#6859:  Meletakkan Tangan dan Membaca Doa Pada Bahagian Yang Sakit

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah membaca doa sambil meletakkan tangan pada bahagian yang sakit merupakan cara yang diajar oleh  Baginda SAW? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”

(Surah al-Isra’: 82)

Ibn Kathir menjelaskan bahawa makna daripada surah al-Isra’ ayat 82 ini adalah bahawa al-Quran dapat menghilangkan segala penyakit yang ada di dalam hati, seperti syak (keragu-raguan), nifaq (kemunafikan), syirik (penyekutuan terhadap Allah), zaig (penyimpangan dari kebenaran), dan ma’il (kecenderungan pada keburukan). Al-Quran dapat menyembuhkan segala penyakit tersebut. Al-Quran juga menjadi rahmat, kerana dapat menghasilkan atau mendatangkan keimanan, hikmah (kebijaksanaan), dorongan pada kebaikan, dan kegemaran untuk berbuat baik. Semua hal tersebut hanya dapat diraih oleh orang-orang yang beriman pada al-Quran, membenarkannya, serta mengikuti petunjuk yang ada di dalamnya. Demikianlah al-Quran menjadi syifa’  dan rahmat yang sebenar-benarnya (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1997).

Al-Syaukani menjelaskan telah terjadi khilaf dalam kalangan ahlul ilmi terkait makna “syifa‘”—dalam al-Isra ayat 82 tersebut— dengan dua pendapat:

Pendapat pertama, al-Quran sebagai ubat bagi qalbun (hati) untuk menghilangkan kejahilan, keragu-raguan, serta menyingkap penyimpangan tentang hal-hal yang berkaitan dengan (wujud) Allah SWT;

Pendapat kedua, bahawasanya al-Quran sebagai ubat bagi penyakit-penyakit zahir —seperti pusing, demam, infeksi, bengkak disengat sesuatu, dan sebagainya. Dengan cara ruqyah dan ta‘awwuz (memohon perlindungan kepada Allah). Tidak ada keberatan (perdebatan) terkait syifa‘ yang memiliki dua makna. Ini termasuk dalam bab keumuman majaz atau termasuk dalam bab musytarak (lafaz yang memiliki dua makna atau lebih). (Lihat Fath al-Qadir, 2007).

Begitu juga terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، كَانَ إِذَا أَتَى مَرِيضًا أَوْ أُتِيَ بِهِ، قَالَ: أَذْهِبِ البَأْسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila datang kepada orang yang sakit – atau syak perawi: ‘أُتِيَ بِهِ’ (dibawa datang kepadanya orang yang sakit), Baginda SAW mengucapkan: أَذْهِبِ البَأْسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا (Hilangkanlah sakitnya, wahai Tuhan manusia, sembuhkanlah dan Engkau Yang Menyembuhkan, tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan daripada-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan (sebarang) rasa sakit.”

Riwayat al-Bukhari (5675)

Dalam menjawab persoalan tersebut, kami menyatakan bahawa benar, Rasulullah SAW pernah mengajar sahabat yang mengadu kesakitan kepadanya dengan meletakkan tangan pada bahagian yang sakit dan berdoa kepada Allah SWT agar dilindungi daripada sebarang kesakitan dan keburukan.

Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Uthman bin Abi al-‘As al-Thaqafi bahawa  beliau mengadu kepada Rasulullah SAW tentang kesakitan yang dirasainya di badannya sejak dia memeluk Islam, maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

ضَعْ يدَك على الَّذي تأْلَمُ مِن جسدِك وقُلْ: بسمِ اللهِ ثلاثًا وقُلْ سبْعَ مرّاتٍ: أَعُوذُ باللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِن شَرِّ ما أَجِدُ وَأُحاذِرُ

Maksudnya: “Letakkan tanganmu pada bahagian badanmu yang sakit dan ucapkan: Bismillah tiga kali, kemudian ucapkan tujuh kali: Aku berlindung dengan Allah dan kekuasaan-Nya daripada keburukan apa yang aku rasakan dan khuatiri.

Riwayat Muslim (2202)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Dalam hadith Uthman bin Abi al-‘As menunjukkan bahawa disunatkan meletakkan tangan di tempat sakit dan membaca doa yang disebutkan. (Lihat Syarh al-Nawawi  ‘Ala  Muslim, 14/189 )

Begitu juga dinyatakan dalam Taufiq al-Rab al-Mun‘im bi Syarh Sahih al-Imam Muslim, 6/336) bahawa: hadith ini menyatakan bahawa disyariatkan meletakkan tangan pada bahagian tubuh yang terasa sakit dan membaca zikir “بِاسْمِ اللَّهِ” sebanyak 3 kali kemudian membaca “أَعُوذُ باللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِن شَرِّ ما أَجِدُ وَأُحاذِرُ” sebanyak 7 kali . Dalam lafaz yang lain disebutkan “أَعُوذُ بِعِزَّةِ اللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ”.

Justeru, ini menggambarkan kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk mengatasi kesakitan adalah dengan meletakkan tangan pada bahagian tubuh yang sakit dan membaca doa tertentu. Panduan ini memberikan pendekatan praktikal dalam menggunakan doa sebagai salah satu kaedah rawatan. Hal ini kerana doa memainkan peranan penting dalam mencari perlindungan dan kesembuhan daripada Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Wallahu ‘Alam