#6832: Puasa Ganti Ramadhan Pada Hari Tasyriq

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah berpuasa ganti bulan Ramadhan pada hari tasyriq? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.”

                                               (Surah al-Baqarah: 185)

Syeikh Tahir Ibn Asyur berkata: “Orang yang sakit adalah yang berubah daripada keadaan stabil pada tabi’inya, membawa kepada fizikalnya demam, sakit atau lumpuh. Para fuqaha’ telah khilaf dalam menentukan sakit yang mewajibkan berbuka. Adapun sakit pada ghalibnya menyebabkan pesakit tidak mampu berpuasa dan jika meneruskannya boleh membinasakannya, maka tiada khilaf dia harus berbuka bahkan wajib berbuka. (Lihat Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 2/162)

Dalam menjawab soalan ini, pertamanya, kita dilarang daripada berpuasa pada hari-hari tasyriq kerana ia merupakan hari raya umat Islam dan ia adalah hari-hari makan dan minum. Kelonggaran untuk berpuasa pada hati itu hanya diberikan kepada mereka yang melakukan haji tamattu‘ yang tidak mempunyai haiwan korban sebagai ganti tiga hari puasa yang wajib dalam haji.

Ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Aisyah dan juga daripada Abdullah bin Umar R.Anhum bahawa keduanya berkata:

لَمْ يُرَخَّصْ فِي أَيَّامِ التَّشْرِيقِ أَنْ يُصَمْنَ، إِلَّا لِمَنْ لَمْ يَجِدِ الهَدْيَ

Maksudnya: “Tidak diberi keringanan untuk berpuasa pada hari-hari Tasyriq, kecuali bagi orang yang tidak mempunyai haiwan korban (sebagai bayaran dam).”

Riwayat al-Bukhari (1997, 1998)

Begitu juga hadith daripada Nubaisyah al-Huzali R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ، وَذِكْرِ اللهِ عَزَّ وَجلَّ

Maksudnya: “Hari-hari tasyriq ialah hari-hari makan, minum, dan mengingati Allah ‘Azza wa Jalla.

Riwayat Muslim (1141)

Begitu juga hadith daripada Ka‘ab bin Malik bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَهُ وأنس من الْحَدَثَانِ أَيَّامَ التَّشْرِيقِ فَنَادَى أَنَّهُ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ إلَّا مُؤْمِنٌ وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksudnya: “Nabi SAW mengutusnya dan Anas bin al-Hadathan pada hari-hari tasyriq, lalu mengumumkan bahawa tidak akan masuk syurga kecuali orang beriman, dan hari-hari tasyriq ialah hari-hari makan dan minum.”

Riwayat Muslim (1142)

Syeikh Abdullah a-Bassam kemudian menjelaskan berkenaan hadith-hadith di atas dengan menyatakan, hari-hari tasyriq adalah merujuk kepada hari kesebelas, kedua belas dan ketiga belas Zulhijjah, dan ia merupakan hari-hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah ‘Azza wa Jalla. Jadi, hari-hari tersebut adalah hari kegembiraan yang mengikuti Hari Raya Aidiladha dengan menikmati daging-daging korban dan bersenang-senang dalam perkara-perkara yang dibenarkan. Hari-hari ini juga adalah hari-hari untuk mengingati Allah ta‘ala, di mana disyariatkan untuk bertakbir kepada Allah SWT. Hari-hari ini adalah al-Ayyam al-Ma‘dudat seperti yang difirmankan Allah SWT berkenaannya:

وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَّعْدُودَاتٍ

Maksudnya: “Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya.

(Surah al-Baqarah: 203)

Hari-hari ini dinamakan sebagai hari-hari Tasyriq kerana orang ramai mengeringkan daging korban dan menyimpannya di bawah sinar matahari agar ia kering dan boleh disimpan untuk beberapa hari.

Justeru, disebabkan fungsi-fungsi keagamaan ini dan untuk memberikan kekuatan bagi melaksanakannya, serta kerana umat Islam berada dalam suasana gembira selepas perayaan Aidiladha dan memakan daging yang telah mereka korbankan kepada Allah ta‘ala, mereka dianggap sebagai tetamu Allah ta‘ala. Oleh sebab itu, dan begitu juga sebagai mematuhi perintah Allah SWT, berpuasa pada hari-hari tersebut diharamkan. Ia tidak sah sama ada sebagai puasa fardhu, sunat, nazar, atau seumpamanya. Jika seseorang berpuasa pada hari-hari ini dengan niat apa pun, puasanya tidak sah dan tidak dikira kerana ia tidak dilakukan pada waktu yang ditetapkan dan tidak sah berpuasa pada hari-hari tersebut. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 3/546-547).

Keduanya, Imam al-Nawawi ada menjelaskan berkenaan permasalahan berkaitan dengan puasa pada hari-hari tasyriq. Menurut beliau, dalam isu ini terdapat dua pendapat yang masyhur yang mana kedua-dua pendapat ini telah disebutkan oleh pengarang (al-Syirazi) berserta dalil-dalilnya.

Pendapat pertama, merupakan pendapat jadid Imam al-Syafi‘i menyatakan, tidak sah puasanya, baik bagi orang yang menunaikan haji tamattu‘ atau selainnya. Inilah pendapat yang paling sahih menurut para ashab (mazhab al-Syafi‘i).

Manakala pendapat kedua, merupakan pendapat qadim Imam al-Syafi‘i menyatakan, adalah dibolehkan bagi orang yang menunaikan haji tamattu‘ yang tidak mempunyai haiwan korban, untuk berpuasa pada hari-hari tasyriq sebagai ganti tiga hari puasa yang wajib dalam haji. Kemudian, berdasarkan ini, (timbul persoalan) adakah dibolehkan bagi selain orang yang menunaikan haji tamattu‘ untuk berpuasa pada hari-hari (tasyriq) ini? Terdapat dua pandangan yang masyhur dalam tariqah (mazhab) ulama Khurasan, dan kedua-duanya turut disebutkan oleh beberapa ulama Iraq, di antara mereka ialah al-Qadhi Abu al-Tayyib dalam kitabnya al-Mujarrad, al-Bandaniji, al-Mahamili dalam kitabnya al-Majmu‘ dan al-Tajrid, serta yang lainnya.

Pendapat yang paling sahih daripada kedua-dua pendapat itu menurut semua ashab (al-Syafi‘iyyah) adalah tidak dibolehkan — yakni pendapat pertama.  Ini juga merupakan pendapat yang telah diputuskan oleh pengarang (al-Syirazi) dan ramai ulama selainnya berdasarkan kepada keumuman hadith yang melarang untuk berpuasa pada hari-hari tersebut. Sebaliknya kelonggaran (rukhsah) untuk berpuasa pada hari-hari itu hanyalah bagi mereka yang menunaikan haji tamattu‘.

Manakala pendapat kedua menyatakan, ia adalah dibolehkan. Al-Mahamili dalam dua kitabnya dan pengarang al-‘Uddah mengatakan bahawa ulama yang berpendapat bahawa ia dibolehkan ini ialah Abu Ishaq al-Marwazi. Para ashab kami (ulama al-Syafi‘iyyah) yang menukilkan pandangan ini mengatakan bahawa hanya dibolehkan berpuasa pada hari-hari ini puasa yang mempunyai sebab, seperti puasa qadha, nazar, kaffarah, atau puasa sunat yang mempunyai sebab. Adapun puasa sunat yang tidak mempunyai sebab, maka tidak dibolehkan untuk berpuasa pada hari-hari ini tanpa sebarang khilaf. Demikian telah dinukilkan kesepakatan para ashab ke atasnya oleh al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-Mahamili, al-Sarakhsi, pengarang al-‘Uddah dan lain-lain. Dan kebanyakan pendapat mengatakan bahawa ini serupa dengan waktu-waktu yang dilarang solat di dalamnya, di mana dibolehkan solat yang mempunyai sebab dalam waktu-waktu tersebut, tetapi tidak dibolehkan solat tanpa sebab.

