#6853: Sembelihan Bulan Rejab

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, adakah ada amalan sabit melakukan sembelihan pada bulan Rejab? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Ketahuilah, semoga anda dirahmati oleh Allah SWT senantiasa, bahawa ibadah sembelihan (الأُضْحِيَةُ) adalah suatu amalan yang agung di sisi Allah SWT dan mestilah dilaksanakan untuk mengharapkan redha Allah serta diamalkan menurut syariat jua hukum-hakam-Nya. Allah SWT berfirman:

إِنَّآ أَعْطَيْنَـٰكَ ٱلْكَوْثَرَ ١ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ ٢ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلْأَبْتَرُ  ٣

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami mengurniakan sungai al-Kauthar di syurga kepadamu (wahai Rasulullah) [1] Maka dirikanlah solat kepada Tuhanmu dan sembelihlah haiwan korban (atas nama Tuhanmu) [2] Sesungguhnya musuhmu akan terputus daripada rahmat [3].”

(Surah al-Kauthar: 1-3)

Imam Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan: “Diriwayatkan daripada Muhammad bin Ka‘b al-Qurazi bahawa beliau berkata: “Dahulu, orang-orang musyrik menyembah selain Allah dan menyembelih atas nama selain-Nya. Di dalam ayat ke-2 di dalam surah ini, Allah mengarahkan agar melaksanakan solat kerana-Nya dan ibadat sembelihan semata-mata hanya kerana Allah SWT sahaja.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 8/59)

Bagi menjawab persoalan yang diajukan kepada kami di atas, kami nyatakan bahawa sembelihan khusus pada bulan Rejab dinamakan sebagai tradisi al-‘Atirah (الْعَتِيرَةُ); iaitu sembelihan yang dilaksanakan pada mana-mana hari pada sepuluh hari awal bulan Rejab. Ia juga dinamakan sebagai al-Rajabiyah (الرَّجَبِيَّةُ).

Dahulu, ia merupakan adat kebiasaan masyarakat Arab Jahiliyyah kemudian mereka mempersembahkan sembelihan korban tersebut kepada berhala-berhala mereka yang disembah selain Allah SWT. Mereka juga melaksanakannya untuk menghormati Rejab sebagai bulan Haram yang pertama.

Imam Abu ‘Isa al-Turmuzi mentakrifkannya sebagai:

وَالعَتِيرةُ: ذَبِيحةٌ كانُوا يَذْبحُونَها في رَجبٍ، يُعَظِّمُونَ شَهْرَ رَجبٍ، لأنَّهُ أوَّلُ شَهْرٍ من أشْهُرِ الحُرُمِ

Maksudnya: “Sembelihan al-‘Atirah ini merupakan kebiasaan masyarakat Arab Jahiliyyah pada bulan Rejab untuk mengagungkannya selaku bulan Haram yang pertama.” (Lihat Jami‘ al-Tirmizi, 3/335)

Berhubung dengan hukum melaksanakannya, terdapat perbezaan pendapat (khilaf) dalam kalangan para ulama empat mazhab berkenaan amalan ini, kami lampirkan khilaf tersebut seperti yang tertera:

  1. Mazhab al-Syafi‘i

Sembelihan pada awal Rejab ini adalah sunat dan dianjurkan di sisi Mazhab al-Syafi‘i.

Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa muktamad mazhab kita (al-Syafi‘i) menepati hadith-hadith yang sahih seperti yang dijelaskan di dalam kitab al-Majmu‘ manakala dakwaan bahawa ia adalah mansukh merupakan dakwaan yang tidak sabit keseluruhan pernyataan yang mengaju ke arahnya walaupun ia merupakan pegangan ramai dalam kalangan ulama; bahawa sembelihan al-‘Atirah ini iaitu sembelihan yang dilakukan pada sepuluh hari pertama bulan Rejab, begitu juga sembelihan al-fara‘ (الْفَرَعَ); iaitu sembelihan anak haiwan ternakan yang pertama sekali dilahirkan, untuk mengharapkan keberkatannya dan banyak keturunan serta bakanya, kedua-dua ini hukumnya mandub (sunat) kerana tujuannya adalah tidak lain tidak bukan untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan menyedekahkan dagingnya kepada orang yang berkeperluan. Ia juga tidak mengambil hukum-hakam sembelihan korban sepertimana pendapat yang zahir. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 9/377).

