#6858: Suami Tidur Berasingan Dengan Isterinya Tanpa Sebarang Kemarahan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya dan isteri saya tidur di bilik yang berasingan tetapi tanpa sebarang kemarahan, masalah, atau pengabaian hak-hak syar‘i. Bolehkah seorang suami tidak tidur bersama isterinya dan apakah hukumnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.”

(Surah al-Nisa’:19)

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 5/84)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.

Kalimah mu‘asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, jika keadaan adalah seperti yang disebutkan, di mana seseorang suami tidur berasingan daripada isterinya tanpa sebarang kemarahan atau masalah, maka tidak mengapa. Ini kerana meninggalkan tempat tidur perkahwinan (suami isteri) adalah haram jika disertai dengan pengabaian haknya dalam hubungan intim. Namun, jika tidak menghalang haknya, dan isteri redha dengan keadaan ini, maka tidak mengapa suami tidur berasingan daripada isterinya jika kedua-duanya bersetuju atau jika ada sebab tertentu seperti waktu tidur yang berbeza atau kebiasaan tidur yang berbeza.

Namun, apa yang dilarang secara syarak ialah jika suami meninggalkan tempat tidur isterinya sehingga menjejaskan haknya, atau jika isteri merasa teraniaya dengan meninggalkan tempat tidurnya, terutama apabila syarak telah menjadikan meninggalkan tempat tidur sebagai hukuman untuk isteri, seperti yang Allah SWT berfirman:

وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur.

(Surah al-Nisa’: 34)

Selain itu, sebahagian daripada pergaulan yang baik ialah seorang lelaki tidur bersama isterinya di tempat tidur mereka; ini adalah sunnah Nabi SAW. Walau bagaimanapun, jika terdapat keuzuran atau sebab-sebab tertentu, suami boleh tidur berasingan daripada isterinya asalkan tidak meninggalkan hak isteri dalam tempat tidur, seperti yang dipegang oleh mazhab al-Syafi‘i.

Di antara dalil yang menunjukkan bahawa seorang lelaki tidak wajib tidur bersama isterinya di tempat tidur yang sama jika dia tidak menghalang hak isteri untuk disetubuhi, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فِراشٌ لِلرَّجُلِ، وَفِراشٌ لاِمْرَأَتِهِ، والثّالِثُ لِلضَّيْفِ، والرّابِعُ لِلشَّيْطانِ

Maksudnya: “Tempat tidur untuk lelaki (suami), tempat tidur untuk isterinya, yang ketiga untuk tetamu, dan yang keempat untuk syaitan.”

 Riwayat Muslim (2084)

Imam al-Nawawi menyebutkan, adapun mengadakan beberapa tempat tidur untuk suami dan isteri adalah tidak mengapa kerana mungkin salah seorang daripada mereka memerlukan tempat tidur ketika sakit dan sebagainya. Sebahagian ulama berpendapat bahawa tidak wajib seseorang untuk tidur bersama isterinya dan dibolehkan untuk tidur berasingan daripadanya, tetapi pendapat ini adalah lemah kerana yang dimaksudkan adalah waktu keperluan seperti sakit dan sebagainya.

Walaupun tidur bersama isteri bukanlah suatu kewajipan, tetapi terdapat dalil lain yang menunjukkan bahawa perkara yang lebih tepat ialah, jika tiada alasan atau sebab (yang diizinkan syarak) untuk tidur berasingan, maka suami isteri tidur bersama di tempat tidur yang sama adalah lebih baik. Ini adalah jelas dari perbuatan Rasulullah SAW yang selalu melakukannya. Baginda SAW tidur bersama isterinya dan apabila tiba waktu untuk melaksanakan tugas malamnya, Baginda akan bangun dan meninggalkan isterinya, lalu menyempurnakan tanggungjawabnya serta memenuhi hak isterinya dengan baik. Terutama jika Baginda mengetahui bahawa isterinya sangat mementingkan perkara tersebut. Walaupun begitu, tidur bersama isteri tidak semestinya membawa kepada hubungan intim. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/59-60).

Dinyatakan dalam Lawami‘ al-Durar fi Hatki Astari al-Mukhtasar (6/615) yang merupakan fiqh Maliki, diambil daripada hadith Jabir bin Abdullah, bahawa ia menunjukkan lelaki tidak diwajibkan tidur bersama isterinya di tempat tidur yang sama, tetapi hak isterinya hanyalah dalam hubungan intim sahaja; demikian kata al-Hattab. Namun, yang lebih menunjukkan adalah kebiasaan Nabi Muhammad SAW tidur bersama isteri-isterinya di bawah satu selimut — di tempat tidur yang sama.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat dan tegaskan sekali lagi bahawa tidak menjadi masalah dan tidak mengapa bagi seorang suami untuk tidur berasingan dengan isterinya di katil yang lain, jika kedua-duanya saling meredhai serta tanpa pengabaian haknya. Namun, jika perbuatan meninggalkan tempat tidur isterinya itu disertai dengan pengabaian terhadap haknya, ditambah lagi tanpa sebarang sebab yang diizinkan oleh syarak, maka ia adalah haram.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”