Surah al-Ma’idah: 4)

Abu Bakar al-Jazairi menyebutkan bahawa: Ia adalah segala sesuatu yang lazat dan baik yang dihalalkan oleh Allah Ta’ala dan tidak dilarang oleh-Nya. Allah juga menghalalkan bagi kamu untuk memburu dengan menggunakan binatang yang telah kamu ajar daripada haiwan pemburu, iaitu anjing pemburu, cheetah, harimau, dan burung seperti helang dan seumpamanya. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/594)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa menangkap burung merpati di kawasan masjid untuk tujuan mengambil manfaat seperti dimakan atau diberikan kepada mereka yang memerlukan adalah dibenarkan, asalkan ia tidak melanggar hak milik individu lain dan dilakukan dengan cara yang baik. Namun, burung tersebut tidak termasuk yang berada di Tanah Haram kerana syarak melarang seseorang memburu atau membunuh binatang di Tanah Haram.

Keharusan ini juga adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Tha‘labah al-Khusyani, katanya: Aku bertanya:

يَا نَبِيَّ اللَّهِ، إِنَّا بِأَرْضِ قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، أَفَنَأْكُلُ فِي آنِيَتِهِمْ؟ وَبِأَرْضِ صَيْدٍ، أَصِيدُ بِقَوْسِي، وَبِكَلْبِي الَّذِي لَيْسَ بِمُعَلَّمٍ وَبِكَلْبِي المُعَلَّمِ، فَمَا يَصْلُحُ لِي؟ قَالَ: أَمَّا مَا ذَكَرْتَ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَإِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَلاَ تَأْكُلُوا فِيهَا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا. وَمَا صِدْتَ بِقَوْسِكَ فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ. وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ المــُعَلَّمِ، فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ، وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ غَيْرِ مُعَلَّمٍ فَأَدْرَكْتَ ذَكَاتَهُ فَكُلْ

Maksudnya: “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami berada di negeri Ahli Kitab, maka bolehkah kami makan menggunakan bekas-bekas mereka? (Kami juga berada) di negeri (yang ada banyak) binatang buruan. Aku berburu menggunakan busurku, anjingku yang tidak terlatih dan anjingku yang terlatih, maka apakah yang boleh untukku (dibenarkan untuk makan)? Baginda SAW bersabda: ‘Adapun apa yang kamu sebutkan berkenaan dengan Ahli Kitab, sekiranya kamu mempunyai (bekas-bekas) selain daripadanya, maka janganlah kamu makan menggunakannya. Sekiranya kamu tidak mempunyai (bekas-bekas lain), maka cucilah ia dan makanlah menggunakan bekas-bekas tersebut. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan busur dan kamu telah menyebut nama Allah, maka makanlah. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjingmu yang terlatih dan kamu telah sebutkan nama Allah, maka makanlah. Dan apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjing kamu yang tidak terlatih serta kamu sempat menyembelihnya (haiwan buruan tersebut), maka makanlah.’”

Riwayat al-Bukhari (5478)

Hadith ini menjelaskan bahawa seseorang diharuskan untuk memanfaatkan hasil buruan untuk pelbagai tujuan,  selagimana ia dilakukan mengikut syariat Islam. Namun sekiranya menangkap burung tersebut tanpa tujuan yang sah dan tidak dimanfaatkannya. Maka, sebahagian ulama berpandangan ianya adalah haram.

Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin ada menyebutkan, tidak ada syak lagi mengenai keharusannya, dan itulah yang dihalalkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla dalam kitab-Nya dan sabit dalam Sunnah Nabi SAW, serta telah disepakati oleh kaum Muslimin. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 15/98)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, jika dia tidak bermaksud untuk mengambil manfaat daripadanya, maka ia adalah haram. Hal ini kerana ia termasuk dalam melakukan kerosakan di atas muka bumi, dengan mensia-siakan nyawa. (Lihat Fath al-Bari, 9/602).

Sebagai kesimpulannya, tidak menjadi kesalahan bagi seseorang untuk menangkap burung di pekarangan masjid selain dari di Tanah Haram, dengan syarat ia dilakukan dengan tujuan yang dibenarkan oleh syarak. Contohnya, mengambil manfaat daripada burung tersebut sama ada untuk dimakan atau diberikan kepada mereka yang memerlukan. Namun, tindakan ini mestilah dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan tanpa menyebabkan kerosakan atau gangguan kepada masjid serta persekitarannya. Selain itu, adalah penting untuk memastikan bahawa tindakan tersebut tidak melanggar sebarang peraturan setempat atau hukum-hukum lain yang berkaitan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْ قًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘alam