#6830: Sambal Bunga Raya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kita tahu bahawa bunga raya merupakan bunga kebangsaan negara kita dan tumbuhan ini sering dijadikan sebagai perhiasan. Namun, baru-baru ini saya ada terbaca berkenaan bunga raya ini menjadi antara pilihan makanan khusus dalam pembuatan sambal yang ditampilkan sesebuah hotel bagi memartabatkan unsur nasionalisme dalam hidangan. Timbul persoalan, bolehkah bunga ini yang dikenali sebagai bunga perhiasan dijadikan sebagai makanan, dalam kata lainnya boleh dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan jawapan kami dengan menerangkan secara ringkas berkenaan bunga raya ini dahulu. Bunga raya, bunga sepatu, kembang sepatu, kembang uribang atau kembang warawiri (nama botani: Hibiscus rosa-sinensis) ialah spesies tumbuhan berbunga tropika genus Hibiscus dalam suku Hibisceae keluarga Malvaceae. Ia banyak ditanam sebagai tanaman hiasan di kawasan tropika dan subtropika, namun ia bertaburan asalnya di Vanuatu.

Pokok bunga raya kecil atau renek berbelukar dengan daun malar hijau yang tumbuh 2.5–5 meter tinggi dan 1.5–3 m lebar. Ia ada akar tunjang yang bercabang. Batang pokoknya tegak, hijau, berbentuk silinder dan berdahan.

Daun-daunnya ringkas dan disusun berselang-seli. Helai daunnya berbentuk bujur dan setangkup seperti telur, hujungnya runcing dan birainya bergerigi kasar dengan lebar 7–20 sentimeter. Permukaan helai daun ini berkilat dan licin, urat daunnya bercabang atau mencapah.

Bunga-bunga pokok spesies ini muncul tunggal di ketiak daun dari tangkai yang pendek atau sederhana panjang pada musim panas dan musim luruh. Bentuk kuntumnya setangkup, setiap kuntum ini beranggi lima yang selalunya berwarna merah dengan garis pusat 10–20 sm, ia ada cepu debunga merah berhujung jingga. Banyak kultivar dan kacukan pokok berbunga pelbagai warna seperti merah, putih, merah jambu, jingga, kuning, kuning merah, biru dan ungu. Beberapa pokok pula berbunga ganda (atau ‘bunga susun’).

Pada dasar setiap kuntum bunga ada salut bunga yang berwarna hijau. Hujung tajam salutnya dipanggil kelopak. Apabila bunga raya mula kembang, ranggi bunganya akan mula tumbuh.

Setiap bunga raya mempunyai dua-dua bahagian jantan dan bahagian betina. Ovari dan bahagian betina lain bunga ini terletak pada struktur teras bunga: putiknya yang panjang dan bak salur. Lima titik “berbulu” pada puncak putik membentuk stigma, tempat di mana debunga dikumpul. Di tengah putiknya ada benang sari, iaitu salur di mana debunga bergerak turun ke ovari. Ovarinya terletak di dasar bunga, dan setiap bunga raya ada hanya satu ovari yang besar. Bahagian jantan bunga iaitu sulur bunga terdiri daripada filamen dan cepu bak batang. Setiap filamen berhujung dengan cepu debunga yang mengeluarkan debunga.

Dari segi kegunaannya, bunga ini ditanam secara meluas sebagai hiasan di seluruh kawasan beriklim tropika dan separa tropika. Bunganya besar, merah, keras, tetapi tidak berbau. Pelbagai kultivar, varieti, dan kacukan telah dihasilkan, dengan warna bunga yang pelbagai dari putih kepada kuning dan kuning bata, dan merah jambu lembut, dengan kelopak set tunggal dan berganda. Bunganya boleh dihancurkan dalam air dan dicampur dengan air limau nipis menjadi pewarna makanan dan minuman. Bunga ini digunakan bagi mengilat kasut di sebahagian India. Orang Cina juga menggunakannya untuk tujuan ini secara tradisi atau sebagai pewarna rambut hitam.

Bunga raya ialah bunga kebangsaan Malaysia sejak ia masih berupa entiti Persekutuan Tanah Melayu lagi. Bunga ini diperkenalkan ke Tanah Melayu pada abad ke-12, ia dipilih sebagai bunga kebangsaan pada 1958 oleh Kementerian Pertanian Malaysia daripada sebilangan bunga lain iaitu kenanga, melur, teratai, mawar, cempaka dan tanjung. Pada 28 Julai 1960, bunga raya telah diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Lima kelopaknya melambangkan lima Rukun Negara Malaysia, dan warna merah kelima-lima kelopaknya melambangkan keberanian, perpaduan dan kepesatan pembangunan rakyat Malaysia.

Satu kajian telah dijalankan oleh unit-unit bergerak Jabatan Penerangan di seluruh kawasan Semenanjung Malaysia berkenaan pemilihan bunga yang akan diangkat sebagai bunga kebangsaan Malaysia. Hasil kajian tersebut mendapati bahawa penduduk Pantai Timur memilih bunga mawar manakala penduduk Pantai Barat memilih bunga melur. Walau bagaimanapun, kerajaan akhirnya membuat keputusan memilih bunga raya berdasarkan ciri-cirinya yang sudah terkenal di seluruh negara, warna dan bentuk yang menarik, nama panggilan yang sama di seluruh negara, mudah didapati di seluruh negara, dan yang paling penting ia belum menjadi bunga kebangsaan di mana-mana negara lain di dunia ketika itu.[1]

Memakan Bunga Raya

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2). Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudharatan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi (kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan) dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Selain itu, al-Qarafi juga ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal — berlepas daripada hukum haram.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, bunga raya termasuk dalam jenis tumbuhan atau makanan yang tidak terdapat nas syarak mengenai pengharamannya. Jadi, kami berpendapat bahawa sambal bunga raya hukumnya kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya selagi mana tidak terdapat dalil lain yang menunjukkan hukum sebaliknya seperti mengandungi racun atau memudaratkan pemakannya. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Bahkan tidak diambil kira kebiasaannya dijadikan sebagai tumbuhan perhiasan untuk tidak membolehkannya daripada dijadikan sebagai hidangan makanan. Ini kerana yang diambil kira adalah selagi mana tumbuhan itu selamat dan tidak memudaratkan pemakannya, maka ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya. Namun, jika terbukti bahawa bunga raya membahayakan pemakannya, maka tidak syak lagi bahawa ia adalah diharamkan untuk memakannya. Ini kerana sememangnya syariat melarang daripada mendedahkan diri kepada apa yang boleh membahayakan atau membinasakan diri. Allah SWT berfirman:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38)

Begitu juga agama Islam selalu mengingatkan penganutnya agar menjauhi semua perkara yang boleh memudaratkan diri. Kaedah ada menyebutkan bahawa:

وَالْأَصْلُ فِي الْمَضَارِّ الْحُرْمَةُ

Maksudnya:Hukum asal pada setiap sesuatu yang memudaratkan adalah haram.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Bunga_raya. Diakses pada 18 Ogos 2024. Lihat juga https://www.malaysia.gov.my/portal/content/139?language=my. Diakses pada 18 Ogos 2024.