Sarakhsi menyebutkan bahawa dasar perbezaan pendapat ini adalah sama ada dibolehkannya puasa bagi orang yang menunaikan haji tamattu‘ kerana keperluan atau kerana adanya sebab. Dalam hal ini, ada perbezaan pendapat dalam kalangan ashab kami. Mereka yang beralasan dengan keperluan mengehadkannya hanya kepada haji tamattu‘ sahaja, sehingga tidak membolehkannya bagi selainnya. Manakala mereka yang beralasan dengan sebab, membolehkannya untuk semua jenis puasa yang mempunyai sebab, tetapi tidak membolehkannya bagi yang tidak mempunyai sebab. Sarakhsi mengatakan bahawa berdasarkan pandangan ini, jika seseorang bernazar untuk berpuasa pada hari-hari ini, maka ia seperti bernazar untuk berpuasa pada hari syak. Inilah pendapat yang masyhur dalam mazhab ini, bahawa pendapat yang membolehkan puasa pada hari-hari tasyrik bagi selain orang yang menunaikan haji tamattu‘ hanya terhad kepada puasa yang mempunyai sebab dan tidak sah bagi puasa yang tidak mempunyai sebab secara kesepakatan (ittifaq).

Imam al-Haramain pula mengatakan bahawa para ashab kami berbeza pendapat dalam memperincikan pandangan qadim. Sebahagian mereka berpendapat bahawa ini hanya dibolehkan bagi puasa tamattu‘ kerana keperluan yang khusus baginya. Manakala sebahagian yang lain berpendapat bahawa ia seperti hari syak. Kemudian beliau menyambung dengan menyatakan bahawa bagi hari syak, jika seseorang berpuasa tanpa sebab, maka ia dilarang. Namun, dari segi kesahan puasa itu terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi‘i.

Seterusnya, Imam al-Nawawi menyimpulkan bahawa pendapat yang paling sahih dalam kalangan ashab (al-Syafi‘iyyah) ialah pendapat jadid yang mengatakan bahawa tidak sah puasa pada hari-hari tersebut sama sekali, baik bagi orang yang menunaikan haji tamattu‘ mahupun orang yang selainnya. Namun, pendapat yang paling rajih (lebih kuat) dari segi dalil adalah sahnya puasa tersebut bagi orang yang menunaikan haji tamattu‘ dan dibolehkan baginya untuk melakukannya kerana hadith yang memberi keringanan kepadanya adalah sahih sebagaimana yang telah kami jelaskan, dan hadith tersebut secara jelas menyatakan demikian, maka tidak ada alasan untuk berpaling daripadanya.

Adapun kenyataan pengarang al-Syamil dalam kitab haji yang menyatakan bahawa hadith tersebut adalah lemah adalah tidak benar dan tertolak kerana dia meriwayatkannya dari sumber/jalur yang lemah dan menilainya sebagai lemah atas alasan tersebut, sedangkan hadith itu adalah sahih lagi thabit dalam Sahih al-Bukhari dengan sanad yang bersambung tanpa melalui jalur yang disebutkan oleh pengarang al-Syamil. Sesungguhnya, aku (menurut Imam al-Nawawi) menyebutkan kenyataan pengarang al-Syamil agar tidak ada yang tertipu dengannya.

Selain itu, Imam al-Nawawi turut menyebutkan pendapat-pendapat ulama daripada mazhab-mazhab lain berkenaan puasa pada hari-hari tasyriq. Beliau menyatakan, kami telah menyebutkan mazhab kami dalam perkara ini dan bahawasanya pendapat jadid menyatakan bahawa tidak sah puasa pada hari-hari tersebut. Sedangkan pendapat qadim pula menyatakan sahnya puasa bagi orang yang menunaikan haji tamattu‘ yang tidak mempunyai haiwan korban.

