#6874: Berkongsikan Maklumat Agama Sebelum Dipastikan Kesahihannya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukumnya jika seseorang itu terlalu tergesa-gesa berkongsi pandangan agama tanpa dipastikan terlebih dahulu kesahihan maklumat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Seorang Muslim itu dituntut oleh syara‘ untuk melakukan tabayyun (التَّبَيُّنُ) atau memeriksa terlebih dahulu keabsahan mana-mana maklumat, lebih-lebih lagi maklumat yang berkaitan dengan urusan agama. Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۚ إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَـٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًۭا

Maksudnya: “Dan janganlah engkau mengikuti apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

(Surah al-Isra’: 36)

Imam al-Mawardi membawakan 3 takwilan yang berbeza bagi kalimah (وَلَا تَقْفُ):

  • Qatadah menafsirkan: “Maknanya, janganlah engkau berkata sesuatu yang engkau tidak ada ilmu tentangnya. Jangan dikatakan: ‘Aku lihat,’ sedangkan engkau tidak melihat. Jangan pula berkata: ‘Aku mendengar,’ sedangkan engkau tidak mendengar. Jangan engkau berkata: ‘Aku tahu,’ sedangkan engkau tidak tahu.”
  • Diriwayatkan pula daripada Ibn ‘Abbas R.A, maknanya, janganlah engkau menuduh seseorang dengan sesuatu yang engkau tidak tahu. Tafsiran ini seiring dengan konteks penggunaannya dalam hadith al-Asy‘ath bin Qais R.A, Rasulullah SAW berkata kepadanya:

نَحْنُ بَنُو النَّضْرِ بْنِ كِنَانَةَ، لَا نَقْفُو أُمَّنَا، وَلَا نَنْتَفِي مِنْ أَبِينَا

Maksudnya: “Kami adalah anak-anak keturunan al-Nadhr bin Kinanah, kami tidak menuduh ibu kami (dengan tuduhan zina), dan kami juga tidak menafikan nasab kami dengan bapa kami (al-Nadhr).”

            Riwayat Ibn Majah (2612) dan Ahmad (21839)

  • Dari sudut bahasa, ia berasal dari kata terbitan al-qiyafah (القِيَافَةُ) yang bermaksud “mengikut kesan peninggalan” orang terdahulu. al-Qutaibi berkata, yang dimaksudkan dalam konteks ayat adalah: “Janganlah mengikut kesan peninggalan tersebut dengan sekadar gerak hati atau sangkaan semata-mata.” (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 3/243; Kitabai Musykil al-Quran wa Gharibuhu oleh Ibn Qutaibah, 1/256)

Melihat pelbagai tafsiran ini, kami dapat simpulkan bahawa kesemuanya berbalik kepada satu noktah yang sama, iaitu ketidakpastian. Perkara inilah yang menjadi penekanan di dalam ayat di atas. Betapa pentingnya al-tathabbut (التَّثَبُّتُ) yakni memastikan sesuatu perkara itu, sehinggakan orang yang sering bermudah-mudah dalam menyampaikan sesuatu itu boleh dianggap sebagai pendusta.

Abu Hurairah R.A telah meriwayatkan sebuah hadith, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya: “Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila dia menceritakan semua yang didengarinya.”

Riwayat Muslim (5)

Hadith mengandungi larangan dari menceritakan segala perkara yang didengari; kerana boleh jadi akan berlaku tokok tambah. Kisah yang didengari itu juga mempunyai kebarangkalian, boleh jadi benar dan boleh jadi dusta. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 1/75)

Kami katakan, mutakhir ini, banyak maklumat yang tidak dihadam dengan sebaiknya. Akhirnya, ia adalah palsu dan tersilap. Justeru, amalkanlah kaedah yang diajar oleh para ulama’ kepada kita:

إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ                   وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ

Maksudnya: “Jika sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.”1

Kesimpulan

Kami katakan, sebarang perkongsian maklumat yang dibuat tanpa dipastikan kesahihannya adalah dilarang dalam Islam.

Rasulullah SAW juga menekankan agar umat Islam tidak tergesa-gesa kerana sikap tergesa-gesa itu datang daripada syaitan. Ini thabit sebagaimana dalam hadith Anas bin Malik R.A, sabda Baginda SAW:

التَّأَنِّي مِنَ اللهِ، وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya: “Ketenangan datangnya dari Allah, sedangkan tergesa-gesa datangnya dari syaitan.”

Riwayat al-Baihaqi (20270)

Berusahalah untuk meneliti dan memastikan keabsahan sesuatu berita sebelum kita berkongsikannya kepada orang lain. Semoga dengan usaha tersebut Allah SWT akan gurniakan dari-Nya ganjaran yang berganda. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a‘lam