  1. Mazhab Hanafi

Di sisi mazhab Hanafi, sembelihan al-‘Atirah ini adalah mansukh (dimansuhkan) kerana telah ada syariat Korban di dalam Islam, maka tiada anjuran sunnah untuk dilaksanakan. Hukumnya adalah harus sahaja sama seperti hukum ‘aqiqah.

Imam Burhanuddin al-Marghinani berkata:

وَ الْعَتِيرَةُ مَنْسُوخَةٌ

Maksudnya: “Sembelihan al-‘Atirah sudah dimansuhkan (anjurannya, kerana sudah ada ibadat Korban dalam syariat Islam).” (Lihat al-Hidayah Syarh al-Bidayah, 4/355).

Imam ‘Alauddin al-Kasani berkata selepas menyebutkan keharusan ‘aqiqah dan menyatakan bahawa ia merupakan amalan masyarakat Jahiliyyah dahulu kala kemudian dimansuhkan dalam syariat Islam, jika mahu lakukannya maka tidak mengapa. Imam al-Kasani berkata: “Antara sembelihan sama yang diamalkan masyarakat Jahiliyyah adalah sembelihan al-‘Atirah iaitu sembelihan yang dilakukan oleh seseorang apabila unta atau kambing melahirkan anaknya buat kali pertama untuk diberi makan. Muhammad (bin al-Hasan) berkata: Semua ini dilaksanakan pada zaman Jahiliyyah kemudian ia telah dimansuhkan dan digantikan dengan sembelihan Korban (dalam syariat Islam). Dan dikatakan juga bahawa tafsiran sembelihan al-‘Atirah adalah apabila orang Arab dahulu bernazar jika mendapatkan sesuatu, atau apabila kambing ternakannya menggapai sesuatu; maka wajiblah ke atas dirinya untuk menyembelih sembelihan pada setiap awal 10 hari pada setiap bulan, begitu juga pada bulan Rejab.” (Lihat Bada’i‘ al-Sana’i‘ fi Tartib al-Syara’i‘, 5/69)

  1. Mazhab Maliki

Makruh hukumnya melaksanakan sembelihan al-‘Atirah di sisi muktamad mazhab Maliki, kerana tuntutan melaksanakannya sudah dimansuhkan.

Imam Ahmad al-Dardir berkata: “[Dan] dimakruhkan [melakukan sembelihan untuk si mati] sekiranya tidak diwasiatkan secara khusus oleh si mati sebelum kematiannya, jika ada diwasiatkan, maka disunatkan bagi si waris untuk melaksanakannya [begitu juga (turut makruh) sembelihan al-‘Atirah] iaitu seperti sembelihan kambing dalam tradisi Jahiliyyah pada bulan Rejab, dan ia turut dilaksanakan pada zaman awal Islam kemudian ia dimansuhkan dengan syariat Korban.” (Lihat al-Syarh al-Kabir ‘ala Mukhtasar Khalil, 2/122)

  1. Mazhab Hanbali

Sembelihan pada awal Rejab ini adalah harus sahaja, ia bukan anjuran sunnah dan juga tidak makruh di sisi mazhab Hanbali.

Imam Mansur al-Buhuti berkata: “[Imam al-Hajjawi berkata: Dan tidak disunatkan untuk membuat al-fara‘ah], iaitu sembelihan yang dilakukan sempena unta peliharaan melahirkan anak pertama, [dan tidak juga] disunatkan [al-‘atirah] juga, iaitu sembelihan yang dilakukan pada bulan Rejab, berdasarkan hadith Abu Hurairah secara marfu‘: “Tiada fara‘ dan tiada juga ‘atirah.” (Hadith itu adalah muttafaqun ‘alaih). Namun ia juga bukan amalan yang makruh. Yang dimaksudkan dengan hadith adalah sekadar menyatakan bahawa amalan itu bukanlah tuntutan sunnah.” (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, 2/172).

Kesimpulan

Berdasarkan nukilan para fuqaha’ di atas, kami berpendapat bahawa sembelihan ini jika dilakukan atas dasar untuk ibadah kepada Allah dan untuk memberi sedekah dagingnya atau memberi makan kepada orang-orang sekeliling terutamanya orang yang berkeperluan; maka hukumnya adalah sunat yang dituntut sepertimana amalan sedekah, infaq serta memberi makan. Namun, dalam masa yang sama, keutamaan haruslah diberikan kepada perlaksanaan ibadat Korban pada bulan Zulhijjah kerana tuntutannya lebih sahih.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّآ إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Wallahu a‘lam.