#6844: Tidur dalam Masjid Makruh?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah bahawa tidur dalam masjid, meskipun dibolehkan hukumnya adalah makruh? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّـهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ

Maksudnya:(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”

Surah al-Nur: 36

Ibn Kathir menyebutkan bahawa Allah SWT memerintahkan untuk memuliakan masjid dengan menyucikannya daripada segala kotoran, perkara yang sia-sia, perkataan atau perbuatan yang tidak berkait dengannya. Ini juga adalah pendapat Ibn Abbas, ‘Ikrimah, al-Dhahhak, dan ramai lagi dalam kalangan ulama tafsir. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 6/62)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya kami pernah menjawab soalan seperti ini secara ringkas dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #5076: Tidur dalam Masjid.[1] Namun, dalam jawapan kami kali ini, kami akan perincikan lagi perbahasannya.

Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya, dibolehkan tidur di dalam masjid dan tidak ada makruh dalam hal ini menurut pandangan kami (mazhab al-Syafi‘i). Imam al-Syafi‘i menaskan berkenaannya dalam kitab al-Umm dan disepakati oleh para ashab (ulama Syafi‘iyah). Ibn al-Munzir dalam kitab al-Asyraf menyebutkan bahawa Ibn al-Musayyib, ‘Ata’, al-Hasan al-Basri, dan al-Syafi‘i memberikan kelonggaran untuk tidur di dalam masjid. Namun, Ibn Abbas menyebutkan, “Jangan jadikan masjid sebagai tempat tidur,” dan diriwayatkan daripadanya bahawa jika tidur untuk tujuan solat, maka tidak mengapa.

Al-Auza‘i pula memakruhkan tidur di dalam masjid, sementara Imam Malik berpendapat tidak mengapa bagi orang yang bukan penduduk setempat (orang asing/musafir), tetapi tidak membolehkannya bagi orang tempatan. Imam Ahmad dan Ishaq berpendapat jika seseorang itu musafir atau seumpamanya, maka tidak mengapa, tetapi jika menjadikan masjid sebagai tempat tidur secara tetap, maka tidak dibenarkan.

Al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra menyebutkan: Kami meriwayatkan daripada Ibn Mas‘ud, Ibn Abbas, Mujahid, dan Sa‘id bin Jubair yang menunjukkan mereka tidak menyukai (memakruhkan) tidur di dalam masjid. Mereka nampaknya menyarankan bahawa bagi seseorang yang mempunyai tempat tinggal, lebih baik dia tidak menjadikan masjid sebagai tempat tidur.

Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya berhujah bahawa tidak makruh (tidur dalam masjid) berdasarkan apa yang sabit dalam Sahihain, riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

كُنْتُ أَنَامُ فِي المَسْجِدِ وَأَنَا شَابٌّ أَعْزَبُ

Maksudnya: “Aku biasa tidur di dalam masjid ketika aku masih muda dan bujang.”

Begitu juga telah sabit bahawa para ashab al-suffah biasa tidur di dalam masjid, dan begitu juga orang-orang dari kabilah ‘Uraniyyin juga tidur di dalam masjid. Terdapat juga riwayat dalam sahihain bahawa Ali R.A pernah tidur di dalam masjid, begitu juga Safwan bin Umayyah pernah tidur di dalam masjid dan seorang wanita pemilik selendang juga tidur di dalam masjid, serta beberapa sahabat lain. Thumamah bin Uthal juga pernah bermalam di dalam masjid sebelum dia memeluk Islam, dan semua ini berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Imam al-Syafi‘i dalam kitab al-Umm menyebutkan, jika seorang musyrik boleh bermalam di dalam masjid, maka begitulah juga seorang Muslim. Beliau berhujah dengan (riwayat yang menceritakan berkenaan) tidur Ibn Umar dan ashab al-suffah —  di dalam masjid. Al-Baihaqi juga meriwayatkan daripada Sa‘id bin al-Musayyib mengenai tidur di dalam masjid, katanya: “Di manakah ashab al-suffah tidur?” Maksudnya (perbuatan tidur dalam masjid) tidak makruh kerana mereka biasa tidur di dalam masjid. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/173-174).

Bahkan Mantan Mufti Arab Saudi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz Ibn Baz juga pernah ditanya berkenaan hukum tidur di dalam masjid. Lalu beliau menjawab, tidak ada masalah  dan tidak mengapa untuk tidur di dalam masjid. Masjid ialah rumah Allah yang dibina untuk beribadah, dan tidur di dalamnya tidak menghalang perkara itu. Malah, tidur boleh menjadi ibadah jika niatnya untuk menguatkan diri dalam ketaatan kepada Allah. Para sahabat Rasulullah SAW seperti ahli suffah dan yang lain-lainnya pernah tidur di dalam Masjid Nabi SAW. Ali R.A juga pernah tidur di dalam masjid apabila berlaku sedikit perselisihan/salah faham antara beliau dan isterinya. Rasulullah SAW datang kepadanya ketika beliau sedang tidur di masjid, lalu membangunkannya dan bersabda: “Bangunlah, wahai Abu Turab… bangunlah, wahai Abu Turab,” ketika Baginda melihat debu di badannya. Ibn Umar R.A juga kadangkala tidur di dalam masjid. Justeru, tidak ada masalah dalam hal ini.[2]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa tidur di dalam masjid adalah dibolehkan dan tidak makruh melakukannya. Bahkan ia digalakkan dan boleh menjadi ibadah jika niatnya menguatkan diri dalam ketaatan kepada Allah, memudahkan untuk bangun malam qiamullail dan lain-lain seumpamanya. Pada masa yang sama, dia hendaklah menjaga adab-adab ketika berada di dalam rumah Allah seperti tidak mencemarkan/mengotorkan kawasan masjid, pastikan aurat ditutup dengan sempurna, tidak mengganggu jemaah lain dan lain-lain seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/5076-tidur-dalam-masjid/. Diakses pada 18 Ogos 2024.

[2] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/5573/حكمالنومفيالمسجد. Diakses pada 18 Ogos 2024.