Di antara ulama salaf yang berpendapat dilarang puasa bagi orang yang menunaikan haji tamattu‘ dan orang selainnya ialah Ali bin Abu Talib, Abu Hanifah, Dawud, dan Ibn al-Munzir, serta ini adalah pandangan yang lebih sahih daripada dua riwayat daripada Ahmad. Ibn al-Munzir pula menukilkan berkenaan dibolehkan puasa tersebut bagi orang yang menunaikan haji tamattu‘ dan orang selainnya daripada al-Zubair bin al-‘Awam, Ibn Umar, dan Ibn Sirin. Manakala Ibn Umar, Aisyah, al-Auza‘i, Malik, Ahmad, dan Ishaq dalam satu riwayat daripadanya menyatakan bahawa dibolehkan bagi orang yang menunaikan haji tamattu‘ untuk berpuasa pada hari-hari tersebut. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/441-445; lihat juga al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 7/323).

Selain daripada itu, Syeikh Abdullah al-Bassam juga ada menyebutkan khilaf ulama berkenaan isu berpuasa pada hari-hari tasyriq, yang secara ringkasnya terbahagi kepada tiga pendapat:

Pendapat pertama: Tidak sah berpuasa pada hari-hari tersebut kecuali bagi puasa jemaah yang mengerjakan haji tamattu‘ dan qiran, yang tidak mempunyai haiwan korban.

Pendapat kedua: Tidak sah berpuasa pada hari-hari tersebut secara mutlak, tidak kira mereka yang mengerjakan haji tamattu‘, qiran, atau selainnya.

Pendapat ketiga: Dibenarkan berpuasa pada hari-hari tersebut bagi mereka yang mengerjakan haji tamattu‘ dan qiran, serta bagi setiap puasa yang mempunyai sebab seperti nazar dan kafarah. Akan tetapi tidak dibolehkan dan tidak sah bagi puasa yang tiada sebab.

Pandangan yang sahih dalam hal ini adalah bahawa berpuasa pada hari-hari tersebut adalah haram, kecuali untuk mereka yang mengerjakan haji tamattu‘ dan qiran jika tiada haiwan korban. Maka, dia dibenarkan untuk berpuasa pada tiga hari tasyriq berdasarkan hadith di atas. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 3/547).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak dibolehkan untuk berpuasa pada hari-hari tasyriq, tidak kira puasa fardhu, puasa qadha’, nazar mahupun puasa yang mempunyai sebab melainkan bagi mereka yang melakukan haji tamattu‘ yang tidak mempunyai haiwan korban sebagai ganti tiga hari puasa yang wajib dalam haji. Inilah pendapat yang dilihat lebih kuat dan rajih. Tambahan lagi, Imam al-Nawawi juga dilihat seolah-olah memberi isyarat bahawa beliau turut cenderung dan memilih pendapat ini dari segi kekuatan dalilnya.

Benar, kami tidak menafikan bahawa terdapat sebahagian ulama membolehkan berpuasa qadha’ pada hari-hari tasyriq kerana ia termasuk dalam puasa yang mempunyai sebab seperti mana yang kami sudah nukilkan di atas. Namun, kami berpandangan meninggalkan daripada melakukannya lalu carilah hari-hari lain selain daripada tiga hari tasyriq tersebut untuk menggantikan (qadha’) puasa Ramadhan adalah jauh lebih baik dan sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf. APatah lagi terdapat hadith yang melarang daripada berpuasa pada hari-hari tasyriq dan menyatakan bahawa hari-hari tasyriq ialah hari-hari makan dan minum. Manakala kelonggaran (rukhsah) untuk berpuasa pada hari-hari tersebut hanya diberikan kepada orang yang mengerjakan haji tamattu‘ yang tidak mempunyai haiwan korban berdasarkan kepada hadith yang sahih lagi jelas.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”